MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Huraikan dari segi alam sekitar, kacau gangguan ketenteraman komuniti setempat, keharmonian perumahan baru, kesihatan dan keselamatan suasana perumahan berjiranan di taman-taman baru di Lembah Permai, Tanjong Bunga. Mengapakah kilang Teik Kuari di Lembah Permai tidak dipindahkan atau ditutup.
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Alam Sekitar

Jawapan
Premis ini telah diberikan kelulusan EIA pada tahun 2010. Dari perspektif alam sekitar, kuari ini telah mendatangkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan berdasarkan dari rekod aduan yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar. Bermula dari Januari 2012 sehingga November 2013, Jabatan Alam Sekitar telah menerima sebanyak 5 aduan kacau ganggu habuk dan bunyi bising yang berpunca dari pergerakan lori keluar / masuk serta aduan gegaran dari aktiviti letupan. Jabatan Alam Sekitar telah mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis arahan dan 5 kompaun ke atas pihak premis dan operator-operator batching plant yang beroperasi di dalam kawasan premis tersebut.

Walaupun tindakan diambil dan premis patuh kepada syarat-syarat EIA, ianya masih tidak dapat membendung dan mengatasi secara total kacau ganggu gegaran dan habuk dari aktiviti pengkuarian memandangkan pembangunan perumahan baru atau telah diduduki terletak berdekatan dengan zon penampan kuari. Untuk tindakan semasa, Jabatan Alam Sekitar akan meneruskan pemeriksaan ke atas premis ini supaya kesemua syarat-syarat EIA dipatuhi terutama dari segi kawalan pencemaran habuk. Bagi masalah kacau ganggu gegaran dan bunyi bising akibat dari aktiviti blasting Jabatan Alam Sekitar akan bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang memberikan lesen letupan kepada projek berkenaan.

Kerajaan Negeri melalui MPPP telah mengeluarkan Pemberitahu Tentang Kesalahan kepada pengusaha di bawah Undang-Undang Kecil (Tred, Perniagaan dan Perindustrian) MPPP 1991 atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah. Di bawah Undang-undang kecil ini, syarikat hanya dikenakan kompaun sebanyak RM250.00 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Kilang ini tidak dipindahkan atau ditutup kerana syarikat telah mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JAS. Selain itu, aktiviti kuari yang dijalankan oleh Syarikat Teik Granite adalah di atas lot-lot tanah persendirian yang tidak memerlukan permit pengeluaran bahan batuan (Permit 4C) kerana tanah-tanah tersebut adalah berstatus first grade, condition A dan B. Walau bagaimanapun, pemantauan berterusan akan dibuat bagi memastikan kerja-kerja kuari oleh syarikat tersebut sentiasa mematuhi peraturan dan prosedur jabatan-jabatan berkaitan.
Kembali