MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Sila nyatakan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengenai penduduk miskin tegar dan miskin. Sila nyatakan jumlah penduduk di Negeri Pulau Pinang yang masih tergolong dalam miskin tegar dan miskin. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam membantu mereka.
Dun -
Exco YB. PHEE BOON POH
Perkara Masalah Penduduk

Jawapan
YB. PHEE BOON POH
MENJAWAB BAGI PIHAK YAB. KETUA MENTERI
19. Dasar Kerajaan Negeri ialah untuk mengurangkan atau menghapuskan kadar miskin dan miskin tegar. Sehingga kini, Negeri Pulau Pinang adalah negeri pertama yang mencapai sifar miskin tegar dan masih ada seramai 880 keluarga miskin. Pada tahun 2009, Kerajaan Negeri mengumumkan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar yang dikuatkuasakan mulai bulan Mac 2009. Tindakan kerajaan ialah memberi bantuan kewangan bulanan kepada kelompok keluarga miskin yang dikenal pasti berdasarkan penarafan Kerajaan Negeri dengan menggunakan PGK RM500.00 sekeluarga (Mac 2009 hingga Mac 2012), PGK RM600.00 sekeluarga (April 2012 hingga Disember 2012) dengan perkapita RM120.00 dan PGK RM770.00 sekeluarga (mulai Januari 2013) dengan perkapita RM220.00.

Bantuan kewangan tambahan (top up) untuk mencapai PGK RM770.00 yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui program ini adalah supaya mereka yang dikenal pasti keluar daripada kelompok miskin dan terkeluar dari garis kemiskinan tegar.

Selain daripada pemberian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri (BKKN) di dalam bentuk kewangan, Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah juga mempertimbangkan bantuan- bantuan lain melalui agensi-agensi berkaitan seperti berikut :

(i.) Bantuan pembinaan atau pembaikan rumah;

(ii.) Bantuan peralatan untuk meningkatkan pendapatan;

(iii.) Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti Bantuan Am, Bantuan Orang Tua, Bantuan Kanak-Kanak dan Bantuan Pesakit Telantar;

(iv.) Jobmitching melalui Jabatan Tenaga Kerja;

(v.) Bantuan melalui Zakat Pulau Pinang seperti bantuan kewangan dan makanan; dan

(vi.) Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAMP) melalui Pejabat Pelajaran Daerah
Kembali