Jawapan
JAWAPAN OLEH Y.A.B. KETUA MENTERI
61. Pada keseluruhannya, purata kenaikan kadar tarif air bagi pengguna domestik yang dicadangkan hanyalah 20% sahaja dan bukannya 30%. Malah untuk penggunaan jalur pertama dan kedua tidak ada kenaikan sejak 1993.
Jumlah pengguna domestik berdaftar di Pulau Pinang sehingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak 471,466. Ia adalah merupakan 60% daripada keseluruhan pengguna air.
Mengikut cadangan baru, tiada kenaikan bagi penggunaan jalur iaitu daripada 0 – 20 meter padu (cu.m) sebulan. (1 cu.m adalah 1,000 liter). Ini selaras dengan arahan Kerajaan Negeri untuk “tidak terlalu membebankan†golongan berpendapatan rendah atau menghukum pengguna air yang berhemah di Pulau Pinang.
Kenaikan dalam jalur seterusnya iaitu penggunaan daripada 20-40 meter padu hanyalah 9.5%.
Pengguna – pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 40 meter padu sebulan adalah merupakan 79% (375,714 pengguna) daripada jumlah keseluruhan pengguna domestik di Pulau Pinang (471,466 pengguna)yang menghadapi pendedahan kenaikan tarif yang rendah sekali.
Manakala bakinya, iaitu 21% daripada pengguna domestik, menggunakan lebih daripada 40 meter padu sebulan dan mereka perlu membayar pada tarif baru yang dinaikkan sebanyak 30%. Mereka adalah pengguna yang banyak menggunakan air. Mereka ini masih berpeluang untuk tidak dikenakan caj mengikut jalur berkenaan iaitu dengan memilih untuk mengurangkan penggunaan air.
Perlu dinyatakan bahawa kali terakhir caj minimum untuk bekalan air domestik dikaji semula ialah pada tahun 1985 dan tarif untuk penggunaan sehingga 40 meter padu dikaji semula pada tahun 1993.
Kali terakhir tarif domestik bagi penggunaan melebihi 40 meter padu sebulan dikaji semula adalah pada tahun 2001.
Dasar utama dalam cadangan kajian semula tarif air 2014 adalah:-
1) Kenaikan tarif demi untuk mengelakkan catuan air:- objektif utama kenaikan tarif ialah untuk menggalakkan semua pengguna air di Pulau Pinang mengurangkan penggunaan air mereka. Dengan penggunaan air yang kurang, mereka akan membantu PBAPP mengelak catuan air di Pulau Pinang.
2) Mengurangkan penggunaan air domestik yang tinggi akan membantu kerajaan negeri dalam meyakinkan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan kelulusan dan pembiayaan projek Skim Air Mentah Sungai Perak bernilai RM2 bilion bagi menjamin kesinambungan sumber air bagi Pulau Pinang sehingga 2050.
3) Tarif domestik masih yang terendah di Malaysia:- purata cadangan tarif domestik bagi Pulau Pinang bagi 35 meter padu yang pertama (RM0.32 setiap meter padu) masih merupakan yang terendah di Malaysia, bagi memanfaatkan rakyat. Purata tarif kebangsaan bagi kategori penggunaan ini adalah RM0.66 per meter padu pada 2012. Sila rujuk Lampiran 1.
4) Tarif perniagaan lebih rendah daripada purata kebangsaan, iaitu pada kadar RM1.45. Sila rujuk Lampiran 2.
5) Surcaj Penjimatan Air (WCS) sebanyak RM0.48 setiap meter padu dilaksanakan ke atas pengguna yang menggunakan air berlebihan. Bagaimanapun, untuk membantu keluarga besar, keluarga yang mempunyai 8 orang ahli keluarga atau lebih akan diberikan diskaun 60% ke atas WCS, berkuatkuasa 1 Mei 2014.
Semua hasil yang diperolehi akan digunakan oleh PBAPP untuk projek bekalan air bagi terus mengurangkan NRW dan memanfaatkan rakyat Pulau Pinang. Cadangan untuk mengkaji semula tarif air pada tahun 2014 bagi Negeri Pulau Pinang pada asasnya bertujuan mengurangkan penggunaan air bagi mengelakkan keperluan catuan air. Cadangan kenaikan tarif air perlu dikemukakan dan mendapat kelulusan SPAN.