MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Rumah-rumah sesebuah yang dibina oleh PERDA di Kampung Permatang To Suboh tidak mempunyai sistem kumbahan yang lengkap. Masalah air kumbahan terus mengalir ke longkang dan seterusnya ke sistem saliran. Terangkan kronologi masalah sistem kumbahan serta apakah tindakan yang akan diambil oleh Jabatan yang berkaitan.
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Projek perumahan berkenaan merupakan Projek Perumahan Mesra Rakyat yang telah dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB) bagi tujuan penempatan semula penduduk yang terlibat dengan bencana banjir di Kampung Tok Suboh.
Permohonan kebenaran merancang untuk cadangan 33 plot rumah sesebuah untuk tujuan penempatan semula setinggan di atas lot P.T 140 HS(D) 4370, Kampung Tok Subuh, Mukim 14, Daerah Seberang Perai Tengah telah diluluskan kepada tetuan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) pada 13.5.2009.
Semasa mempertimbangkan permohonan tersebut, jabatan-jabatan teknikal telah dirujuk termasuk pihak IWK. Pihak IWK telah memberikan ulasan “tiada halangan” melalui surat bil.(76)dlm.PERDA:HT(BS)3/1-28 Jld.1 bertarikh 7.4.2009. Antara syarat kelulusan IWK adalah:
- Pada dasarnya penggunaan tangki septik individu untuk pembangunan ini seperti yang ditunjukkan di dalam pelan no.kerja AHS/063/0408(59)PERDA/PM adalah dibenarkan bagi projek dimana pecahan pengiraan penduduk setara tidak melebihi 150 PE. Jurutera perunding/pemaju boleh mencadangkan mana-mana jenis tangki septik yang diluluskan oleh Suruhanjaya, yang mana saiznya dapat menampung penduduk setara yang ditentukan.
- Segala kos pembinaan tangki septik individu dan kerja-kerja sampingan berkaitan serta penyambungan paip bagi semua bangunan ke tangki septik tersebut adalah tanggungjawab pihak pemaju dan hendaklah disiapkan sebelum surat pengesyoran Sijil Layak Menduduki Bangunan dikeluarkan. Kos penyelenggaraan bagi tangki septic serta pemansuhan tangki septik apabila sambungan ke paip pembetung awam dibuat kelak hendaklah ditanggung sepenuhnya oleh pihak pemaju.

- Cadangan tangki septik untuk cadangan pembangunan ini ditarafkan sebagai sementara dan adalah tertakluk kepada strategi tadahan pembetungan yang dipersetujui oleh Suruhanjaya ini. Pembetung ini tertakluk kepada polisi Sumbangan Wang Kapital Pembetungan (Mengikut seksyen 172, Akta Industri Perkhidmatan Air) yang akan dikenakan kepada pihak pemaju/pemilik. Jumlah Wang Sumbangan Kapital yang perlu dibayar adalah bergantung kepada peraturan mengenai kadar Bayaran Sumbangan Kapital Pembetungan yang akan ditentukan oleh pihak kerajaan kelak. Bayaran Wang Sumbangan Kapital Pembetungan tersebut hendaklah dijelaskan sebelum surat pengesyoran Sijil Layak Menduduki Bangunan dikeluarkan.

- Tangki Septik Individu dan pecahan penduduk setara hendaklah mematuhi piawaian dan garispanduan pembetungan yang diluluskan oleh Suruhanjaya serta pastikan bahawa tangki septik individu yang direkabentuk dan dibina dengan mengambilkira aspek kualiti, kefungsian kerja, kemudahan penyelenggaraan serta penyedutan enapcemar.

- Pihak pemaju dikehendaki menyediakan paip retikulasi bagi keseluruhan Fasa 1 dan menyediakan paip sambungan ke semua lot-lot terlibat, sebelum Sijil Syor Kelayakan Menduduki untuk Fasa 1 dapat diberikan.

- Pihak pemaju dikehendaki menggunakan jenis-jenis tangki septik yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

- Pihak pemaju mengemukakan Surat Akujanji daripada PERDA untuk membuat kerja-kerja penyambungan setelah “pumping station” dibina.
Bagi cadangan mengatasi masalah ini satu lawatan tapak telah diadakan pada 14 Oktober 2014 yang turut dihadiri YB Tuan Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk), Encik Ho Leng Hong (Ahli Majlis MPSP), wakil JKKK, wakil IWK dan wakil MPSP bagi melihat keadaan tapak berhubung isu pembentungan di kawasan perumahan tersebut.
Hasil lawatan tersebut mendapati terdapat sistem pembentung yang dibina oleh pemaju (PERDA) di tengah-tengah jalan utama dan mempunyai beberapa “manhole”. Walau bagaimanapun, kumbahan yang terdapat di dalam pembetung tersebut telah melimpah keluar melalui salah satu “manhole” tersebut. Terdapat juga sisa najis / kumbahan yang mengalir di dalam longkang utama dan longkang-longkang di dalam kawasan perumahan tersebut.


Satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bersama pihak YB, MPSP PERDA, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Wilayah Utara (SPAN) dan IWK untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk dalam tempoh jangkamasa pendek dan tempoh jangkamasa panjang.
Selain itu, MPSP juga sedang mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang di atas baki lot yang terletak bersebelahan skim perumahan tersebut bagi cadangan Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh Jabatan Perumahan Negara. Permohonan tersebut juga telah dirujuk kepada IWK dan melibatkan cadangan pembinaan sebuah loji rawatan kumbahan dan rumah pam.
Disediakan Oleh: Hasnah Sulaiman (012-443 2112)
Disemak oleh : Mohd Lokman Hakim Bin Syed Sultan (017-4779796)
Kembali