Jawapan
13. Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai berlakunya lambakan barang-barang seludup berupa rokok, arak dan ubat-ubatan yang membanjiri pasaran tempatan. Bagi mengatasi masalah ini, Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan Kumpulan Pemantau Pengguna pada 4 Julai 2008 yang berfungsi sebagai mata dan telinga kerajaan bagi menangani isu-isu kepenggunaan. Kumpulan Pemantau Pengguna ini terdiri daripada 10 hingga 15 orang penduduk setempat yang dilantik mengikut KADUN masing-masing. Kumpulan-kumpulan Pemantau Pengguna akan melakukan pemantauan di lokasi-lokasi strategik mengikut KADUN dan akan membuat laporan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Kesihatan, Kastam DiRaja Malaysia, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi kes melibatkan rokok, arak dan ubat-ubatan seludup sekira ianya berlaku.
Selain itu, Kerajaan Negeri telah mula turut mengadakan Roadshow Kesedaran dan Hak Pengguna bagi mendekati pengguna Pulau Pinang di peringkat akar umbi bermula pada tahun 2010. Roadshow Kesedaran dan Hak Pengguna yang diadakan seiring dengan pengajuran program-program Penang Trade Event berperanan untuk menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat dalam isu-isu kepenggunaan. Melalui Roadshow Kesedaran dan Hak Pengguna, Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna telah melancarkan kempen-kempen untuk memberi informasi dan mendidik pengguna dalam isu-isu yang melibatkan ancaman dan bahaya mengenai rokok dan arak antaranya:
(i) Kempen Rokok Membakar Anda;
(ii) Kempen Jauhi Alkohol: "Setiap Titik Membawa Maut"
Kempen-kempen ini dilaksanakan bukan sekadar bertujuan untuk menjauhi rokok dan arak seludup sahaja, malah ianya bertujuan mendidik masyarakat menjauhi rokok dan arak secara menyeluruh.
Bagi kes-kes yang melibatkan ubat-ubatan yang dijual secara berleluasa tanpa kelulusan pihak berwajib, Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Pengguna akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bagi memformulasikan kaedah yang sesuai dalam menangani isu ini.