MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Tempat letak kereta bertingkat di kaki Bukit Bendera telah gagal disiapkan mengikut tarikh. (a)Jelaskan sebab kelewatan dan nyatakan dengan terperinci jadual pelaksanaan,kos meroboh dan kos membina semula serta nyatakan sumber pembiayaan projek yang kedua ini. Berikan perincian sebab dirobohkan dan apakah pendirian kerajaan negeri diatas kegagalan pembinaan yang pertama dan siapakah yang bertanggungjawab.
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan
Punca projek ini lewat disiapkan adalah kerana terdapat percanggahan maklumat mengenai keadaan tanah (sub-surface conditions) di mana berdasarkan Soil Investigation yang dilaksanakan kedalaman bedrock hanyalah di antara 7 meter hingga 14 meter. Namun begitu, selepas micropiling dilaksanakan adalah didapati kedalaman sebenar bedrock melebihi 27 meter. Memandangkan kos untuk meneruskan pembinaan cerucuk secara micropiling adalah terlalu tinggi, maka PDC telah membuat keputusan untuk menukarkan kaedah penanaman cerucuk kepada jack-in piling system iaitu menggunakan pile jack-in machine dan precast concrete spun piles. Kerja-kerja penanaman cerucuk spun piles secara jack-in tidak dapat dilaksanakan dengan lancar kerana terdapat banyak batu-batu (boulders) pada kedalaman di antara 2 hingga 6 meter dari aras tanah sediada. Batu-batu ini terpaksa dipecahkan menggunakan jentera dan secara kimia (chemical blasting) serta dibuang dari tapak sebelum kerja-kerja piling dilaksanakan di lokasi terbabit. Kerja-kerja pemecahan batu ini telah memakan masa yang lama untuk memastikan keselamatan kepada orang ramai dan struktur berdekatan.

Perlu diingatkan bahawa projek asalnya adalah di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional sebelum tahun 2008. Apabila Kerajaan Negeri meluluskannya pada tahun 2007, ia diserahkan kepada PDC yang telahpun menguruskannya secara langsung dengan pelanggan (Kementerian Pelancongan) tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri. Itulah sebabnya apabila Kerajaan Negeri berubah kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak diminta untuk memberikan sebarang kelulusan atau mengadakan mesyuarat kerana semua sudah diputuskan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri yang lepas.

Pada asalnya Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan di Stesen Bawah Bukit Bendera iaitu pembinaan Tempat Letak Kereta Bertingkat merupakan projek yang telah diluluskan sebagai satu komponen di bawah RMKe-9 Kementerian Pelancongan Malaysia.

Mesyuarat Projek Peningkatan Kemudahan Pelancongan di Stesen Bawah Bukit Bendera pada 19 Mac 2007 telah memutuskan untuk membangunkan Tempat Letak Kereta Bertingkat di atas Lot 10004 (dahulu dikenali sebagai Plot A Lot 201 dan 218) dan sebahagian dari Rezab Jalan, Mukim 16, Jalan Bukit Bendera, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang merupakan tanah Kerajaan Negeri.

Jumlah kos keseluruhan jack-in piling dan pemecahan batu adalah jauh lebih rendah dari kos asal kontrak untuk micropiling (yang dikira berdasarkan kepada purata kedalaman 17 meter). Sebab-sebab tempat letak kereta yang lama dirobohkan adalah:
(a) PDC telah menjalankan kajian kos terhadap pembinaan semula Tempat Letak Kereta Bertingkat di Bukit Bendera. Jumlah kos pembangunan bangunan lama ialah RM5.75 juta iaitu termasuk kos untuk membaikpulih bangunan. Namun begitu, bangunan ini hanya boleh menempatkan 96 tempat letak kereta. Ini bermakna kos untuk setiap tempat letak kereta bagi bangunan lama ialah RM59,896.

(b) Jumlah kos bangunan tempat letak kereta baru (setelah ditolak ruang pejabat, kedai dan foodcourt) termasuk kos perobohan ialah RM10,684,000.00. Bangunan baru ini dapat menampung 310 tempat letak kereta iaitu 214 unit lebih dari bangunan lama. Ini bermakna kos untuk setiap tempat letak kereta bagi bangunan baru ialah RM34,465. Kos unit (cost per bay) ini jauh lebih rendah berbanding kos unit bangunan asal. Manakala kos unit keseluruhan (overall cost per bay) ialah RM51,200 iaitu setelah mengambil kira kos pembangunan bangunan lama, kos perobohan dan kos bangunan baru. Kos unit keseluruhan ini adalah rendah berbanding kos unit bangunan lama.

(c) Keputusan Kerajaan untuk membina semula kompleks letak kereta dengan satu rekabentuk yang lebih efisien serta tambahan kemudahan tempat letak kereta dan kedai akan dapat menebus semula semua kos terdahulu dengan tambahan hasil kutipan yuran letak kereta dan juga sewaan kedai.

(d) Perobohan tempat letak kereta yang lama juga telah dipersetujui oleh Kementerian Pelancongan Malaysia berdasarkan hasil kajian pasukan pakar JKR yang memberi maklumbalas bahawa terdapat rekahan pada lantai dan rasuk bangunan, susunatur dalaman bangunan yang tidak selamat serta kos yang tinggi untuk rehabilitasi.

Projek ini dijangka siap pada 31 Mei 2014 dan mendapat Certificate of Completion and Compliance (CCC) pada 1 September 2014. Jadual perlaksanaan projek terperinci adalah:


(a) Kerja-kerja cerucuk telah disiapkan pada 9 November 2013.
(b) Kerja-kerja dibawah aras tanah (ground floor) dijangka siap pada 9 Disember 2013.
(c) Kerja-kerja super-structure dijangka siap pada 27 Mac 2014.
(d) Kerja-kerja bumbung dijangka siap pada 10 Mei 2014.
(e) Kerja-kerja architectural dijangka siap pada 23 Mei 2014.
(f) Kerja-kerja plumbing, M&E dan infrastruktur luaran dijangka siap pada 29 Mei 2014.
(g) Clearing and handing over dijangka siap pada 31 Mei 2014.

Kos meroboh ialah RM688,000.00 dan kos membina semula ialah RM11,491,073.90. Sumber pembiayaan bagi projek yang kedua ini dan juga kos meroboh bangunan lama adalah dari PDC.

Pendirian Kerajaan Negeri di atas kegagalan pembinaan yang pertama ialah PDC yang meluluskannya perlu bertanggungjawab di atas kesilapan perlaksanaan projek ini iaitu meroboh bangunan tempat letak kereta yang lama dan membina semula tempat letak kereta baru yang lebih efisen dan pegawai yang bertanggungjawab telah diambil tindakan dengan ditamat perkhidmatan serta merta dan dirujuk kepada Perbadanan Arkitek Malaysia. Pegawai yang bertanggungjawab ialah Ketua Pegawai Eksekutif, PDC Consultancy Sdn Bhd pada masa itu.
Kembali