Jawapan
2. Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 adalah dibawah bidang kuasa Jabatan Tenaga Rakyat bagi pihak Kementerian Sumber Manusia dan dengan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012 di kawasan-kawasan perindustrian di Pulau Pinang adalah sebanyak 100%. Ini adalah kerana, tiada penangguhan diberikan kepada mana-mana majikan di Pulau Pinang dalam melaksanakan Perintah Gaji Minimum 2012 di tempat kerja.
Bermula pada 1 Januari 2014, Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang telah menubuhkan pasukan khas penguatkuasaan yang berperanan untuk membuat pemeriksaan di tempat kerja bagi memastikan pihak majikan patuh dalam melaksanakan perintah tersebut. Operasi penguatkuasaan yang pertama telah dilaksanakan pada bulan Mac 2014 yang lalu.
Sejak perintah gaji minimum 2012 dikuatkuasakan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tenaga Kerja telah mengambil langkah-langkah berikut bagi memastikan pihak majikan mematuhi perintah ini:-
(a) Melaksanakan Program Pendidikan Buruh melalui seminar pendidikan serta dialog bagi memberi pemahaman kepada pihak majikan mengenai pematuhan perintah tersebut;
(b) Penubuhan pasukan khas penguatkuasaan di Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang yang dipertanggungjawabkan untuk menjalankan pemantauan dan penguat kuasaan terhadap Perintah Gaji Minimum 2012. Penubuhan pasukan khas penguatkuasaan turut dilaksanakan di Jabatan Tenaga Kerja di setiap negeri. Selain daripada itu, pasukan khas penguatkuasaan ini turut menjadi ahli kepada jawatankuasa induk penguatkuasaan yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia;
(c) Pasukan khas penguatkuasaan turut menjalankan siasatan segera sekiranya menerima aduan tentang isu ketidakpatuhan Perintah Gaji Minimum 2012 tanpa mengira waktu dan hari bekerja;
(d) Tindakan susulan seperti pendakwaan dan kompaun dikenakan terhadap majikan yang melanggar Perintah Gaji Minimum 2012. Jika disabitkan kesalahan, pihak majikan boleh dikenakan denda dengan tidak lebih RM10,000.00 bagi setiap sabit kesalahan; dan
(e) Pekerja boleh memfailkan tuntutan untuk jumlah gaji yang belum dibayar mengikut perintah ini di Mahkamah Buruh Jabatan Tenaga Kerja.