MESYUARAT KEDUA PENGGAL PERTAMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KETIGA BELAS
Soalan (a) Masalah Penyewaan Rumah Kos Rendah Kepada Warga Asing. Rumah kos rendah dibina untuk memenuhi keperluan golongan yang berpendapatan rendah. Apakah tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengelakkan rumah-rumah tersebut diduduki oleh warga asing? (b) Ada difahamkan beberapa rumah kos rendah dan sederhana rendah disalahgunakan sebagai pusat tuisyen, kedai salun, pusat urutan tradisional dan pusat homestay. Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah ini?
Dun -
Exco YB. JAGDEEP SINGH DEO A/L KARPAL SINGH
Perkara Projek Perumahan Rakyat

Jawapan
(a). Tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pemilik rumah kos rendah dan kos sederhana rendah yang telah menyewa kepada pekerja asing adalah seperti berikut:

(i). satu operasi telah dilakukan pada 8 September 2011 di Rumah Pangsa Taman Ampang Jajar oleh Jabatan Imigresen dengan memberi notis sebanyak 30 hari kepada pemilik unit yang menyewakan unit mereka kepada pekerja warganegara asing. Selepas tamat tempoh 30 hari tersebut, semakan semula mendapati bahawa pekerja-pekerja warganegara asing tersebut telah berpindah keluar dari unit-unit berkenaan.

(ii). Untuk kes rumah kos rendah swasta yang disewakan kepada pekerja warganegara asing termasuk Pangsapuri Sri Saujana, satu perbincangan telah diadakan di antara Y.B. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan bersama Bahagian Perumahan PSUK pada bulan Oktober 2011 dengan pihak yang menyewakan rumah kos rendah kepada pekerja warganegara asing (agen yang menyewakan unit rumah tersebut) supaya mengawasi penyewa bagi memastikan mereka tidak menimbulkan masalah kekotoran dan kacau ganggu kepada penduduk sekitar. Perbincangan juga telah diadakan dengan pemaju yang menyewakan unit rumah (yang tidak dapat dijual akibat dari kurang sambutan pembeli kerana projek perumahan tersebut tidak menepati cita rasa bakal pembeli) kepada pekerja kilang supaya mengeluarkan segera penyewa tersebut dan Kerajaan Negeri membantu dari segi mempercepatkan penjualan rumah tersebut agar dibeli segera oleh pembeli untuk mengelakkan rumah tersebut dari rosak akibat vandalisme kerana kosong begitu lama.

(iii). Satu mesyuarat berkenaan masalah ini juga telah diadakan pada 10 Oktober 2011. Mesyuarat tersebut telah dipengerusikan oleh Y.B. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan dan telah dihadiri oleh Y.B.-Y.B. ADUN, Pihak Berkuasa Tempatan, Federation of Malaysia Manufacturers (FMM), Real Estate and Housing Developers Association Malaysia (REHDA), Invest-in-Penang Berhad, Socio - Economic & Environment Research Institute (SERI), Jaringan Utara Migrasi dan Pelarian (JUMP), Penang Office for Human Development (POHD) dan agensi-agensi swasta. Antara cadangan yang telah disyorkan oleh ahli mesyuarat adalah untuk membina asrama pekerja di kawasan-kawasan berdekatan kawasan perindustrian.


(iv). Pada 3 November 2011, Bahagian Perumahan PSUKPP telah mengeluarkan surat arahan kepada pemaju CMC Premier Planner Sdn. Bhd. untuk pihak mereka mengosongkan 55 unit rumah kos rendah yang telah disewakan kepada suatu syarikat yang dijadikan sebagai asrama untuk pekerja warganegara asing memandangkan Bahagian Perumahan PSUKPP telah menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah sosial dan ketenteraman.

(v). Pada tahun 2012, Bahagian Perumahan, PSUKPP telah mengeluarkan notis arahan kepada 21 pemilik unit rumah kos rendah/kos sederhana rendah di Halaman Kenanga untuk pihak mereka membatalkan penyewaan unit-unit mereka kepada pekerja-pekerja warganegara asing memandangkan Bahagian Perumahan PSUKPP telah menerima aduan daripada penduduk setempat berhubung masalah sosial dan ketenteraman.

(vi). Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 43/2012 bertarikh 23 November 2012 telah memutuskan supaya Bahagian Perumahan menyediakan Garis Panduan Dan Penguatkuasaan ke atas warganegara asing Yang Menduduki Rumah Kos Rendah Awam di Negeri Pulau Pinang yang kini masih dalam peringkat perangkaan.

(vii). Terkini berkenaan isu ini ialah satu perjumpaan telah diadakan bersama Y.B. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan dan ADUN berkaitan untuk mengenalpasti unit-unit yang telah disewakan kepada warga asing. Setelah itu satu mesyuarat telah diadakan di antara Y.B. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan dan wakil dari Jawatankuasa Peguam Negeri Pulau Pinang pada 22 Oktober 2013 bersama wakil rakyat yang berlatar belakangkan undang-undang untuk membincangkan terma notis yang dicadang untuk dikeluarkan kepada pemilik-pemilik unit yang telah melanggar syarat dengan memberi sewaan kepada warga asing. Draf notis tersebut telah pun siap dan setelah disahkan, tindakan akan diambil untuk menghantar notis tersebut kepada pemilik yang berkenaan.

(b). Bagi isu ini, memandangkan rumah kos rendah / kos sederhana rendah adalah sememangnya unit-unit perumahan, maka aktiviti perniagaan seharusnya tidak dibenarkan untuk dijalankan di unit-unit tersebut. Maka, Y.B. Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan bersama Bahagian Perumahan PSUK akan turut mengkaji sama ada notis seperti yang akan dihantar kepada unit-unit yang dihuni oleh warganegara asing juga boleh dihantar kepada unit-unit yang didapati menjalankan perniagaan tersebut.
Kembali