Jawapan
Dasar Perumahan Negeri yang berkaitan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah serta rumah mampu milik adalah seperti berikut:
i. Pemohon rumah kos rendah dan kos sederhana rendah tidak memiliki rumah.
ii. Rumah kos rendah/ kos sederhana rendah yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun.
iii. Had masa larangan penjualan rumah mampu milik selama 5 tahun.
iv. Pembahagian kuota perumahan kos rendah adalah berdasar 50% kepada kaum bumiputera, 35% untuk kaum Cina dan lain-lain serta 15% untuk kaum India.
v. Pembahagian kuota perumahan kos sederhana rendah dan rumah mampu milik adalah sebanyak 30% kepada kaum bumiputera, 55% untuk kaum Cina dan lain-lain serta 15% untuk kaum India.
vi. Harga maksimum rumah kos rendah adalah sebanyak RM42,000 dengan saiz minimum 650kp.
vii.Harga maksimum rumah kos sederhana rendah adalah sebanyak RM72,500 dan bersaiz minimum 650kp.
viii. Harga rumah serta saiz yang telah ditetapkan bagi rumah mampu milik di bahagian Pulau dan Seberang Perai adalah seperti berikut:
(a) Bagi keluasan 750kp ianya dijual pada harga tidak melebihi RM200,000.00 di Pulau dan RM150,000.00 di Seberang Perai.
(b) Bagi keluasan 850kp ianya dijual pada harga tidak melebihi RM300,000.00 di Pulau dan RM200,000.00 di Seberang Perai:dan
(c) Bagi keluasan 900kp ianya dijual pada harga tidak melebihi RM400,000.00 di Pulau dan RM250,000.00 di Seberang Perai.
Syarat permohonan rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik pula adalah seperti berikut:
i. Kelahiran Pulau Pinang, bekerja di Pulau Pinang dan pengundi berdaftar di Negeri Pulau Pinang
ii. Berumur 21 tahun ke atas pada tarikh permohonan
iii. Pendapatan tidak melebihi RM 2,500.00 untuk kos rendah (Suami dan Isteri)
iv. Pendapatan tidak melebihi RM 3,500.00 untuk kos sederhana rendah (Suami dan Isteri)
v. Pendapatan tidak melebihi RM 6,000.00 untuk rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM200,000 (Suami dan Isteri)
vi. Pendapatan tidak melebihi RM 8,000.00 untuk rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000 (Suami dan Isteri)
vii. Pendapatan tidak melebihi RM 10,000.00 untuk rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM400,000 (Suami dan Isteri)
Syarat jumlah pendapatan di atas adalah dikira setelah ditolak potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perlindungan Keselamatan Sosial (SOCSO) dan Insuran yang dipotong atas arahan majikan (jika ada).
Bagi menjamin ketelusan pemilihan, kesemua pemilihan bakal pembeli akan dilakukan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (JPPPPP) yang akan dipengerusikan oleh YB. Pengerusi MMK Perancangan Bandar dan Desa & Perumahan mengikut agihan kuota yang telah ditetapkan.
Jumlah perumahan kos rendah dan sederhana rendah yang dilulus dan telah siap dibina mengikut daerah untuk tahun 2013 sehingga Jun 2014 adalah sebanyak 6595 unit untuk perumahan kos rendah dan 5704 unit untuk perumahan kos sederhana rendah. Maklumat terperinci adalah seperti mana di Lampiran.