MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Apakah usaha yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam memperkembangkan sektor pelancongan di kawasan Seberang Perai? Senaraikan peruntukan yang telah diperuntukkan untuk membangun sektor pelancongan dalam kawasan Seberang Perai sejak 2011? Terangkan peranan pejabat ADUN, Ahli Majlis dan JKKK untuk mengaktifkan kegiatan pelancongan dalam kawasan masing-masing?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
(a) Antara usaha Kerajaan Negeri bagi mengembangkan sektor pelancongan di kawasan Seberang Perai adalah seperti berikut:

(i) Mengadakan Bengkel Pembangunan Homestay Negeri Pulau Pinang pada 29 – 30 Jun 2013 dan telah dihadiri oleh 46 orang peserta. Bengkel ini diadakan untuk memberi penerangan kepada bakal-bakal pengusaha homestay mengenai hala tuju, garis panduan penubuhan homestay serta potensi homestay di Pulau Pinang.

(ii) Mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan Homestay Negeri Pulau Pinang pada 19 April 2014 dan telah dihadiri oleh 79 orang peserta. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memandu dan membimbing bakal-bakal peserta program homestay tentang tatacara pendaftaran, pengurusan dan pengisian program homestay yang akan dilaksanakan.

(iii)Menubuhkan Jawatankuasa Pelancongan di bawah Majlis Perbandaran Seberang Perai untuk merancang, membangun dan memantau tapak-tapak pelancongan dan menambahbaik kawasan pelancongan di Seberang Perai.

(iv) Menerbitkan Seberang Perai Tourist Map yang telah dilancarkan pada 6 Julai 2013 oleh YAB. Ketua Menteri. Sebanyak 3,000 naskah peta pelancongan telah dicetak dan diedarkan kepada Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan, hotel-hotel dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

(v) Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah menerbitkan Seberang Perai Coffee Table Book yang mengandungi lokasi tempat-tempat menarik dan bersejarah di Seberang Perai dan telah diedarkan kepada hotel-hotel di Seberang Perai.

(vi) MPSP juga telah menerbitkan Seberang Perai Tourist Map Edisi ke-2 dan Seberang Perai Heritage Map yang dilancarkan pada 16 Ogos 2014 untuk tujuan meningkatkan lagi promosi pelancongan ke Seberang Perai.

(vii) MPSP dengan kerjasama George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) juga telah mengenalpasti warisan ketara di Seberang Perai Utara dan warisan ketara di Seberang Perai Tengah, manakala warisan ketara di Seberang Perai Selatan akan dilakukan pada tahun 2015.

(viii) Mengedarkan Tourist Map dan cakera padat (CD) yang mengandungi tempat-tempat menarik kepada peserta-peserta seminar antarabangsa yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Yang Dipertua, Tuan Setiausaha Perbandaran dan pegawai-pegawai MPSP yang menyertai program tersebut.

(ix) Memuat naik Seberang Perai Tourist Map dan Seberang Perai Coffee Table Book ke dalam laman web MPSP untuk rujukan orang awam termasuk pelancong.

(x) Menganjurkan Seberang Perai Tourism Forum pada 25 Mac 2014 untuk membincangkan perkembangan pelancongan di Seberang Perai serta kaedah-kaedah untuk meningkatkan tarikan pelancong ke Seberang Perai.

(xi) Membina 3 buah papan tanda pelancongan yang mempromosikan Pasar Bisik, Kelip-kelip di Nibong Tebal dan Program Homestay

(xii) Cadangan untuk menswastakan Hutan Pelajaran Air Itam Dalam yang sangat popular di kalangan peminat unggas

(b) Pada dasarnya Kerajaan Negeri tidak memperuntukan jumlah tertentu untuk membangunkan sektor pelancongan sama ada di Seberang Perai mahupun di bahagian pulau. Jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan pelancongan dari tahun 2011 sehingga 2014 di Seluruh Pulau Pinang adalah seperti berikut:

Tahun 2011: RM5 juta
Tahun 2012: RM8.8 juta
Tahun 2013: RM8.7 juta
Tahun 2014: RM8.5 juta



(c) Dalam usaha untuk mengaktifkan kegiatan pelancongan dalam kawasan masing-masing, Pejabat ADUN, Ahli Majlis dan JKKK secara kolektif berperanan untuk:-

(i) Mengenalpasti lokasi, kegiatan serta produk yang berpotensi dibangunkan sebagai aset pelancongan di kawasan masing-masing. Cadangan lokasi, kegiatan serta produk yang dikenalpasti ini boleh dibincangkan atau dibawa ke peringkat yang lebih tinggi seperti di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan oleh ADUN melalui YB. MMK Pembangunan Pelancongan, di peringkat Kerajaan Tempatan oleh Ahli Majlis serta Pejabat Daerah oleh pihak JKKK.

(ii) Menganjurkan pelbagai program di kawasan masing-masing bagi menarik tumpuan masyarakat dan secara tidak langsung akan mengaktifkan kegiatan pelancongan di kawasan masing-masing.

(iii)Bertindak sebagai pemudah cara bagi cadangan pembangunan ekonomi desa seperti Program Homestay.

(iv) Membantu dalam aspek perancangan dan pelaksanaan program pelancongan, sokongan dari aspek kewangan, infrastruktur dan peralatan.


Sebagai maklumat tambahan, dalam mengaktifkan kegiatan pelancongan, Ahli Majlis bersama-sama dengan ahli-ahli lain dalam Jawatankuasa Pelancongan (MPSP) turut berperanan menyediakan maklumat / risalah/ laman web berkaitan pelancongan di Seberang Perai dan mempromosikan pelancongan di Seberang Perai. Sehingga kini, Ahli-ahli Majlis MPSP memberikan khidmat yang baik di mana mereka turut terlibat secara aktif dalam pengahasilan Seberang Perai Coffee Table Book, Seberang Perai Tourist Map Edisi ke-2 dan juga Seberang Perai Heritage Map. Ahli Majlis turut menggunakan peruntukan mereka untuk mengadakan program yang menjadi tarikan iaitu Program Kayuhan Basikal untuk Golden Triangle Mountain Bike Challenge ‘Ride For Clean, Ride For Green’ yang mempromosikan Seberang Perai Selatan.

Disediakan oleh: Hazwani binti Ismail (0129072706)
Disemak oleh: En. Mohd Farulizam bin Che Meh (046505547)
Kembali