Jawapan
Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang terletak di Penaga adalah berkeluasan 206 hektar. Pada tahun ini,pengeluaran akuakultur disasarkan sebanyak 50,000 tan dengan nilai bejumlah RM642 juta. Pemajuan Projek ZIA bukan sahaja akan memberi faedah kepada peningkatkan pengeluaran akuakultur tetapi juga turut berpeluang menjadi kawasan tarikan agropelancongan.
Bagi merealisasikan projek ZIA ini, seramai 19 pengusaha telah dipilih daripada sejumlah 45 orang pengusaha yang ditemuduga. Pemilihan pengusaha dibuat berdasarkan pengalaman, keupayaan kewangan yang kukuh, konsep pelaksanaan projek yang jelas, strategi pemasaran yang baik serta kesediaan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat.
Projek akuakultur yang akan dilaksanakan ialah ternakan, asuhan dan pembenihan ikan / udang laut seperti siakap, kerapu, udang putih, udang harimau dan lain-lain. Kos pembangunan projek akan ditanggung oleh pengusaha yang terpilih termasuk DEIA, pecah lot, penyediaan jalan ladang, bekalan elektrik, bekalan air bersih dan sistem perparitan.
Setiap pengusaha perlu bersepakat dan bersama-sama mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan seperti penjagaan alam sekitar, kawalan penyakit, penjagaan kualiti air, pemasaran dan sebagainya.
Zon penampan ditetapkan sebanyak 200 meter dari pantai, 30 meter dari penempatan dan 20 meter dari sungai bagi mengawal persekitaran paya bakau. Kajian DEIA akan dijalankan sebelum projek atau aktiviti akuakultur dijalankan. Tabung Pemulihan Alam Sekitar juga akan diwujudkan di mana setiap pengusaha atau peserta projek ZIA Penaga dimestikan untuk menabung dalam amaun tertentu bagi tujuan penanaman semula pokok bakau atau pemulihan habitat persekitaran.