MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Nyatakan langkah-langkah yang telah dan akan diambil Kerajaan Negeri dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dari negara asing. Berapakah peratusan pelaburan asing di Pulau Pinang sejak tahun 2012 berdasarkan sektor dan negara. Berapakah jumlah pelaburan asing di Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2012.
Dun -
Exco
Perkara Pelaburan

Jawapan
Antara langkah-langkah yang di ambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dari Negara asing adalah seperti berikut;

(1) Mendinamikkan daya saing Negeri dari segi teknologi dan kemantapan rantaian nilai melalui linkungan industri yang kondusif dengan pelaburan langsung asing yang berkualiti;
Kepesatan ekonomi Negeri yang sejajar dengan usaha kerajaan Negeri menarik pelaburan antarabangsa terbukti dengan penempatan industri-industri strategik dan syarikat berteknologi tinggi seperti “LED”, “Solar”, “Medical Devices”, Aerospace/Avionic” dan “perkhidmatan SSO”. Penglibatan industri-industri strategik tersebut telah menarik syarikat-syarikat terkemuka dunia untuk mengembangkan operasi mereka di Pulau Pinang. Kehadiran syarikat-syarikat ini secara tidak langsung berjaya memberi sumbangan positif kepada keseluruhan industri serta mempercepatkan pencapaian status negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi selaras dengan misi kerajaan negeri Pulau Pinang. Peningkatan pesat syarikat-syarikat IKS Pulau Pinang dalam rantaian bekalan global bagi industri yang disasarkan memainkan peranan sebagai pemangkin penarikan pelaburan baru disamping menjana pemindahan teknologi tinggi oleh syarikat-syarikat asing kepada syarikat tempatan.

(2) Menggiatkan promosi pelaburan dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai tambah nilai dan teknologi yang tinggi
Perkongsian Perkhidmatan Penyumberan Luar ataupun lebih dikenali sebagai “Shared Services and Outsourcing (SSO)” telah menjadi industri penting dalam mempercepat dan melengkapi pendekatan perkhidmatan perkongsian. Semakin banyak syarikat yang menufaatkan/memantapkan strategi perkhidmatan perniagaan global mereka bagi menyelaraskan objektif perniagaan mereka dan memperoleh ekonomi mengikut skala. Sektor ini telah dikenal pasti sebagai salah satu sektor yang mempunyai tambah nilai yang tinggi dan berpotensi menjadi pemangkin ekonomi negeri. Antara pencapaian Kerajaan Negeri dapat dilihat menerusi:

(i) Pertambahan projek-projek naik taraf seperti penambahbaikan struktur fizikal bangunan MSC sedia ada dan mempertingkatkan mutu dan kualiti infrastruktur seperti mengoptimumkan penggunaan gentian optik di kawasan Penang Cybercity.

(ii) Pelbagai seminar, misi perniagaan dan pameran telah disertai dalam usaha Kerajaan Negeri mempromosikan industri SSO telah berjaya menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan bagi pelabur-pelabur industri ini. Selaras dengan itu, Pulau Pinang juga merupakan destinasi tumpuan pelabur asing dalam sektor Proses Perniagaan Penyumberan Luar Teknologi Maklumat (IT-BPO) yang baru muncul dan membuka peluang syarikat-syarikat menawarkan kepelbagaian dalam operasi global yang sekaligus meningkatkan efisiensi kos menjalankan perniagaan. (Sumber: Laporan Exploring Global Frontiers KPMG).

(iii) Pembangunan Penang Cybercity sebagai Koridor Raya Multimedia (MSC) di Pulau Pinang diperkembangkan dengan mengiktirafkan beberapa bangunan komersil yang boleh dibangunkan sebagai bangunan MSC (contoh seperti bangunan One Precint)

(3) Membangun dan menjalankan usahasama dengan IKS tempatan bagi memberangsangkan penglibatan IKS tempatan di arena antarabangsa serta menjadikan industri tersebut lebih kompetitif dan memperkukuhkan kedudukan IKS di dalam rantaian nilai.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan inisiatif bagi membangunkan IKS di Pulau Pinang menerusi investPenang. Perlaksanaan inisiatif tersebut ialah melalui tiga pendekatan, iaitu; penubuhan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan IKS (SME Market Advisory, Resource & Training – S.M.A.R.T Centre) dan Perkampungan IKS (SME Village).

