Jawapan
TAKRIFAN BENCANA
Bencana - ertinya suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan Negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif. Kejadian ini memerlukan pengendalian yang melibatkan sumber, peralatan, kekerapan dan tenaga manusia yang ekstensif daripada banyak agensi serta penyelarasan yang berkesan, dalam mana kemungkinan memerlukan tindakan yang kompleks dan jangkamasa yang panjang.
ARAHAN MAJLIS KESELAMATAN NEGARA NO 20
Di Pulau Pinang, seperti juga di seluruh negara - Prosedur standard (Standard of Procedure) atau dasar dan mekanisme pengurusan bencana yang digunapakai dan menjadi amalan Kerajaan Negeri adalah berdasarkan Arahan 20 (Semakan Semula) Majlis Keselamatan Negara.
Sejarah awal dasar ini adalah susulan daripada kejadian keruntuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Klang, Selangor, pada 11 Disember 1993, maka Jemaah Menteri pada 18 Mei 1994 telah memutuskan untuk mewujudkan satu mekanisme pengurusan Bencana dan diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Hasil daripada keputusan tersebut, MKN telah mengeluarkan Arahan mengenai Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara pada 11 Mei 1997. Semakan semula pada arahan ini telah dilaksanakan pada 30 Mac 2012 demi menyesuaikan dasar ini dengan tuntutan keperluan semasa.
Arahan ini menggariskan mekanisme pengurusan bencana secara lebih menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana.
AGENSI
Setiap agensi; seperti Kerajaan Negeri atau Pusat, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Kesihatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan lain - lain agensi seperti yang tersenarai dalam Arahan 20 - perlu melaksanakan peranan masing - masing dan dilaksanakan secara bersepadu oleh semua agensi supaya tindakan di setiap peringkat menjadi lebih efektif dan efisyen. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan berlakunya pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani bencana.
TATACARA PENGURUSAN BENCANA
Tatacara pengurusan ini terbahagi kepada tiga tahap iaitu;
BENCANA TAHAP 1
Kejadian setempat yang terkawal dan tidak berpotensi untuk merebak atau di dalam satu - satu daerah. Bencana ini tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk setempat secara meluas. Pihak berkuasa di Peringakt Daerah mempunyai kemampuan untuk mengawal dan mengatasi kejadian ini.
BENCANA TAHAP 2
Kejadian yang lebih serius meliputi kawasan yang luas atau melebihi satu (1) Daerah dan berpotensi untuk merebak. Bersifat lebih kompleks daripada bencana Tahap 1. Memerlukan pengendalian oleh pihak berkuasa di Peringkat Negeri tanpa atau dengan bantuan dari luar yang terhad
BENCANA TAHAP 3
Kejadian yang berlaku melebihi dari satu negeri, perlu dan berupaya dikendali oleh pihak berkuasa di Peringkat Pusat tanpa atau dengan bantuan dari luar negara.
Secara amnya, tahap pengurusan bencana adalah bergantung kepadda penilaian jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat.
MEKANISME PENGURUSAN BENCANA DI PERINGKAT DAERAH
Merujuk kepada soalan kurungan (a) - di peringkat daerah; termaktub seperti di dalam Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara; Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bertanggungjawab melaksanakan segala tindakan penyelerasan keseluruhan pengurusan bencana.
Pegawai Daerah akan turut sama dibantu oleh - Ketua Polis Daerah sebagai Komander Operasi dan juga Pegawai Bomba Daerah sebagai Timbalan Komander Operasi di lapangan. Segala operasi akan dipantau melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Bilik Gerakan Pejabat Daerah dengan dibantu oleh Pusat Kawalan Daerah (DCC) oleh PDRM dan Pusat Gerakan Operasi Daerah (PGO) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Selain itu, pelan komunikasi antara agensi dan Pejabat Daerah dalam menyalurkan maklumat bencana pentin supaya Bilik Gerakan Pejabat Daerah dan kerja - kerja koordinasi dapat dijalankan dengan lancar dan pantas. Keutamaan operasi adalah untuk memastikan tiada kehilangan jiwa dalam sebarang kejadian bencana.
LANGKAH PEMULIHAN SELEPAS BENCANA
Program Pemulihan dan pembangunan semula hendaklah dilaksanakan dengan segera selepas sesuatu kejadian Bencana berlaku. Setiap Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela yang terlibat bertanggungjawab dalam melaksanakan penilaian kerosakan serta Pemulihan dan pembangunan semula infrastruktur awam di bawah bidang kuasa masing-masing.
JPBD (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah) dan JPBN (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri) bertanggungjawab membuat penilaian, perancangan dan perakuan kepada JPBP (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat) mengenai cadangan program Pemulihan dan pembangunan semula dengan mengambil kira konsep Pengurangan Risiko Bencana.
JPBP bertanggungjawab memutuskan program Pemulihan dan pembangunan semula yang akan dilaksanakan dan menetapkan Agensi Kerajaan atau pihak berkaitan untuk melaksanakannya.
PENUTUP
Kesimpulannya, kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil pakai Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara sebagai prosedur standard di dalam pengurusan bencana di negeri ini.
Memetik kata - kata, ahli astrofizik terkemuka Amerika; Neill deGrasse Tyson -
Even with all our technology and the inventions that make modern life so much easier than it once was, it takes just one big natural disaster to wipe all that away and remind us that, here on Earth, we're still at the mercy of nature.
Neil deGrasse Tyson
Walaupun dengan teknologi dan ciptaan yang telah memudahkan kehidupan moden kita, ia hanya memerlukan satu bencana alam untuk memusnahkan kesemuanya bagi mengingatkan kita, bahawa di muka Bumi ini, kita masih lagi dalam belas ihsan alam ini.