MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Apakah perkembangan terbaru pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)di Juru?
Dun -
Exco YB. DR. AFIF BIN BAHARDIN
Perkara --

Jawapan
Perkembangan terbaru (TKPM) Juru ialah menjadikan kepada 3 zon utama iaitu zon pertanian, zon penternakan dan zon perikanan. Jumlah keseluruhan peserta bagi TKPM Juru adalah seramai 14 pengusaha yang meliputi 8 pengusaha zon pertanian, 1 pengusaha bagi zon penternakan dan 5 pengusaha zon perikanan.

Ketiga-tiga zon di TKPM Juru ini adalah di bawah seliaan jabatan-jabatan seperti berikut:

(a) Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang menyelia kawasan zon pertanian di TKPM Juru dengan tanaman nanas. Terdapat 8 lot dipajakkan kepada pengusaha-pengusaha yang berkelayakan dengan keluasan di antara 4 hingga 10 ekar. Rekod hasil pengeluaran TKPM Juru sehingga September 2013 adalah seperti di Lampiran I;

(b) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang menyelia zon penternakan seluas 60 ekar yang telah ditawarkan kepada Syarikat CAB Cakaran Breeding Farm Sdn. Bhd. untuk melaksanakan penternakan ayam baka secara sistem tertutup dengan kapasiti 73,600 ekor ayam baka. Untuk fasa pertama, pihak syarikat akan membina 4 buah reban dengan kapasiti 36,800 ekor ayam baka. Untuk fasa kedua, 4 buah reban lagi akan dibina dengan kapasiti yang sama. Syarikat CAB Cakaran Breeding Farm Sdn. Bhd. telah memperolehi Kelulusan Merancang pada Disember 2012 dengan tempoh sah laku 1 tahun sehingga Disember 2013 daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). Pelan Pembangunan yang disediakan oleh pihak syarikat juga telah diluluskan oleh MPSP pada 3 April 2013. Pihak syarikat kini sedang menunggu kelulusan proses terakhir iaitu Pelan Kerja Tanah daripada MPSP. Projek penternakan ayam baka ini dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2014. Dijangkakan juga unjuran pengeluaran anak ayam melalui fasa pertama adalah sebanyak 1,398,955 ekor anak ayam; dan

(c) Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang pula menyelia zon perikanan dengan keluasan tanah sebanyak 50 ekar yang telah diusahakan oleh 2 buah syarikat bagi tujuan projek asuhan & ternakan ikan / udang laut. Hasil pengeluaran bagi tahun 2013 sehingga September 2013 ialah sebanyak 1.75 juta ekor benih ikan laut yang dianggarkan bernilai RM2.07 juta. Pengeluaran ikan bersaiz pasaran pula adalah sebanyak 98783.4 tan metrik dengan nilai RM1.77 juta. Bagi lot ikan hiasan dengan keluasan keseluruhan 10 ekar sehingga kini tiada sebarang hasil pengeluaran memandangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan baru sahaja menandatangani perjanjian pada tahun ini.

Untuk memastikan keselamatan dan pengawalan terhadap TKPM Juru satu projek kecil sedang dilaksanakan iaitu pembinaan pondok pengawal beserta palang di kawasan TKPM Juru oleh Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Tengah dengan menggunakan peruntukan P01 Butiran 64 berjumlah RM11,000.00
Kembali