Jawapan
YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
MENJAWAB BAGI PIHAK YAB. KETUA MENTERI
6. Mengikut Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyelenggaraan) (Akta 663) yang dikuatkuasakan pada 12 April 2007, Badan Pengurusan Bersama/ Joint Management Body (JMB) wajib ditubuhkan di semua bangunan bertingkat di mana Pemaju dikehendaki menyerahkan tanggungjawab penyelenggaraan dan pengurusan kepada JMB tidak lewat daripada dua belas (12) bulan daripada tarikh penyerahan milikan kosong. JMB diwujudkan sebagai satu badan yang bertanggung jawab untuk menjaga dan memelihara daripada pemaju dan pemilik unit. JMB adalah 'perantara' kepada semua pemilik unit sebelum MC diwujudkan.
Bagi Rumah Pangsa Kos Rendah Kerajaan Negeri, Bahagian Perumahan berusaha menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) iaitu:
1. Mengadakan Majlis Taklimat Penubuhan Badan Pengurusa Bersama (JMB) kepada semua pemilik unit mengenai pentingnya penubuhan JMB/MC bagi bangunan bertingkat.
2. Mengeluarkan Notis 14 hari sebelum mengadakan Mesyuarat Agong Pertama JMB untuk membuat pelantikan Jawatankuasa.
3. Sekiranya Jawatankuasa JMB gagal menjalankan tanggungjawab mengurus dan menyelenggara kawasan perumahan tersebut, maka Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan akan mengurus selia kawasan perumahan berkenaan.
4. Bagi Rumah Pangsa Kos Rendah yang dimajukan oleh pihak swasta, penubuhan JMB adalah diwajibkan. Sekiranya Jawatankuasa JMB gagal dibentuk atau gagal mengurus dan menyelenggara kawasan perumahan mereka maka pihak COB (MPPP/MPSP) akan berusaha melantik agen pengurusan bagi mengendalikan pengurusan dan penyelenggaraan di kawasan perumahan berkenaan.
Perbadanan Pengurusan atau Management Corporation (MC) adalah satu perbadanan yang ditubuhkan di bawah Akta Hak Milik Strata 1 985 (Akta 318). Ia bertujuan bagi menguruskan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan bangunan bertingkat. Dengan berkuatkuasanya Akta 318 ini, pemaju dikhendaki menyerahkan tanggungjawab penyenggaraan dan pengurusan kepada MC apabila 25% Hak Milik Strata telah di pindah milik kepada pemilik petak (pemilik asal).
Bagi skim yang perlu ditubuhkan Perbadanan Pengurusan (MC)
1. Pesuruhjaya Bangunan akan mengarahkan pemilik asal memanggil mesyuarat pertama penubuhan Perbadanan Pengurusan (MC) apabila transaksi unit syer 25% tercapai.
2. Sekiranya pemilik asal gagal mematuhi peruntukan tersebut, Pesuruhjaya Bangunan boleh, melantik seseorang bagi memanggil mesyuarat agung tahunan.
3. Sekiranya, mesyuarat pertama atau mesyuarat agung tahunan yang dipanggil bagi membentuk perbadanan pengurusan telah gagal dianggotai. Pesuruhjaya Bangunan boleh melantik ejen pengurusan di bawah seksyen 50(1) Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318). Pesuruhjaya boleh, atas aduan oleh pemilik atau mana-mana orang atau badan lain yang mempunyai kepentingan berdaftar mengenai sesuatu petak bahawa perbadanan pengurusannya telah tidak berfungsi dengan memuaskan, jika berpuas hati kepentingan pemilik petak dalam bangunan atau tanah yang dipecah bahagi itu memerlukannya, melantik ejen pengurus untuk menjalankan kuasa dan menunaikan tugas dan fungsi perbadanan pengurusan itu.
4. Bagi Rumah Pangsa Kos Rendah Kerajaan Negeri sekiranya Jawatankuasa MC gagal menjalankan tanggungjawab mengurus dan menyelenggara kawasan perumahan tersebut, maka Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan akan mengurus selia kawasan perumahan berkenaan.
5. Bagi Rumah Pangsa Kos Rendah yang dimajukan oleh pihak swasta, penubuhan MC adalah diwajibkan. Sekiranya Jawatankuasa MC gagal dibentuk atau gagal mengurus dan menyelenggara kawasan perumahan mereka maka pihak COB (MPPP/MPSP) akan berusaha melantik agen pengurusan bagi mengendalikan pengurusan dan penyelenggaraan di kawasan perumahan berkenaan.