MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Untuk meningkatkan prestasi perniagaan tempatan melalui usaha sama usahawan Melayu, Cina dan India untuk meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan di Pulau Pinang. Bagaimanakah kerajaan dapat memupuk usaha sama perniagaan antara kaum.
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Kerajaan Negeri tidak mempunyai apa-apa program khusus bagi memupuk usaha sama usahawan Melayu, Cina dan India dalam meningkatkan prestasi perniagaan tempatan dan meningkatkan ekonomi serta peluang pekerjaan buat masa kini. Namun, Kerajaan Negeri telah memilih enam usahawan terdiri oleh orang Melayu, Cina dan India yang telah memenuhi kriteria yang digariskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Keusahawanan untuk menyertai Festival Makanan dan Kebudayaan Sarawak (sempena 50 tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia) di Sarawak pada tahun lepas.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengalakkan pembangunan ekonomi yang sama rata. Bagi memastikan daya saingan yang serata, aktiviti-aktiviti ekonomi haruslah dilaksanakan tanpa dipengaruhi oleh isu-isu seperti faktor monopoli ekonomi mengikut kaum, faktor kronisme dan sebagainya.

Untuk mengalakkan pembangunan ekonomi yang sama rata dan memastikan persaingan yang adil dalam merebut peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan, Kerajaan Negeri melalui PDC mengamalkan mekanisme tender terbuka dan jemputan cadangan (RFP) dalam semua aktiviti pembangunannya.

Dasar pemberian tender secara terbuka telah mula dilaksanakan oleh PDC sejak 8 April 2008 berdasarkan garispanduan dalam Surat Pekeliling Kewangan Negeri Bil 5/2008. Di bawah sistem ini, semua kontraktor yang layak dan memenuhi syarat boleh menyertai tender tersebut.

Dari segi pembangunan tanah pula, PDC mengamalkan jemputan cadangan (Request for Proposal) di mana pihak berkelayakan dan berpengalaman dijemput dalam mengemukakan kertas cadangan. Cadangan ini kemudiannya dinilai dari segi faedah yang diperolehi seperti kos, kualiti, tempoh masa dan faedah kepada rakyat keseluruhannya.

Pada masa yang sama, program-program lain juga dirangka dan dilaksanakan untuk membangunkan dan menyediakan perniagaan kecil untuk menghadapi persaingan di pasaran terbuka. Ke arah itu, Kerajaan Negeri melalui PDC telah melaksanakan Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) Negeri Pulau Pinang yang merupakan program mikrokredit yang memberikan pinjaman kepada peniaga-peniaga kecil dengan peruntukan bajet berjumlah RM7 juta untuk membantu usahawan tempatan. Sehingga April 2014, PTSR telah memberi pinjaman kepada 1,744 perniagaan kecil dengan jumlah RM7,063,630.40.

Bagi golongan yang telah tersedia bersaing, PDC menganjurkan program-program jaringan perdagangan dan pemadanan perniagaan di peringkat tempatan dan Asean Utara melalui kerjasama dengan Wilayah IMT-GT, Dewan-Dewan Perniagaan untuk menjalin rangkaian perniagaan bagi menembusi pasaran baru. Program seperti Pekan Raya Sumatera Utara, Ekspo Halal menjadi satu forum kepada usahawan-usahawan tempatan untuk mempromosi produk dan menembusi pasaran luar negara terutamanya Indonesia dan Wilayah Selatan Thailand.

Dalam sektor perindustrian pula, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti tiga pendekatan utama iaitu penubuhan Pusat Penasihat Pasaran, Sumber dan Latihan EKS (SME Market Advisory, Resource & Training Centre - SMART) untuk memberikan nasihat kepakaran perundingan, pewujudan Pusat EKS (SME Centre) yang membantu techno-preneur baru memulakan perniagaan dengan subsidi sewa dan pembangunan Perkampungan EKS (SME Village) untuk mereka yang perlukan tanah untuk mendirikan kilang khasnya yang terlibat di dalam aktiviti-aktiviti berteknologi tinggi.

a. Disediakan oleh : Surentharan A/L Ramadas / 016-4571223
b. Disemak oleh : Mohd Farulizam Che Meh / 019-4817678
Kembali