Jawapan
Projek Pembangunan UDA di Kampung Tanjung Tokong telah berlarutan sekian lama dan beberapa siri mesyuarat telah diadakan dan dipengerusikan oleh YB. Timbalan Ketua Menteri 1, dengan dihadiri oleh pihak UDA dan beberapa jabatan teknikal berkaitan. Sehingga kini dimaklumkan isu-isu penempatan semula penduduk dan pembangunan semula Kampung Tanjung Tokong masih dalam perbincangan.
Perkembangan terkini projek pembangunan semula Tanjong Tokong adalah mengikut fasa pembangunan berdasarkan Pelan Susun Atur Induk Pembangunan Perumahan dan Perdagangan Tanjong Tokong yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri pada 11 November 2003. Pelan Induk ini merangkumi kawasan seluas 78 ekar.
Komponen dan status pembangunan adalah seperti di Lampiran I.
Perkara berkaitan Kampung Tanjung Tokong dan Zon Warisan di kawasan tersebut adalah dalam kajian untuk dimasukkan dalam Pindaan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 di bawah JPBD Negeri.
Kampung Tanjung Tokong juga telah pun dikenal pasti sebagai kampung tradisional dalam Draf Rancangan Tempatan Kawasan (Pulau) MPPP yang perlu dipelihara, dikekalkan dan dipromosikan sebagai aset pelancongan.
Kronologi pemajuan UDA berdasarkan rekod MPPP adalah seperti berikut:-
(1) Permohonan kebenaran merancang no. JPB/PM/4560(LB) yang terletak di kawasan Warisan Tanjung iaitu untuk meroboh rumah sedia ada (70 unit) untuk cadangan skim perumahan gantian parcel 4A yang mengandungi:-
(a) Rumah pangsa kos rendah 6 tingkat (850 kp) 376 unit
(b) Rumah pangsa kos rendah 5 tingkat (800 kp) 120 unit
(c) Dewan serbaguna 2 tingkat
(d) Surau 1 tingkat
(e) Pencawang TNB (1 unit)
di atas sebahagian Lot 341, Sek. 1, Bandar Tanjong Tokong, DTL, Jalan Tanjong Tokong Lama, Pulau Pinang untuk Tetuan UDA Holdings Bhd.
Bil. Tarikh Peristiwa
(i)
7.6.2005
Kemuka Permohonan Kebenaran Merancang
(ii)
28.6.2007
Lulus dengan syarat (syarat-syarat teknikal daripada Bomba, TNB, MPPP)
(iii)
28.6.2008 hingga 27.6.2009
Pelanjutan kebenaran merancang 1
(iv)
28.6.2009 hingga 27.6.2010
Pelanjutan kebenaran merancang 2
(v)
28.6.2010 hingga 27.6.2011
Pelanjutan kebenaran merancang 3
(vi)
28.6.2011 hingga 27.6.2012
Pelanjutan kebenaran merancang 4
(vii)
8.6.2012 hingga 27.6.2013
Pelanjutan kebenaran merancang 5
Status terkini : Kebenaran merancang telah luput.
Kronologi isu Kampung Tanjung Tokong dan cadangan pembangunan semula Tanjung Tokong.
(1) Cadangan pembangunan penempatan semula Kampung Tanjung Tokong, akan melibatkan pembangunan 1,200 unit rumah pangsapuri penempatan semula di mana untuk peringkat pertama Warisan Tanjung Parcel 4A sejumlah 550 unit rumah berupa pangsapuri 6 hingga 10 tingkat yang keluasan di antara 800 hingga 850 kaki persegi akan dilaksanakan bagi menempatkan penduduk asal Kampung Tanjung Tokong. Pembinaan ini kini di peringkat tender dan ianya selaras dengan perjanjian yang telah ditandatangani dengan penduduk yang terlibat. Baki sejumlah 650 unit akan dibina pada peringkat kedua apabila Warisan Tanjung Parcel 4A ini disiapkan dan penduduk telah berpindah semula.
(2) Kesemua 96% iaitu 283 dari 294 penduduk yang ditawarkan telah berpindah serta menandatangani Perjanjian Penyelesaian dengan UDA serta bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh pihak UDA. Sejak Disember 2008 hingga Disember 2012 sebanyak 241 keluarga telah berpindah ke rumah transit di mana 74% telah menduduki rumah transit ini melebihi tempoh 4 tahun. Baki 42 keluarga menyewa di luar dengan subsidi sewaan bulanan oleh pihak UDA.
