Jawapan
(a) Operasi rest house, guest house dan homestay yang sering dibangkitkan adalah berkenaan aktiviti yang dijalankan tanpa kelulusan atau lesen daripada Pihak Berkuasa Tempatan. Ini adalah kerana kebanyakan perniagaan seperti ini adalah di dalam skala yang kecil dan beroperasi di rumah-rumah kediaman dan lot kedai di taman-taman perumahan.
Adalah menjadi satu kesalahan untuk menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di rumah kediaman dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak boleh mengeluarkan lesen kepada premis-premis ini. Untuk premis lot kedai pula, syarat-syarat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat seperti tangga keselamatan dan syarat bangunan seperti pindaan dalaman merupakan masalah yang sukar dipatuhi oleh pengusaha-pengusaha rest house, guest house dan homestay yang terlibat.
Dari aspek definisi homestay itu sendiri, kebanyakan masyarakat mempunyai pandangan yang tidak tepat mengenainya. Homestay adalah sebuah program yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan syarat-syarat penubuhan yang tertentu seperti berikut:
(i) Lokasi homestay adalah di luar bandar
(ii) Harus mempunyai sekurang-kurangnya 10 buah rumah bagi setiap homestay
(iii)Mempunyai kemudahan sampaian dari segi perhubungan dan pengangkutan atau 'accessibility'
(iv) Menjamin tahap kebersihan dan keselamatan yang optimum
(vi) Melibatkan aktiviti-aktiviti masyarakat desa seperti menoreh getah, belah kelapa, menanam sawah padi, memancing, memetik koko, kopi, membuat kuih muih dan sebagainya
(vii) Permainan sukan tradisional dan kebudayaan seperti congkak, sepak raga, caklempong dan tarian rakyat.
Program Homestay ini pada dasarnya bertujuan meningkatkan penyertaan masyarakat luar bandar di dalam sektor pelancongan. Selain itu, program ini dapat meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat kampung, di mana kekayaan daripada industri pelancongan dapat dinikmati bersama oleh semua masyarakat dan melahirkan usahawan pelancongan di kalangan masyarakat desa.
Senarai hotel/rumah tumpangan yang tidak berlesen bagi dengan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan, adalah seperti di Lampiran A. Manakala Lampiran B adalah senarai homestay yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan.
(b) Kerajaan Negeri memandang serius terhadap peningkatan bilangan hotel / motel / rumah tumpangan beroperasi tanpa lesen di Negeri Pulau Pinang dan mengambil tindakan kawalan ke atasnya melalui program Pemutihan Hotel Tanpa Lesen.
Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Negeri telah menubuhkan satu Jawatankuasa Pemutihan Hotel Tanpa Lesen di Pulau Pinang yang bermesyuarat kali pertama pada 21 Januari 2014 dan dipengerusikan oleh YB. Tuan Chow Kon Yeow dan ahli-ahlinya termasuklah kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai.
Jawatankuasa Pemutihan Hotel Tanpa Lesen di Negeri Pulau Pinang telah meminta Jabatan Bangunan kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengeluarkan notis kepada semua pengusaha hotel / motel / rumah tumpangan tanpa lesen supaya memohon kelulusan untuk premis tersebut. Tempoh pemutihan diberi adalah dari 15 Mac 2014 hingga 30 September 2014.
Notis-notis pentadbiran telah dikemukakan kepada pengusaha hotel / motel / rumah tumpangan tanpa lesen di kawasan pentadbiran Majlis dan memberi tempoh selama enam (6) bulan iaitu sehingga 30 September 2014 kepada pengusaha untuk memohon kelulusan-kelulusan yang diperlukan.
Jawatankuasa Pemutihan Hotel pada 26 September 2014 telah meminta MPSP untuk mengeluarkan permit sementara kepada hotel tidak berlesen. Mesyuarat Majlis Penuh pada 20 Oktober 2014 telah meluluskan bagi mengeluarkan permit sementara untuk tempoh 1 tahun sahaja. dalam tempoh ini semua hotel ini dikehendaki mematuhi syarat-syarat teknikal.
Disediakan oleh: Hazwani binti Ismail (0129072706)
Disemak oleh: En. Mohd Farulizam bin Che Meh (046505547)