MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Pendaki bukit dan para pencinta alam sekitar Pulau Pinang telah mengadu bahawa pokok-pokok yang berharga telah ditebang dan dicuri. Apakah langkah dan strategi kerajaan tempatan untuk manghalang kecurian ini? Sekiranya kurang tenaga kerja, adakah Kerajaan Negeri menghubungi pihak Kerajaan Persekutuan seperti Ranjer Hutan untuk menyelamatkan alam sekitar Pulau Pinang?
Dun -
Exco
Perkara --

Jawapan
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan langkah-langkah strategik bagi menangani isu pokok hutan ditebang tanpa permit atau dicuri khususnya di dalam kawasan berhutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal(HSK). Antara langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut:-

(a)Mengenalpasti kawasan-kawasan panas atau 'hotspot' yang sering berlakunya kes-kes penebangan pokok secara haram dengan meningkatkan kekerapan aktiviti rondaan ke kawasan tersebut.

(b)Menambah bilangan kakitangan yang terlibat dalam penguatkuasaan hutan untuk meningkatkan kadar rondaan. Rondaan bukan sahaja dilaksanakan oleh Unit Penguatkuasaan dan Tugas-tugas Khas tetapi juga melibatkan setiap anggota di Pejabat Renjer Hutan di negeri Pulau Pinang.

(c)Menambah bilangan papan tanda pemberitahuan, aduan dan papan tanda amaran di kawasan HSK khususnya di kawasan-kawasan berisiko tinggi.

(d)Menyediakan talian 'hot line' khusus berkaitan kes kesalahan hutan yang berlaku di Pulau Pinang yang bertujuan memudahkan masyarakat untuk membuat laporan/ aduan jika berlakunya kes kesalahan hutan.


(e)Merancang tindakan operasi bersepadu secara berkerjasama dengan pihak polis dan agensi penguatkuasa yang lain dalam membanteras kes-kes kesalahan hutan di mana tindakan bersepadu akan dirancang.

(f)Menjalankan operasi bersama dengan Jabatan Perhutanan Negeri yang bersempadan dengan Negeri Pulau Pinang seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan Jabatan Perhutanan Negeri Perak serta Bahagian Penguatkuasaan Hutan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

(g)Mengadakan latihan penggunaan dan penyelenggaraan alat keselamatan diri secara berterusan bagi melatih anggota Jabatan agar serbuan dan tangkapan yang dijalankan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

(h)Menjalankan tangkapan terhadap mana-mana individu/ pihak yang didapati melakukan kes-kes berkaitan kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984, diterima pakai di Negeri Pulau Pinang sebagai Enakmen Perhutanan Negeri Pulau Pinang 1986.


Cadangan pengukuhan perjawatan masih dalam pertimbangan pihak Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah kekurang tenaga kerja di Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang.


Kembali