(3) Selain dari penempatan rumah ganti secara percuma, antara pampasan lain yang diberikan UDA kepada penduduk adalah berupa bayaran saguhati berjumlah antara RM2,000.00 ke RM3,500.00, bayaran elaun perpindahan RM1,000.00 atau pilihan untuk subsidi sewa RM500.00 / RM300.00 sebulan untuk menyewa di tempat lain atau penempatan sementara percuma di rumah transit sehingga pembangunan disiapkan dan penduduk akan dipindahkan semula ke tapak asal mereka.
(4) Pihak UDA turut berhadapan dengan desakan bukan hanya daripada penduduk yang enggan berpindah tetapi juga mereka yang telah berpindah ke rumah transit. Ini kerana penduduk rumah transit mendakwa telah terlalu lama mendiami rumah tersebut dan berharap pembangunan Warisan Tanjung Parcel 4A dapat dipercepatkan. Pihak UDA telah bersedia untuk memulakan pelaksanaan pembangunan Parcel 4A pada tahun ini. Walau bagaimanapun, antara punca kelewatan adalah disebabkan segelintir keluarga yang enggan menerima tawaran UDA.
(5) Selain itu, antara punca kelewatan projek ini adalah disebabkan masalah kelulusan pelan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Walau pun kelulusan untuk permohonan merancang dan pelan bangunan diperolehi pada 16 Oktober 2012, tetapi Borang C1 diserahkan kepada UDA pada 27 Mei 2013, di mana kelulusan Permohonan Merancang Asal tamat tempoh sah pada 27 Jun 2013. Pihak UDA tidak sempat mendapatkan kelulusan ke atas Pelan Pecahan Sempadan dan Pelan Kerja Tanah untuk membolehkan Kebenaran Memulakan Kerja diperolehi disebabkan kelewatan Borang C1. Pihak UDA terpaksa mengemukakan semula Pelan Permohonan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan selepas rayuan ke atas permohonan Lanjutan Pelan Kebenaran Merancang asal ditolak.
(6) Penjualan tender untuk projek ini telah dimulakan pada 23 Oktober sehingga 6 November 2012 dan tender ditutup pada 15 November 2012. Perlantikan kontraktor tidak dapat diteruskan memandangkan masih terdapat sebilangan kecil penduduk yang masih enggan mengosongkan tapak. Pada masa yang sama pihak UDA gagal memperolehi kelulusan ke atas Permohonan Kebenaran Memulakan Kerja daripada pihak MPPP. Tempoh sah tender selama 6 bulan dan disambung selama 3 bulan lagi telah tamat pada Ogos 2013. Pihak UDA dalam proses menender semula projek ini tertakluk kepada kelulusan Pelan Kebenaran Merancang serta Pelan Bangunan yang perlu dikemukakan semula.
(7) Berhubung masalah 11 keluarga yang masih enggan mengosongkan tapak, notis dari pihak UDA sendiri telah dikeluarkan pada 8 November 2012 apabila penduduk terlibat tidak memberi maklumbalas ke atas tawaran yang dikeluarkan kepada mereka. Ini diikuti oleh Notis Peguam pada 12 Disember 2012 dan juga 14 Januari 2013. Pihak penduduk telah diberi masa untuk mempertimbangkan tawaran yang diberikan pihak UDA sebelum Notis Mahkamah dikeluarkan pada 22 / 23 Jun 2013. Kes ini telah didengar di mahkamah pada 11 November 2013 dan ditangguhkan pada 4 Disember 2013.
Mengenai isu Kampung Warisan di Tanjung Tokong, pihak UDA telah bersetuju membina Kompleks Galeri Warisan yang akan menempatkan rumah-rumah tradisional melayu bersekali dengan kompleks komersil yang dicadang akan diuruskan oleh Koperasi Penduduk Tanjung Tokong. Cadangan pembangunan tapak seluas lebih kurang 2.6 ekar ini masih diperingkat awal serta secara dasarnya telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri. Bagaimana pun untuk konsep muktamad masih tertakluk kepada perbincangan serta persetujuan bersama antara UDA Holdings Berhad dan Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan.