MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan Apakah langkah-langkah penyelesaian yang akan dan telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini ?
Dun -
Exco YB. CHOW KON YEOW
Perkara Bencana Alam

Jawapan
Punca berlakunya banjir kilat adalah disebabkan hujan yang lebat dan berpanjangan, aktiviti pembangunan yang berleluasan tanpa kawalan dan sistem perparitan yang tidak efisien. Terdapat dua kaedah yang dipraktikkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi atau mengurangkan risiko kejadian banjir kilat ini iaitu:

(a) Penyelesaian Secara Struktur
Penyelesaian secara struktur melibatkan komponen pembinaan kejuruteraan seperti rumah pam, barrage, ban, pengukuhan tebing, mendalam dan melebarkan sungai, pembinaan kolam takungan, empangan dan juga pelancongan sungai.

(b) Penyelesaian Secara Bukan Struktur
Penyelesaian secara bukan struktur melibatkan pelbagai agensi yang berkaitan seperti kempen Cleaner Greener Penang, program gotong royong bersama JKKK tempatan, penyediaan kajian-kajian dan reka bentuk terperinci bagi sesuatu lokasi yang mengalami masalah banjir, Sistem Ramalan Awal Banjir, Stesen Siren, Public Info Banjir dan Penempatan Semula Penduduk seperti di RTB Sungai Pinang Fasa I dan II.

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diselesaikan sepenuhnya. Projek-projek tebatan banjir yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri adalah bertujuan untuk menguruskan masalah banjir supaya impak banjir dapat dikurangkan kepada tahap yang minimum. Selama ini, JPS, MPPP, MPSP dan JKR memang memainkan peranan masing-masing untuk menjalankan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak banjir yang melanda negeri ini.

Sesetengah kawasan di bawah pentadbiran MPPP masih menghadapi masalah banjir kilat yang perlu diuruskan. Masalah banjir kilat adalah berpunca daripada beberapa sebab seperti kecurahan hujan (rainfall) yang tinggi (lebih 60mm), kapasiti parit yang tidak mencukupi, kawasan rendah dan kesan air pasang. Di antara lokasi-lokasi hotspot yang telah dikenalpasti menghadapi masalah banjir kilat adalah seperti di Lampiran A.

Masalah banjir kilat memang tidak dapat diatasi sepenuhnya, walau bagaimanapun, MPPP memang berusaha untuk menjalankan projek-projek mitigasi banjir untuk mengurangkan impak masalah banjir kilat dalam kawasan bandar. Di antara projek-projek tebatan banjir yang telah dirancang untuk mengurangkan masalah banjir kilat dalam kawasan hotspot adalah seperti di Lampiran B.

Langkah-langkah yang telah diambil oleh MPSP bagi mengatasi masalah banjir di Seberang Perai adalah seperti berikut :

(i) Menaik taraf parit yang bermasalah yang menyebabkan banjir kilat seperti berikut :

(a) Projek Tebatan Banjir Sungai Rambai: Sistem Perparitan dan Rumah Pam Taman Makok – Pakej 3

(b) Cadangan Menaik taraf Parit dan Kolam Takungan di Taman Remia, Bukit Mertajam, SPT

(c) Menaik taraf Parit Di Taman B, Bukit Mertajam, SPT

(d) Menaik taraf Parit Di Jawi Garden, Sungai Bakap, SPS

Langkah-langkah yang akan diambil MPSP untuk mengatasi masalah banjir kilat adalah seperti berikut:

(ii) Menaik taraf parit yang bermasalah yang menyebabkan banjir kilat seperti:

(a) Cadangan Menaik taraf Sistem Perparitan Dan Infrastruktur Di Sekitar Taman Transkrian, Mk. 9, Seberang Perai Selatan.

(b) Projek Tebatan Banjir Dan Menaik taraf Parit Di Sekitar Jalan Kampung Baru, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

(c) Cadangan Kerja-Kerja Menaik taraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Kilat Di Taman Sri Nibong, Nibong Tebal.

(d) Kerja-Kerja Menaik taraf Sistem Saliran BagiMengatasi Masalah Banjir Kilat Di Taman Siakap, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

(iii) Memastikan pemaju mengikut garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) untuk rekabentuk perparitan.

(iv) Pemantauan keadaan parit-parit monsun dan saliran perparitan di seluruh kawasan Seberang Perai khususnya kawasan berisiko banjir (Hot Spot) dan menjalankan pembersihan dari masa ke semasa bagi mengelakkan saliran tersumbat.


(v) Pemantauan ke atas projek pembangunan dijalankan dari masa ke semasa bagi memastikan pemaju mengikut spesifikasi Pelan Jalan dan Parit yang ditetapkan terutam dari segi penyediaan kolam tadahan dan penyelenggaraan parit-parit dalam kawasan pembangunan yang sedang dilaksanakan.
Kembali