Jawapan
Jawatankuasa Tanah Negeri atau Landcom adalah berfungsi sebagai Jawatankuasa yang meneliti dan memperakukan semua permohonan tanah termasuk pemberimilikan, Lesen Pendudukan Sementara (TOL), Tukar Syarat Tanah, Enakmen Air, Warta Tanah Bukit dan lain-lain kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
SPC atau Jawatankuasa Perancang Negeri ditubuhkan mengikut keperluan seksyen 4 Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976, Akta 172, Tugas-tugas atau fungsi Jawatankuasa Perancang Negeri ialah :
a) Menggalakkan dalam Negeri untuk pemeliharaan, penggunaan dan pemajuan semua tanah di dalam Negeri;
b) Mengatur, mengawal merancang dan menyelaraskan semua aktiviti pemajuan di dalam Negeri;
c) Menasihatkan Kerajaan Negeri, sama ada dengan daya utamanya sendiri atau pada menyahut permintaan Kerajaan Negeri, mengenai perkara-perkara yang berkenaan dengan pemeliharaan, penggunaan, dan pemajuan tanah di dalam Negeri;
d) Mengusaha, membantu dan menggalakkan pemungutan, penyengaraan , dan penyiaran perangkaan, buletin, monograf, dan lain-lain siaran yang berhubung dengan perancangan bandar dan desa dan perkaedahannya.
e) Dalam melaksanakan fungsinya Jawatankuasa boleh dari semasa ke semasa memberi kepada mana-mana Pihak Berkuasa Perancang Tempatan arahan-arahan yang tidak berlawanan dengan peruntukkan Akta dan pihak berkuasa perancang tempatan hendaklah menguatkuasakan arahan–arahan itu.
Manakala OSC atau Pusat Setempat ditubuhkan berdasarkan kepada Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan bilangan 1 dan 2 tahun 2007 bertarikh 12 April 2007. OSC ditubuhkan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan, fungsi Jawatankuasa OSC ialah:
a) Menimbang dan membuat keputusan terhadap permohonan kebenaran merancang, permohonan pelan bangunan dan lain-lain pelan yang berkaitan.
b) Membuat perakuan dan memaklumkan keputusan ke atas permohonan di bawah peruntukkan seksyen 124A dan 204D Kanun Tanah Negara selaras dengan peruntukkan di bawah subperenggan 136(1)(c)(i) dan perenggan 204D(1)(d)(KTN.
c) Menerima dan menyemak Permohonan Pembangunan Tanah, Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Pelan Kejuruteraan
d) Mengedar permohonan ke jabatan teknikal dalaman PBT dan agensi teknikal luaran atau pihak yang berkenaan untuk diproses serta mendapat ulasan teknikal.
e) Memantau permohonan-permohonan yang telah diedar ke agensi teknikal dan jabatan dalaman PBT.
f) Memaklumkan kepada Jawatankuasa OSC status permohonan yang diterima.
g) Memberi pelaporan kepada KPKT secara berkala melalui Portal OSC.
Tiada perkaitan secara langsung di antara JKTN, SPC dan OSC kerana diwujudkan dengan fungsi yang berbeza walaupun terdapat perkaitan antara SPC & OSC kerana pemasalahan perancangan di OSC bagi kedua-dua PBT akan dirujuk kepada SPC untuk keputusan.
Perhubungan ini iaitu antara SPC dan OSC boleh dirujuk kepada Seksyen 4(5) Akta Perancang Bandar dan Desa 1976 dimana SPC boleh memberi arahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan iaitu urussetia OSC untuk menguatkuasakan sebarang perancangan pembangunan dan PBT tertakluk untuk melaksanakan arahan tersebut.
Berdasarkan rekod bagi 2014, sehingga 23 Oktober 2014 sebanyak 733 permohonan telah dipertimbangkan oleh JKTN. Manakala kes rujukan dari OSC ke SPC, bagi MPPP, sebanyak 56 kes iaitu 47 dilulus, 1 ditolak, 2 tangguh dan 6 makluman. Bagi MPSP, terdapat 19 kes dirujuk kepada SPC dimana 9 telah lulus dan 10 tangguh, tiada kes ditolak.
Disediakan oleh: Muhamad Fariz bin Osman (019-4495002)
Disemak oleh : Mohd Farulizam bin Che Meh (019-4817678)