Pusat S.M.A.R.T bertanggungjawab memberi peruntukan penyenaraian direktori, bengkel pembangunan keupayaan (capacity building workshop) dan juga sesi pemadanan perniagaan (business matching) bagi membantu para IKS untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.


Pendekatan pertama iaitu penubuhan Pusat S.M.A.R.T. adalah bertujuan membantu para IKS untuk membangunkan perniagaan mereka. Dari awal penubuhan pusat S.M.A.R.T telah berusaha menjadi tulang belakang pembangunan IKS di Pulau Pinang. Pusat ini telah berjaya membantu sebanyak 556 IKS yang merangkumi pelbagai jenis industri. 419 sesi pemadanan perniagaan telah dilaksanakan bagi membuka ruang untuk perkembangan perniagaan. S.M.A.R.T Centre juga telah berjaya membantu menjalinkan kerjasama diantara beberapa syarikat IKS dengan 17 buah syarikat antarabangsa bagi mendapatkan bekalan bahan mentah dan perkhidmatan dari sumber tempatan. Selain itu, S.M.A.R.T Centre juga telah menganjurkan sebanyak 56 seminar bagi tujuan meningkatkan efisiensi IKS di Pulau Pinang. Sehingga kini, sebanyak 254 IKS daripada pelbagai industri telah mendaftar sebagai ahli direktori talian S.M.A.R.T. Centre.

Pendekatan kedua ialah penubuhan Pusat IKS yang dipertanggungjawabkan menyediakan ruang operasi kepada usahawan-usahawan baru dan sedia ada yang telah mula beroperasi pada bulan Oktober tahun 2012. Penubuhan IKS tersebut bertujuan untuk meningkatkan kedudukan IKS dalam rantaian nilai (value chain) melalui pembangunan kemahiran inovasi. Disamping itu, pusat IKS juga mempromosikan keupayaan IKS tempatan dalam rantaian bekalan (supply chain) bagi menarik minat pelabur asing.
Pendekatan ketiga merupakan perkampungan IKS. Seluas 150 ekar tanah perindustrian di kawasan perindustrian Batu Kawan sedang dibangunkan oleh PDC sebagai perkampungan IKS. Perkampungan IKS tersebut bermatlamat untuk:

(i) menyediakan kilang-kilang yang telah siap dibina jenis teres atau berkembar serta plot-plot tanah perindustrian kecil untuk IKS.
(ii) menempatkan IKS secara kelompok untuk mempamerkan rantaian bekalan (supply chain) yang lengkap bagi menarik pelabur-pelabur asing.

(iii) mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dengan kemudahan berkongsi.

(4) Mengekalkan, melatih dan menguruskan bekalan tenaga mahir di dalam negeri dan menarik tenaga mahir dari luar untuk bekerja di Pulau Pinang selari dengan sokongan kerajaan negeri untuk meningkatkan rantaian nilai industri-industri di Pulau Pinang;

Kesan buruk daripada kemelesatan ekonomi pada awal tahun 2009 telah menyebabkan segelintir syarikat memberhentikan perkerja-perkerja mereka bagi mengurangkan kos perniagaan. Ekoran ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Pusat Kerjaya dan Bakat Negeri Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Talent (CAT) Centre) bagi tujuan menghubungkan pekerja yang telah diberhentikan kerja serta individu yang ingin mencari pekerjaan dengan peluang - peluang pekerjaan yang sedia ada. Pusat ini terus mengembleng usaha untuk mengamalkan polisi dan strategi untuk menarik dan mengekalkan bakat-bakat sumber manusia di Pulau Pinang.
Antara pencapaian Pusat Kerjaya dan Bakat Negeri Pulau Pinang sehingga kini ialah:

