Jawapan
(a) Memang terdapat satu proses jual beli tanah penjualan lot-lot lidi yang sukar dikawal iaitu jual beli tanah pertanian yang kemudiannya digunakan untuk tujuan kediaman. Proses jual beli ini dibuat melalui dokumen ikatan perjanjian jual beli di antara kedua pihak, dan ada kalanya tiada dokumen jual beli. Masalah yang timbul kemudiannya ialah tiada jaminan pemilikan tanah untuk pembeli kerana nama pembeli tidak didaftarkan sebagai pemilik di dalam suratan hakmilik (geran). Pendaftaran hakmilik tidak dapat disempurnakan memandangkan tidak memenuhi syarat-syarat pendaftaran hakmilik mengikut Kanun Tanah Negara (KTN). Mengikut syarat KTN, hanya seorang pemilik sahaja boleh didaftarkan bagi tanah pertanian yang keluasannya satu ekar. Syarat ini bermakna walaupun ada perjanjian jual beli tanah pertanian yang keluasannya kurang daripada satu ekar, pendaftaran pindah milik tidak dapat dilaksanakan. Bagi membolehkan nama pembeli didaftarkan sebagai pemilik, tanah pertanian tersebut perlu ditukar syarat terlebih dahulu kepada ‘bangunan’ sebelum ianya boleh diproses pecah bahagian.
(b) Terdapat juga tanah-tanah pertanian yang berstatus first grade. Bagi tanah-tanah jenis ini nama pembeli boleh didaftarkan sebagai pemilik tanpa tanah tersebut melalui proses tukar syarat. Pendaftaran pembeli tanpa had ini akan manjadi satu lot tanah mempunyai pemilik berdaftar yang ramai, iaitu 20 – 30 orang, dan mereka akan menjadi pemilik bersama bagi lot berkeluasan dengan berkongsi satu hakmilik sahaja.
(c) Bagi membolehkan setiap pemilik berdaftar memprolehi hakmilik masing-masing secara berasingan, mereka hendaklah secara bersama membuat permohonan untuk pecah bahagian (partition) tanah seperti prosedur berikut:-
(i) Melantik juruukur berlesen yang akan membuat pengukuran tanah dan menyediakan pelan. Bayaran kepada juruukur adalah bergantung kepada kadar yang ditetapkan oleh Lembaga Jurukur.
(ii) Juruukur mengemukakan permohonan untuk pecah bahagian tanah bersama pelan dan Borang 9B (Seksyen 142 KTN) yang ditandatangani oleh tuan-tuan tanah berdaftar. Bayaran proses permohonan ialah RM50.00 bagi setiap plot baru yang akan didaftarkan, dengan bayaran minima RM200.00
(iii) Setelah diluluskan, jurukur akan menyediakan pelan untuk pendaftaran hakmilik. Bayaran pendaftaran ialah RM200.00 untuk satu hakmilik sementara dan hakmilik kekal.
(iv) Dengan pendaftaran hakmilik ini bermakna pemilik memperolehi hakmilik bagi tanahnya dan tidak lagi berkongsi nama dengan pemilik lain.