Jawapan
22. Banjir kilat adalah berlaku disebabkan hujan yang lebat dan berpanjangan, aktiviti pembangunan yang berleluasan tanpa kawalan, sistem perparitan yang tidak efisien, kawasan rendah dan kesan air pasang.
Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Dalam pelaksanaan rancangan tebatan banjir, JPS merupakan pakar runding utama yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini. Selama ini, JPS, MPPP, MPSP dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan Projek Tebatan Banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini. Terdapat dua kategori yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi/mengurangkan risiko kejadian banjir kilat ini iaitu:
(a) Penyelesaian Secara Struktur:
Penyelesaian secara struktur melibatkan komponen pembinaan kejuruteraan seperti rumah pam, barrage, ban, pengukuhan tebing, mendalam dan melebarkan sungai, pembinaan kolam takungan, empangan dan juga pelencongan sungai.
(b) Penyelesaian Secara Bukan Struktur:
Penyelesaian secara bukan struktur melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan seperti kempen Cleaner Greener Penang, Program gotong royong bersama JKKK tempatan, penyediaan kajian-kajian dan reka bentuk terperinci bagi sesuatu lokasi yang mengalami masalah banjir, Sistem Ramalan Awal Banjir, Stesen Siren, Public Info Banjir dan Penempatan Semula Penduduk seperti di RTB Sungai Pinang Fasa I dan II.
Tindakan MPSP untuk mengatasi masalah banjir kilat di kawasan Seberang Perai adalah seperti berikut:
1. Menaik taraf parit yang bermasalah yang menyebabkan banjir kilat seperti:
(a) Cadangan Menaik Taraf Sistem Perparitan Dan Infrastruktur Di
Sekitar Taman Transkrian, Mk. 9, Seberang Perai Selatan.
(b) Projek Tebatan Banjir dan menaik taraf Parit Di Sekitar Jalan Kampung Baru, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.
(c) Cadangan Kerja-Kerja Menaik taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi masalah Banjir Kilat Di Taman Sri Nibong, Nibong Tebal.
(d) Kerja-Kerja Menaik taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Kilat Di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
2. Memastikan pemaju mengikut garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) untuk reka bentuk perparitan.
3. Pemantauan keadaan parit-parit monsun dan saliran perparitan di seluruh kawasan Seberang Perai khususnya kawasan berisiko banjir Hot Spot dan menjalankan pembersihan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan saliran tersumbat.
4. Pemantauan ke atas projek pembangunan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemaju mengikut spesifikasi Pelan Jalan dan Parit yang ditetapkan terutama dari segi penyediaan kolam tadahan dan penyelenggaraan parit-parit dalam kawasan pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Sementara di kawasan MPPP pula, sesetengah kawasan di bawah MPPP masih menghadapi masalah banjir kilat yang perlu diuruskan. Di antara lokasi-lokasi hotspot’yang telah dikenal pasti menghadapi masalah banjir kilat adalah seperti di Lampiran A.
MPPP memang berusaha untuk menjalankan projek-projek mitigasi banjir untuk mengurangkan impak masalah banjir kilat dalam kawasan bandar. Di antara projek-projek tebatan banjir yang telah dirancang untuk mengurangkan masalah banjir kilat dalam kawasan hotspot adalah seperti di Lampiran B.