MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Sehingga bulan Disember 2013, masih adakah kilang-kilang yang mempunyai tunggakan cukai kadaran/cukai pintu. (a). Jika ada, apakah tindakan yang telah dan akan diambil dan nyatakan dibawah undang-undang mana. (b). Senaraikan jumlah tunggakan mengikut kawasan perusahaan, jumlah kilang dan jumlah tunggakan.
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Cukai

Jawapan
YB. CHOW KON YEOW
MENJAWAB BAGI PIHAK Y.A.B. KETUA MENTERI
16. (a) Di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), terdapat kilang yang mempunyai tunggakan cukai taksiran. Setakat 31 Mac 2014 tunggakan cukai taksiran untuk kilang adalah sebanyak RM1,256,604.38 melibatkan 142 akaun yang terdiri dari semua kategori kilang.

Tindakan yang di ambil MPPP adalah dengan mengeluarkan Borang G dan Borang H mengikut kesesuaian dan keadaan premis dan seterusnya tindakan undang undang diambil.

Manakala di Seberang Perai, sehingga 31 Disember 2013, masih terdapat kilang-kilang yang mempunyai tunggakan cukai taksiran dengan MPSP.

Tindakan yang diambil ke atas premis yang mempunyai tunggakan cukai taksiran adalah seperti berikut :

(i) Mengeluarkan notis peringatan melalui pengeluaran Borang E di bawah Seksyen 148 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

(ii) Sekiranya masih gagal menjelaskan cukai taksiran tersebut, MPSP akan mengeluarkan waran tahanan dalam Borang F di bawah Seksyen 148(1) Akta Kerajaan Tempatan, di bawah seksyen ini MPSP boleh menyita harta alih kepunyaan pemunya atau penduduk yang bertanggungan membayarnya.

(iii) Jualan harta yang ditahan / disita – di bawah Seksyen 149 (1) Akta Kerajaan Tempatan menyatakan bahawa sekiranya tunggakan serta kos tidak dijelaskan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh waran tahanan dikeluarkan, harta yang ditahan atau disita hendaklah dijual melalui lelongan awam.

Antara tindakan-tindakan lain yang dilaksanakan secara pentadbiran oleh MPSP bagi mendapatkan tunggakan adalah seperti berikut :

(i) Penyerahan Notis Pemberitahuan Tunggakan Cukai Untuk Dirujuk ke Mahkamah (Sebelum Waran).

(ii) Penyerahan Notis Pemberitahuan Kes Tunggakan Cukai Untuk Dirujuk ke Mahkamah (Selepas Waran).

(iii) Serahan Kes Kepada Pasukan Khas, Debt Collector dan Panel Peguam.

(iv) Promosi Bayaran Cukai Pintu dan Cabutan Bertuah.

(v) Pemantauan Kes-Kes Tunggakan Cukai oleh Unit Operasi.

(vi) Klinik Tunggakan Cukai – memanggil pemilik premis yang mempunyai tunggakan cukai untuk berbincang dan menyelesaikan tunggakan cukai.
(vii) Mengeluarkan surat kepada pihak Insolvensi, Liquidator dan Receivership untuk merekodkan tunggakan cukai taksiran sebagai hutang yang perlu dijelaskan apabila harta dilelong atau menjelaskan tunggakan cukai taksiran tersebut sekiranya lelongan belum dibuat.

(b) Senarai jumlah tunggakan mengikut kawasan perusahaan, jumlah kilang dan jumlah tunggakan di kawasan MPPP seperti berikut di lampiran 'A'.

Berdasarkan rekod sehingga 31 Disember 2013, maklumat mengenai tunggakan cukai taksiran bagi skim perindustrian di kawasan MPSP adalah seperti di bawah :


Daerah
Bil. Kawasan Kilang
Bil. Kilang
Tertunggak Jumlah Tunggakan(RM)
SPU
14
22
1,755,619.90
SPT
22
79
904,281.85
SPS
16
24
170,439.15
JUMLAH
52
125
2,830,340.90

Kembali