Jawapan
4. Sejak tahun 2008, banyak usaha telah diambil oleh Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menggalakkan penggunaan basikal selaras dengan seruan moto Safer, Cleaner, Greener and Healthier Penang. Hala tuju Kerajaan Negeri dalam usaha ini telah diperkukuhkan dengan polisi dan garis panduan penyediaan laluan dan kemudahan basikal.
(1) Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang telah dirangka oleh Kerajaan Negeri dan MPPP pada tahun 2010 serta polisi-polisi diadakan untuk menggalakkan pengunaan basikal di Pulau Pinang. Seiring dengan ini, lorong-lorong basikal sama ada secara berasingan atau berkongsi dengan kenderaan bermotor telah disediakan di beberapa kawasan dan koridor di bahagian pulau, Pulau Pinang.
(2) Tujuan utama penyediaan laluan basikal adalah untuk mewujudkan satu laluan yang selamat kepada penunggang basikal. Ini adalah juga memandangkan bahawa kelajuan basikal pada amnya adalah jauh lebih rendah daripada kenderaan bermotor. Basikal juga adalah lebih ringan berbanding kenderaan lain dan penunggang basikal adalah lebih terbuka kepada kecederaan sekiranya berlaku kemalangan.
(3) Initiatif-initiatif yang telah diambil Kerajaan Negeri dan MPPP
untuk mengawal selia aktiviti berbasikal di Pulau Pinang adalah seperti berikut :-
(a) Mengadakan polisi untuk penyediaan laluan basikal untuk pembangunan baru yang melibatkan :-
(i) Penyediaan laluan basikal Kategori 1, 2 dan 3 mengikut kelebaran rezab jalan yang menghadapi pembangunan baru. Kategori 1 adalah lorong berasingan untuk basikal dan Kategori 2 adalah lorong basikal khas di atas jalan manakala Kategori 3 adalah lorong yang dikongsi bersama kenderaan bermotor.
(ii) Untuk pembangunan komersial, pusat-pusat membeli belah, tempat tumpuan pelancong, kawasan riadah, institusi-institusi pendidikan serta hub-hub dan terminal pengangkutan awam, petak dan rak untuk membolehkan basikal dikunci disediakan mengikut peratus yang ditetapkan untuk penyediaan petak motosikal. Tambahan 20% daripada petak letak motosikal disediakan untuk basikal.
(iii) Tempat mandi, bilik persalinan dan tempat menyimpan barangan disediakan untuk pembangunan komersial, pejabat dan institusi pendidikan yang meliputi luas lantai terbina (built-up floor area) melebihi 50,000 kaki persegi. Keluasan sekurang-kurangnya 300 kaki persegi ditetapkan untuk pemajuan-pemajuan terlibat.
(b) Menyediakan laluan basikal mengelilingi pulau.
(c) Mengadakan laluan basikal dalam Zon Warisan dan pusat bandar.
(d) Mewujudkan laluan basikal dari kawasan-kawasan perumahan ke pekan dan bandar.
(e) Menyediakan laluan rekreasi untuk penunggang basikal seperti eco-bicycle trail di Balik Pulau dan laluan di antara Taman Perbandaran dan Bukit Bendera.
(4) Setakat ini, 140 km laluan basikal telah disediakan di bahagian pulau, Pulau Pinang. Sebenarnya, MPPP telah melangkah ke depan berbanding negeri-negeri lain dari segi penyediaan laluan dan kemudahan basikal. Pada sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2011 dan 2012 yang dianjurkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, MPPP telah merangkul anugerah untuk kategori penyediaan laluan basikal.
(5) MPPP menyediakan peruntukan setiap tahun untuk membina dan menaik taraf laluan basikal. Untuk tahun 2013, sebanyak RM2.66 juta telah diperuntukkan oleh MPPP untuk pembinaan dan penyelenggaraan laluan basikal manakala RM2.36 juta disediakan bagi tahun 2014.
(6) Laluan basikal sejauh 12.5 km telah dirancang dan sedang diadakan di persisiran pantai timur pulau dari Queensbay ke kawasan KOMTAR. Pada masa sekarang lebih kurang 5.3 km atau 42% daripada laluan basikal berdedikasi ini telah dibina. Anggaran kos untuk melengkapkan laluan basikal sejauh 12.5 km yang telah dirancang di persisiran pantai timur pulau adalah RM30.0 juta.
(7) MPPP juga sedang membina jambatan untuk laluan basikal dan pejalan kaki merentangi Sungai Pinang serta laluan basikal sepanjang 1.8 km dari Sungai Pinang ke Pasa raya Gama dengan kos RM4.2 juta. Satu hub basikal akan disediakan di Pasa raya Gama untuk kemudahan penunggang basikal dan beberapa hub lagi akan diwujudkan sepanjang persisiran pantai timur pulau. Laluan basikal berdedikasi di persisiran pantai timur ini akan diperluaskanuntuk meliputi kawasan ke selatan dan utara pulau serta pusat-pusat bandar.
(8) MPPP dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan juga menganjur dan menggalakkan penggunaan basikal dan banyak program telah diadakan. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hub basikal di Asia Tenggara ataupun di Asia Pasific.
(9) Pada masa sekarang, initiatif sedang diambil untuk menyediakan kemudahan menyewa basikal di kawasan pulau, Pulau Pinang termasuk di pusat bandar George Town. Seiring dengan ini, rak-rak untuk meletak basikal juga sedang disediakan di tempat-tempat tumpuan penunggang basikal.
MPSP pula mengawal selia aktiviti berbasikal yang semakin popular di Negeri Pulau Pinang seperti berikut :-
(i) Menetapkan laluan basikal sepanjang 210 km merangkumi ketiga-tiga daerah yang mana daerah SPU sepanjang 90 km, SPT 55 km dan SPS 65 km. Penunggang basikal digalakkan menggunakan laluan tersebut.
(ii) MPSP akan memasang papan tanda berbasikal dan meletakkan logo berbasikal di atas jalan yang telah dikenal pasti. Pemasangan ini bertujuan untuk menggalakkan penunggang menggunakan laluan tersebut dan sebagai amaran kepada pengguna jalan raya yang lain supaya berhati-hati kepada penunggang basikal yang menggunakan laluan tersebut.
(iii) MPSP juga menyediakan laluan basikal di Taman Tunku, Seberang Jaya 0.9 km dan juga di Taman Ampang Jajar, Permatang Pauh 1.1 km. Laluan-laluan ini disediakan di dalam persekitaran yang terkawal dilengkapi dengan kemudahan papan tanda dan simbol berbasikal. Penunggang
basikal lebih berasa selamat kerana laluan ini berada di dalam taman dan hanya dikongsi dengan pejalan kaki.