Jawapan
Pembangunan wanita yang dinamik perlu merangkumi pelbagai dimensi meliputi politik, pendidikan, ekonomi, sosio-budaya, kekeluargaan, perundangan, masyarakat dan sebagainya. Oleh itu, Kerajaan Negeri percaya bahawa pembangunan wanita haruslah dilihat dalam konteks pembangunan mampan yang lebih luas. Ia tidak semestinya terhad kepada membantu usahawan wanita, dan juga tidak terhad kepada bantuan dalam bentuk pemberian dana semata-mata.
Kerajaan Persekutuan telah menyediakan dana atau peruntukan untuk menggalakkan penglibatan usahawan melalui badan-badan seperti SME Bank, SME Corp, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Jabatan Pembangunan Wanita di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan lain-lain. Skala dana ini adalah selaras dengan sumber yang ada pada Kerajaan Pusat, berbanding dengan sumber Kerajaan Negeri yang jauh lebih terhad.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan dana permulaan sebanyak RM3 juta telah komited memulakan tabung pinjaman mikrokredit melalui Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) di bawah pengurusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). PTSR diwujudkan untuk membantu usahawan kecil dan menggalakkan golongan rakyat untuk menceburi bidang perniagaan sebagai usaha membasmi kemiskinan.
Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) telah melaksanakan usaha bagi meningkatkan usahawan wanita melalui langkah-langkah berikut:-
(i) Memberikan tunpuan khas kepada usahawan wanita melalui Briged Wanita Pulau Pinang (BWPP) yang merupakan sebuah badan sukarela di bawah Kerajaan Negeri. BWPP ditugaskan untuk mendaftarkan wanita yang layak untuk membuat permohonan PTSR di peringkat kawasan setempat. Usaha ini telah membantu meningkatkan akses kemudahan PTSR kepada kaum wanita yang lazimnya kurang mendapat pendedahan kepada peluang dan sumber sedemikian berbanding dengan lelaki. Sehingga April 2014, terdapat lebih daripada 2000 orang ahli BWPP yang berdaftar di seluruh Negeri Pulau Pinang.
(ii) Menganjurkan program Fiesta Keusahawanan Wanita bertemakan “Wanita Pemangkin Ekonomi†yang telah mendapat sambutan baik dengan penyertaan seramai 227 orang peserta. Program ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat penting tentang struktur dan sumber modal daripada pelbagai pihak yang dapat membantu usahawan wanita sedia ada dan juga wanita yang ingin mula menceburi bidang keusahawanan. Selain itu, peserta yang hadir telah memperolehi peluang dan ruang untuk membangunkan jaringan perniagaan “networking†sesama sendiri dan juga agensi-agensi yang terlibat untuk memantapkan pengetahuan, kemahiran dan perniagaan mereka.
(iii) Menganjurkan “Dialog Suara Wanita†di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Daerah Barat Daya yang telah disertai oleh seramai lebih 600 peserta wanita. Dialog ini berperanan sebagai medium untuk menyebarkan maklumat mengenai program-program Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkasakan dan meningkatkan kapasiti wanita di Pulau Pinang terutamanya di kawasan luar bandar. Maklumat-maklumat yang disampaikan adalah meliputi Program-program Kebajikan Kerajaan Negeri untuk golongan wanita dan pembentangan PTSR yang memperincikan proses permohonan skim tersebut untuk menggalakkan wanita menceburi bidang perniagaan.
(iv) Kerajaan Negeri melalui PWDC juga sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) untuk mengenal pasti faktor-faktor sosio-ekonomi yang menyumbang kepada isu kemiskinan di kalangan wanita di Taman Jawi Jaya, Daerah Seberang Perai Selatan. Kajian tersebut akan cuba mengupas permasalahan dan memformulasikan langkah-langkah untuk membantu meringankan beban sosio-ekonomi masyarakat terutamanya wanita di kawasan berkenaan melalui peningkatan aktiviti keusahawanan.
(v) Melalui Dasar dan Pelan Tindakan Penjagaan Kanak-Kanak Pulau Pinang yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, PWDC telah menjalankan latihan bersubsidi bagi Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Di Rumah kepada lebih daripada 200 orang peserta. Keutamaan penyertaaan program ini diberikan kepada golongan ibu tunggal yang tiada punca pendapatan tetap. Peserta yang berjaya menamatkan kursus telah diberikan sijil pengiktirafan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sijil JKM yang diperolehi boleh digunakan oleh peserta untuk memulakan perniagaan mengasuh kanak-kanak di rumah bagi menjana pendapatan. Selain itu, program ini juga akan dapat memberikan impak berganda kepada masyarakat melalui penambahan bilangan pusat jagaan kanak-kanak, termasuk penjagaan kanak-kanak di rumah yang berkualiti dan berpatutan harga sekaligus menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan bidang keusahawanan.
(vi) Kerajaan Negeri juga telah melaksanakan Projek Bajet Responsif Partisipatori Gender (GPRB) yang dikendalikan oleh PWDC dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Fokus utama projek GPRB adalah untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang memanfaatkan komuniti dan meningkatkan peluang ekonomi kepada golongan wanita setempat dengan mengkhususkan kepada golongan berpendapatan rendah. Projek GPRB yang telah berjaya dilaksanakan adalah di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jalan Sungai, Sungai Pinang melalui aktiviti-aktiviti berikut:-
(a) Kontrak Komuniti Program Pembersihan PPR Jalan Sungai
Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di bawah Projek GRPB telah mengambil pendekatan kreatif dalam menangani isu kebersihan di PPR Jalan Sungai dengan menganugerahkan kontrak pembersihan kepada komuniti di PPR itu sendiri melalui pengurusan Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai (PKPJS). Pendekatan yang julung kalinya di Pulau Pinang dan juga di Malaysia ini ternyata membawa perubahan yang positif dan isu kebersihan kawasan perumahan dapat di atasi dengan sempurna. Projek ini juga telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada seramai enam (6) orang penduduk dan tiga (3) daripadanya adalah wanita.
(b) Latihan kemahiran
Kerajaan Negeri melalui PWDC telah turut mengadakan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan NGO, Soroptomist International Penang (SIP) dalam menyediakan latihan kemahiran kepada wanita untuk program menjahit, memasak dan cerdik IT di kalangan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Sungai. Latihan kemahiran sebegini bermatlamat untuk membentuk inisisatif di dalam masyarakat bagi memajukan diri serta memupuk keyakinan untuk menceburi bidang keusahawanan khsusnya golongan wanita.
(c) Projek Menjana Pendapatan Komuniti
Selain itu, Projek GPRB sedang dalam proses perancangan bagi pelaksanaan Program Penjanaan Pendapatan Komuniti dengan kerjasama penduduk setempat PPR Jalan Sungai Pinang yang dijangka akan dapat mewujudkan lebih ramai usahawan wanita. Apabila dilaksanakan, projek ini akan dapat membantu usahawan wanita untuk menjalankan perniagaan secara kolektif dalam komuniti mengikut kemahiran masing-masing antaranya seperti perkhidmatan katering dalam komuniti; pembuatan kek dan pastri; dan sebagainya.