MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan (a) Adakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang memantau pencerobohan kawasan-kawasan tanah dan hutan simpan dan kawasan bukit milik Kerajaan Negeri? (b) Apakah tindakan yang telah diambil untuk mencegah pencerobohan ini ke atas mereka yang telah didapati menceroboh dan menjalankan aktiviti tanaman, pembalakan, pembinaan secara haram ke atas tanah-tanah tersebut? CATATAN: Keputusan mesyuarat pada 30.4.2014 Perubahan bagi Exco/KJAB
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Tanah

Jawapan
3. (a) Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian dan kesemua Pejabat Tanah Daerah sentiasa memantau pencerobohan kawasan tanah dan hutan simpan yang dimiliki oleh kerajaan. Setiap Pejabat Tanah Daerah mempunyai Unit Penguatkuasaan bagi memantau pencerobohan yang berlaku. Jawatankuasa pemantauan untuk setiap daerah telah ditubuhkan dan mesyuarat secara berkala diadakan bagi memantau pencerobohan berkenaan. Pihak pentabiran tanah akan mengeluarkan notis di bawah seksyen 425, Kanun Tanah Negara untuk tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mana-mana pencerobohan dan binaan baru yang didirikan secara haram atas tanah kerajaan.

(b) Di peringkat Kerajaan Tempatan, tindakan perundangan boleh diambil di bawah seksyen 70A, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 bagi kerja-kerja pemotongan pokok dan aktiviti kerja tanah tanpa kelulusan di atas tanah persendirian. Kerja-kerja tanah yang dimaksud kan termasuklah apa-apa perbuatan mengorek, merata, menimbus menam cerucuk, membina asas, menebang pokok dan lain-lain perbuatan yang mengganggu mana-mana tanah. Dalam hubungan ini, MPPP/MPSP boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 35H Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 terhadap mana-mana orang yang menebang pokok yang mempunyai ukuran lilit melebihi 0.8 meter tanpa kebenaran melainkan pokok tersebut hampir mati. Tindakan di bawah seksyen 70, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 juga boleh diambil terhadap pembinaan struktur tanpa kebenaran di atas tanah-tanah berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang sentiasa menjalankan pemantauan dan rondaan khususnya di kawasan Hutan Simpanan Kekal yang bersempadan dengan tanah milik. Jabatan Perhutanan telah meningkatkan publisiti untuk mendapatkan kerjasama orang ramai dan NGO dalam menangani isu pencerobohan ke atas Hutan Simpanan Kekal oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjalankan aktiviti tanaman, pembalakan dan pembinaan secara haram. Jabatan Perhutanan akan mengambil tindakan penangkapan dan membawa kes ke mahkamah di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) Selain dari itu, Jabatan Perhutanan juga menggalakkan media massa seperti surat khabar untuk memaparkan kejayaan kes-kes tangkapan oleh Jabatan Perhutanan Negeri.
Kembali