MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
19/05/2014
Soalan Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk melihat semula etika pemakaian pelawat ke semua premis agensi Kerajaan Negeri agar ia lebih sopan dan mengurangkan provokasi terhadap lelaki dan juga wanita?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Pentadbiran

Jawapan
Pada ketika ini, Kerajaan Negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan hanya menetapkan peraturan etika pemakaian bagi penjawat awam sahaja melalui pekeliling-pekeliling kerajaan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. Bagi pelawat/pelanggan yang berkunjung atau berurusan ke semua premis agensi Kerajaan Negeri, setiap agensi/jabatan masing-masing akan mengeluarkan arahan secara pentadbiran bagi mengenakan etika pemakaian pelawat/pelanggan masing-masing.

Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai penyelaras keselamatan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutamanya di kaunter khidmat pelanggan di tingkat 3, KOMTAR akan mengkaji semula arahan etika pemakaian pelawat/pelanggan yang sedang berkuatkuasa sekarang ini bagi memperkemaskan arahan sedia ada serta membentuk konsistensi dalam jenis pakaian dan penampilan setiap pelawat/pelanggan di semua agensi/jabatan Kerajaan Negeri secara keseluruhannya.


Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga akan melihat semula pendekatan baharu bagi arahan etika pemakaian pada masa akan datang dengan meletakkan lebih banyak pemakluman etika pemakaian kepada orang awam di tempat-tempat yang lebih strategik. Namun begitu sehingga kini tidak ada pelanggan yang hadir ke bangunan KOMTAR ini dengan pakaian yang tidak senonoh.
Kembali