Jawapan
Berapa strategi dan perancangan telah diatur untuk mempertingkatkan prestasi penguatkuasaan. Diantaranya ialah memperkukuhkan sumber manusia di mana anggota-anggota penguatkuasa telah didedahkan di dalam pelbagai latihan iaitu Kursus Undang-Undang, Komunikasi, Kursus Bahasa dan sebagainya untuk mempertingkatkan kemahiran dalam bidang kerja.
Majlis Perbandaran Pulau Pinang juga telah menambah bilangan anggota penguatkuasa. Pada masa kini berjumlah dua ratus enam puluh satu (261) anggota.
Selain itu, Peningkatan Keupayaan Logistik & Peralatan di MPPP melibatkan bilangan kenderaan atau logistik telah ditambah dari masa ke semasa iaitu pada tahun 2013, pembelian empat (4) buah pacuan 4 roda dan lima (5) buah lori tunda telah diluluskan.
Direktorat Penguatkuasa menggunakan peralatan-peralatan perobohan iaitu mesin-mesin yang berteknologi dan tidak lagi menggunakan kaedah lama iaitu tindakan perobohan secara manual.
Bagi memastikan organisasi dan fungsi Majlis Perbandaran Pulau Pinang menjadi organisasi yang lebih baik, MPPP telah menyemak semula kelemahan-kelemahan yang ada sewaktu penstrukturan semula pada tahun 2004 dan berikutan daripada itu, MPPP telah mengemukakan permohonan baru bagi penstrukturan semula organisasi MPPP ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 30 Januari 2012 dan kini masih lagi dalam peringkat pertimbangan JPA. Didalam cadangan Penstrukturan semula organisasi MPPP ini juga telah melibatkan pewujudan jabatan baru iaitu Direktorat Penguatkuasa bagi bertujuan memastikan peningkatan prestasi perkhidmatan dan kecekapan mutu kerja di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Di Seberang Perai, Direktorat Penguatkuasaan MPSP telah ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 2010. Tujuan penubuhan jabatan ini adalah bagi memusatkan tindakan penguatkuasaan fizikal daripada jabatan dalaman MPSP kepada Direktorat Penguatkuasaan.
Bagi memantapkan penguatkuasaan MPSP, beberapa strategi telah dibentuk iaitu Meningkatkan Kecekapan Pengurusan Anggota melibatkan penambahan anggota penguatkuasa seramai 150 orang secara berperingkat mulai tahun 2014. Di bawah strategi ini juga, penekanan kepada aspek mengoptimumkan modal insan turut ditekankan melalui latihandan kursus bagi meningkatkan kefahaman anggota berkenaan pelaksanaan tugas penguatkuasaan secara keseluruhan.
Selain itu, MPSP juga akan meningkatkan keupayaan logistik melalui strategi Memperkasakan Keupayaan Logistik. Antara pelan tindakan di bawah strategi ini adalah mewujudkan Unit Tow Truck di setiap daerah bagi memantapkan tindakan penguatkuasaan melibatkan kenderaan dan tempat letak kereta. MPSP juga akan mewujudkan stor sitaan di setiap daerah bagi memperkemaskan pengurusan dan penyimpanan barang sitaan. Pembelian peralatan bagi tujuan mempertahankan diri anggota penguatkuasa yang terlibat juga akan dibuat iaitu melibatkan penggunaan senjata api dan cota kepada anggota penguatkuasa.
Akhir sekali, strategi yang digariskan adalah meningkatkan Imej Keberkesanan Penguatkuasaan. Di bawah strategi ini, penekanan kepada konsep Omnipresent dibuat di mana anggota penguatkuasa ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan orang ramai mematuhi undang- undang. Penekanan ini adalah menjurus kepada penguatkuasaan melibatkan tempat letak kereta. Di samping itu, penguatkuasaan secara total melibatkan aspek–aspek penjaja, halangan, tempat letak kereta dan seumpamanya di bawah bidang kuasa PBT juga akan dibuat di kawasan-kawasan terpilih bagi memberikan imej baru kepada penguatkuasaan.
Diperingkat negeri, Jawatankuasa Dasar dan Penguatkuasaan PBT baru ditubuhkan. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir. Beberapa ADUN dijemput untuk menganggotai jawatankuasa ini. Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri merupakan urusetia jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini akan memberi hala tuju kepada kedua-dua PBT bagi memantapkan penguatkuasaan diperingkat PBT selari dengan visi dan objektif Kerajaan Negeri.