MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
30/04/2015 12:00:00 PM
Soalan Apakah perancangan dan bantuan-bantuan khusus yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memajukan Industri Inap Desa (Homestay)terutamanya di kawasan Seberang Perai?
Dun -
Exco
Perkara Pelancongan

Jawapan
Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pembangunan industri pelancongan sama ada di bahagian pulau mahupun di Seberang Perai. Ini termasuklah membangunkan keupayaan Industri Inap Desa ataupun homestay. Sehingga kini terdapat 10 buah homestay di Pulau Pinang yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia di Pulau Pinang. .
Kerajaan Negeri tetap komited untuk membantu membangunkan industri ini dengan mengambil inisiatif-inisiatif seperti berikut:
(i) Mengadakan Bengkel Pembangunan Homestay Negeri Pulau Pinang pada 29 – 30 Jun 2013 dan telah dihadiri oleh 46 orang peserta. Bengkel ini diadakan untuk memberi penerangan kepada bakal-bakal pengusaha homestay mengenai hala tuju, garis panduan penubuhan homestay serta potensi homestay di Pulau Pinang.
(ii) Mengadakan Bengkel Pelan Tindakan Pembangunan Homestay Negeri Pulau Pinang pada 19 April 2014 dan telah dihadiri oleh 79 orang peserta. Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memandu dan membimbing bakal-bakal peserta program homestay tentang tatacara pendaftaran, pengurusan dan pengisian program homestay yang akan dilaksanakan.
(iii) Cadangan Karnival Homestay bertempat di Homestay Mengkuang Titi pada 6 – 7 Disember 2014. Selain daripada penglibatan pelancong, karnival ini turut disasarkan kepada agen-agen pelancongan di Pulau Pinang. Karnival ini dijangka akan dapat memberi pendedahan mengenai konsep percutian homestay, serta pengalaman melaksanakan aktiviti masyarakat kampung.
(iv) Cadangan Pertandingan Homestay Negeri Pulau Pinang pada tahun 2015 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (KPK). Pertandingan ini disasarkan kepada semua homestay di Negeri Pulau Pinang yang telah berdaftar dengan KPK. Ia bertujuan untuk memberi galakan kepada pengusaha sedia ada untuk memastikan homestay mereka sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan tersedia untuk menerima kehadiran pengunjung.
Hasil daripada usaha-usaha yang dilaksanakan serta kerjasama dari pelbagai pihak seperti Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara dan Pejabat KPK Negeri Pulau Pinang, satu lagi homestay dijangka akan beroperasi tidak lama lagi iaitu Homestay Lahar Yooi, Seberang Perai Utara. Lawatan pemeriksaan oleh pihak KPK telah dijadualkan pada 11 November 2014 bagi membuat penilaian terhadap permohonan untuk pendaftaran homestay ini.




Disediakan oleh: Hazwani binti Ismail (0129072706)
Disemak oleh: En. Mohd Farulizam bin Che Meh (046505547)
Kembali