(i) Melaksanakan pemadanan jawatan untuk 229 buah syarikat yang memerlukan pekerja. Secara kumulatif seramai 16,120 pemadanan jawatan (7,198 orang pencari kerja) telah dijalankan untuk 5,684 jawatan yang diminta dari syarikat-syarikat tersebut.
(ii) Menawarkan CAT Attachment Program kepada 395 rakyat. Program penempatan ini adalah dijalankan dengan rakan-rakan pusat Penang CAT, iaitu PDC, MPPP, MPSP dan PBA. Selepas tamat program ini, 74 daripada peserta program telah di serap ke dalam agensi-agensi berkenaan sebagai pekerja tetap.

(iii) Menubuhkan laman web Pusat Pg CAT ‘MY Penang...My Workplace’ – www.penangcatcentre.my untuk menjadi pusat sumber maklumat dan rangkaian profesional yang menghubungkan kedua-dua bakat sumber manusia tempatan dan luar negeri yang ingin bekerja di Pulau Pinang dengan syarikat-syarikat di negeri ini yang sedang merekrut pekerja. Jumlah keseluruhan (kumulatif) sehingga 21 Oct, 2014, seramai 78,317 pelawat unik telah melawati laman web CAT dengan jumlah ‘hits’ melebihi 120,390.

(iv) Pusat Pg CAT berkait secara langsung di antara para pelabur dengan institusi pengajian tinggi dalam usaha memenuhi permintaan tenaga kerja daripada para pelabur.

(5) Menyemai minat generasi muda dalam bidang sains dan kejuruteraan melalui usahasama anjuran kerajaan negeri dan pihak industri;


Majlis Sains Pulau Pinang (“Penang Science Council”) telah menganjurkan pameran dan program berasaskan sains dan teknologi untuk para pelajar diperingkat sekolah bagi memangkin kreativiti dan inovasi dalam bidang sains di kalangan generasi muda serta bertujuan menginspirasikan sains dan teknologi sebagai kareer pilihan mereka. Majlis ini menerima respon yang memberangsangkan serta dikagumi oleh para pelabur asing.

(6) Menyediakan insentif dalam bentuk persekitaran yang kondusif untuk pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan seperti;
(i) Menubuhkan Pasukan Petugas Khas yang diketuai sendiri oleh Ketua Menteri sebagai pemudahcara perniagaan bagi setiap pelaburan yang melebihi jumlah RM1 Billion. Menawarkan skim harga tanah perindustrian yang kompetitif bagi projek pelaburan yang strategik melalui kerjasama dengan “Penang Development Corporation (PDC)”.

(ii) Membantu pelabur berpotensi dalam semua urusan rasmi dari hari pertama pelabur tiba di Pulau Pinang sehinggalah mereka menjalankan operasi melalui perkhidmatan investPenang sebagai sebagai sebuah Pusat Hentian Setempat (One Stop Centre).

(iii) Menjadi pemudahcara dan menjalinkan kerjasama erat dengan agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan yang terlibat dalam aktiviti pelaburan seperti MIDA untuk pemberian insentif, Jabatan Alam Sekitar untuk proses kelulusan dan institusi-institusi latihan teknikal tempatan untuk melatih tenaga kerja berkemahiran tinggi serta agensi-agensi lain yang berkaitan.


Jumlah serta peratusan pelaburan asing di negeri Pulau Pinang sejak tahun 2012 mengikut Negara adalah seperti di Lampiran. Walau bagaimanapun, maklumat mengenai jumlah serta peratusan pelabauran asing mengikut sektor tidak diumumkan / didedahkan oleh pihak MIDA.




Disediakan oleh : Masayu Azreen binti Md Said / 012-4117002
Disemak oleh : Encik Mohd Farulizam bin Che Meh / 019-4817678
Diluluskan oleh : Y.Bhg. Dato' Abu Jamal bin Nordin / 017-9997519
Kembali