Jawapan
17. (a) Terdapat 15 (lima belas) operasi kuari batu/ pasir di Negeri Pulau Pinang dengan pecahan mengikut daerah seperti di Lampiran A.
(b) Kesemua permohonan-permohonan kuari akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan-Jabatan Teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Mineral dan Geosains, Ibu Pejabat Polis Daerah dan Jabatan Kerja Raya untuk mendapatkan ulasan-ulasan teknikal berserta syarat-syarat sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Bahan Batuan Negeri Pulau Pinang. Jabatan-Jabatan Teknikal ini akan menyediakan ulasan merangkumi keperluan teknikal termasuk nasihat-nasihat serta syarat-syarat kepada pengusaha kuari bagi memastikan isu pencemaran, kacau ganggu dan kesulitan penduduk dapat dihindari dan diatasi.
Terdapat kes-kes dimana kelulusan “blasting†diberikan dari semasa ke semasa dan sentiasa dipantau oleh Pejabat Tanah Daerah yang bertanggungjawab bersama Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Ibu Pejabat Polis Daerah dan wakil penduduk setempat bagi memastikan kerja-kerja tersebut memenuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.
(c) Pandangan dan bantahan penduduk-penduduk setempat sememangnya diambil kira semasa menimbangkan permohonan permit oleh pengusaha-pengusaha kuari. Kerajaan Negeri juga mengambil kira ulasan YB. Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan berkaitan dan juga Jawatankuasa Keselamatan dan Komuniti (JKKK) bagi memastikan penduduk sekitar merasa lebih selamat dan tenteram tanpa pencemaran dan kacau ganggu sebelum dibentangkan untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Kerajaan Negeri akan mengenakan syarat yang ketat kepada pengusaha-pengusaha kuari bagi memastikan operasi kuari mengikut tatacara yang ditetapkan. Antara syarat yang dikenakan kepada pengusaha kuari adalah seperti berikut:
i) Pemegang permit kuari adalah bertanggungjawab membayar pampasan kepada mana-mana pihak yang menuntut gantirugi ke atas kerosakan harta benda akibat daripada aktiviti kuari ini.
ii) Kerajaan Negeri berhak membatalkan permit pada bila-bila masa tanpa membayar apa-apa gantirugi.
iii) Sekiranya terdapat aduan dan ketidakpatuhan ke atas syarat-syarat yang dikenakan, tindakan sewajarnya akan diambil ke atas pengusaha kuari berkaitan.
iv) Kelulusan adalah tertakluk kepada kelulusan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Kerja Tanah.