MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Bila pembangunan semula Kampung Tanjong Tokong akan bermula? (a) Nyatakan nama pemajunya dan bentuk pembangunan dirancang. (b) Punca projek ini tertangguh begitu lama. (c) Ganjaran diterima pemaju projek ini dan sumber pembiayaan projek.
Dun -
Exco
Perkara Pembangunan

Jawapan
Projek pembangunan semula Kampung Tanjong Tokong, Pulau Pinang Parcel 4A telah dimulakan pada 27 Oktober 2014. Jangka masa pelaksanaan projek adalah daripada Oktober 2014 hingga Oktober 2016.
(a) Pemaju bagi pembangunan semula Kampung Tanjong Tokong adalah UDA Land (North) Sdn. Bhd.
Bentuk pembangunan yang dirancang adalah terdiri daripada
• Rumah pangsa kos rendah 6 tingkat (376 unit)
• Rumah pangsa kos rendah 5 tingkat (120 unit)
• Dewan serbaguna 2 tingkat
• Surau 1 tingkat
• Pencawang TNB (1 unit)
(b) Punca berlakunya kelewatan projek adalah disebabkan oleh beberapa siri pindaan ke atas Pelan Merancang dan Pelan Bangunan bagi memenuhi permintaan penduduk sebelum penduduk bersetuju menandatangani Perjanjian Penyelesaian dan berpindah ke Rumah Transit.


Selain itu, Pembinaan Parcel 4A sepatutnya bermula Jun 2013. Pindaan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan diluluskan pada 16 Oktober 2012 tetapi Borang C1 dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada 27 Mei 2013 (7 bulan). Dalam hal ini, pihak UDA mempunyai masa satu (1) bulan untuk mengemukakan pelan-pelan dan syarat mendapatkan Kebenaran Mula Kerja kerana Kebenaran Merancang asal telah tamat pada 27 Jun 2013. Apabila Kebenaran Merancang asal tamat, maka semua pelan harus dikembalikan.
Kebenaran Merancang asal hanya diluluskan Pelanjutan ke-6 pada 18 Februari 2014. Pada masa ini Pelan Bangunan pula telah luput iaitu pada 16 Oktober 2013. Kelulusan sebagai tambahan, Permohonan Kebenaran Merancang diluluskan dari Jun 2007 dan dilanjutkan sehingga lanjutan ke-7 pada Jun 2014.
(c) Pihak UDA sebagai pemaju tidak menerima sebarang ganjaran untuk melaksanakan projek ini kerana 95% daripada unit rumah diberi percuma sebagai rumah gantian penempatan. UDA masih berpegang kepada obligasi semasa memperolehi tapak Rockfill dari kerajaan negeri di mana tapak berkenaan akan dimajukan untuk membiayai kos Projek Penempatan Semula Penduduk Tanjong Tokong.







Disediakan oleh : En. Shahril Zamani Bin Md. Zain
Penolong Pengarah (M) 4

Disemak oleh : En. Farulizam Bin Che Meh
Timbalan Pengarah UPEN (S)
Kembali