MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Nyatakan tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap teguran atau kelemahan yang dipaparkan dalam Laporan Audit Negara setiap tahun. (a) Apa yang dilakukan terhadap beberapa teguran kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam laporan tahun 2012? (b) Nyatakan tindakan yang diambil terhadap beberapa agensi lain seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Dun -
Exco YB. PHEE BOON POH
Perkara Pentadbiran

Jawapan
a) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi kelemahan teguran Audit tahun 2012 seperti berikut :

Bagi bayaran yang dibuat kepada penerima yang meninggal dunia, semakan segera JKM mendapati 41 kes penerima bantuan diambil oleh waris / penjaga. Operasi tuntutan balik bayaran telah dijalankan keatas waris melalui lawatan ke rumah serta di kemukakan surat tuntutan bayaran balik bantuan

Sehingga kini seramai 3 penerima telah memulangkan kembali bayaran tersebut dan 38 lagi masih belum berbuat demikian. JKM akan terus mengeluarkan surat peringatan sehingga pihak waris memulangkan wang bantuan .

Sebagai langkah tindakan berterusan pula, Garis Panduan Bantuan Am 2012 telah dikemaskini dengan meletakkan tanggungjawab kepada penerima bantuan iaitu :

(i). Kelulusan bantuan untuk tempoh satu tahun dan pemohon perlu membuat permohonan semula jika masih memerlukan bantuan.

(ii). Bayaran bantuan bulanan dalam tempoh 1-10 haribulan pada setiap bulan dan jika tidak dituntut akan di ‘refund’ oleh pihak bank dalam tempoh 21 hari.

(iii). Penggunaan Sistem ‘ALIS’ (Agency Link-up System) dengan Jabatan Pendaftaran Negara telah membantu mengesan kes penerima bantuan yang meninggal dunia untuk ditamatkan bantuan.

b) Berdasarkan kepada teguran audit yang dilaporkan berkaitan PDC, MPPP dan MPSP adalah seperti berikut:

(i). PDC telah memastikan syarikat berkenaan mengambil tindakan pembetulan dengan segera. Pemantauan berterusan juga dibuat bagi memastikan perkara ini tidak berulang lagi. Pemeriksaan secara menyeluruh dan tindakan pembetulan juga dibuat ke atas semua aktiviti bagi memastikan syarikat mematuhi semua undang-undang dan peraturan Kerajaan serta prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.

(ii). MPPP telah mengambil tindakan-tindakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan perumahan awam MPPP seperti berikut:
- Membeli sistem berkomputer yang dikenali sebagai e-penilaian/e-sewaan dimana semua urusan pendaftaran permohonan penyewaan, pengemaskinian maklumat penyewaan, pemantauan tunggakan sewa, aduan kerosakan dan sebagainya akan diuruskan oleh sistem ini;
- Melantik konsultan dan melalui proses ‘change management’ telah menyediakan proses kerja baru bagi memendekkan tempoh masa untuk menangani aduan kerosakan;
- Menghantar senarai penyewa berdaftar untuk semakan Jabatan Pendaftaran Negara setiap tahun bagi mengesahkan samada penyewa-penyewa masih hidup atau meninggal dunia;
- Kajian juga sedang dibuat samada boleh menghubungkan sistem maklumat Jabatan Pendaftaran Negara supaya semakan tersebut boleh dibuat secara ‘real time'.
- Menyediakan jadual pemeriksaan dan bancian bagi setiap skim perumahan awam bagi memastikan tiada sewa kecil, tukarguna, halangan koridor dan sebagainya.

(iii). MPSP telah mengambil tindakan pembetulan ke atas teguran Ketua Audit Negara tahun 2012 berkaitan Pengurusan Kenderaan di MPSP. Teguran kelemahan tersebut adalah seperti berikut:
- Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Harga tidak ditubuhkan bagi perolehan kenderaan secara tender.
- Pemantauan penggunaan kenderaan tidak dapat disempurnakan oleh Pegawai Pengangkutan.
- Kos penyenggaraan bagi 5 kes kenderaan berusia melebihi 10 tahun melebihi kos asal pembelian kenderaan antara 109% dan 232%.
- Tempat penyimpanan kenderaan didapati kurang sesuai.
Tindakan yang telah diambil bagi mengatasi kelemahan-kelemahan di atas adalah seperti berikut :

Untuk teguran pertama, MPSP telah mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Penilaian (Teknikal dan Harga) dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Harga akan ditubuhkan secara berasingan bagi tender bekalan, perkhidmatan dan kerja berasaskan ‘Turnkey’ atau ‘Design and Build’ seperti yang diperuntukkan di dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5/2007 perkara 39.2.

Untuk teguran kedua pula, pelantikan Pegawai Pengangkutan MPSP telah dibuat dengan menjelaskan senarai tugas Pegawai Pengangkutan. Senarai tugas Pegawai Pengangkutan juga telah dimasukkan ke dalam fail meja pegawai tersebut supaya pemantauan penggunaan kenderaan dapat disempurnakan oleh beliau dengan berkesan.

- Kursus berkaitan penggunaan dan penyelenggaraan kenderaan yang merangkumi pengemaskinian buku log, pengiraan cerakinan dan penggunaan bahan api telah dirancang untuk diberi kepada semua yang terlibat dengan pengurusan kenderaan seperti Pegawai Pengangkutan, Penyelia Kenderaan Jabatan dan Pemandu supaya pengurusan kenderaan Majlis lebih berkesan.

Sementara untuk teguran ketiga pula, MPSP telah mewujudkan polisi bagi pelupusan kenderaan supaya MPSP dapat membuat perancangan untuk pelupusan dan penggantian kenderaan baru.

- Polisi ini dikawal dan dipantau oleh Penolong Pengarah (Bahagian Perolehan) dan Pegawai Pengangkutan MPSP. Perbincangan akan dilakukan oleh mereka sekiranya pelupusan kenderaan perlu dilakukan sebelum diputuskan oleh Pengurusan Atasan.

Bagi mengatasi masalah-masalah tempat penyimpanan kenderaan yang kurang sesuai di dalam teguran keempat, tindakan-tindakan berikut telah diambil:

- Depo-depo kenderaan yang dikenalpasti kurang sesuai telah dinaik taraf secara berperingkat mulai tahun 2012 sehingga 2015.

- Penaiktarafan itu meliputi ciri-ciri keselamatan dan kemudahan yang sesuai seperti memasang pagar, menyediakan kemudahan paip air tekanan tinggi (water jet pump) untuk mencuci kenderaan dan menyediakan lantai bersimen serta longkang untuk tempat mencuci kenderaan.

Kembali