Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
9. Kes-kes penipuan dalam urusan pindahmilik tanah termasuk tanah yang ditinggalkan tanpa Pentadbir kerana kematian pemilik berdaftar kebiasaannya berlaku melalui kemasukan Borang 14A Kanun Tanah Negara (KTN).
Dalamkes-kes seumpama ini, antara “modus operandi†yang digunakan oleh pihak-pihak yang membuat penipuan ialah:
i Memalsukan tandatangan pemilik tanah berdaftar;
ii Memalsukan penyaksian tandatangan yang dibuat di hadapan peguam atau Pesuruhjaya Sumpah;
iii Memalsukan Perintah Mahkamah;
iv Memalsukan dokumen menarik balik kaveat persendirian dalam kes terdapat kaveat persendirian atas tanah tersebut;
v Pemalsuan kad pengenalan atau lain-lain dokumen pengenalan diri seperti pasport atau sijil lahir;
vi Memalsukan resolusi syarikat dalam kes-kes melibatkan pemilikan tanah oleh syarikat berdaftar.
Menyedari kecenderungan pihak-pihak terlibat mengambil pendekatan di atas bagi tujuan penipuan, langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menghalang penipuan urusan tanah adalah seperti berikut:
i Mewajibkan pengemukaan Dokumen Hakmilik Keluaran bagi setiap pindah milik yang ingin dijalankan dan sekiranya dokumen tersebut gagal dikemukakan kerana hilang, pentadbiran tanah akan menasihatkan pemohon untuk memohon pengeluaran pendua hakmilik yang disertai dengan pengakuan bersumpah mengenai kehilangan dokumen tersebut;
ii Mewajibkan pengemukaan salinan kad pengenalan yang diakui sah bagi setiap individu yang melaksanakan instrumen;
iii Mewajibkan pengemukaan bukti pembayaran cukai tanah bagi tahun semasa sebelum perserahan dokumen;
iv Menggunakan kertas yang mempunyai ciri-ciri keselamatan bagi Dokumen Hakmilik Daftar dan Keluaran;
v Mewajibkan penggunaan dokumen-dokumen urus niaga yang asal dan bukan salinan untuk membuat urusan. Ini adalah kerana terdapat permohonan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk mengemukakan salinan Borang 14A disebabkan dokumen asal telah hilang dalam simpanan peguam;
vi Mewajibkan pengemukaan surat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri yang asal walaupun surat tersebut dikeluarkan oleh pentadbiran tanah;
vii Pengunaan Sistem e-Tanah bagi modul pendaftaran yang mempunyai aplikasi yang membolehkan kerani kemasukan dan Pendaftar membuat semakan ke atas hakmilik sebelum didaftarkan;
Selain daripada itu, kerajaan negeri turut merangka langkah-langkah tambahan bagi membendung penipuan daripada terus berlaku dan berleluasa dalam urusan pendaftaran tanah terutamanya melibatkan pindah milik melalui Borang 14A. Antara langkah-langkah yang sedang dirancang ialah:
i Memperkenalkan sistem Biometrik dalam setiap urusan tanah;
ii Menambah baik penggunaan kertas keselamatan dengan menambah penggunaan “Barcode†bagi setiap dokumen yang dikeluarkan;
iii Memperkenalkan satu mekanisme untuk menyemak secara rasmi berkenaan dengan maklumat peguam-peguam yang masih/telah ditamatkan sijil amalan guaman;
iv Memperkenalkan satu sistem yang boleh memberikan maklumat terkini melalui sms atau emel kepada pemilik berdaftar atau pihak berkepentingan mengenai sebarang perubahan yang berlaku ke atas hakmilik tanah tanpa pengetahuan mereka;
v Meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya untuk sentiasa mengemaskini maklumat dalam hakmilik masing-masing. Carian dan semakan hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang perubahan kepada maklumat pemilikan dibuat oleh pihak-pihak yang terlibat dalam cubaan penipuan.
Kesimpulannya, tanggungjawab untuk memastikan penipuan dalam urusan tanah ini tidak berleluasa adalah merupakan tanggungjawab bersama antara Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan individu/badan yang berurusan secara langsung dengan pentadbiran tanah. Selain itu, pemilik-pemilik tanah harus mempunyai kesedaran dan tanggungjawab dalam memastikan hakmilik yang telah dikeluarkan kepada mereka disimpan dengan selamat.