Jawapan
Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius terhadap teguran-teguran audit ke atas jabatan dan agensi dibawah Kerajaan Negeri. Bagi mengatasi masalah tersebut, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Bahagian Audit dalam bersama-sama dengan Jabatan Kewangan Negeri telah mengadakan mesyuarat pada 7 November 2013 dengan jabatan-jabatan yang terlibat untuk membincangkan teguran-teguran yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara pada tahun 2012. Jabatan-jabatan yang terlibat juga telah memberi maklumbalas terhadap pertanyaan-pertanyaan audit yang dilaporkan.Jabatan dan agensi terlibat juga telah memaklumkan status terkini dan penambahbaikan yang telah dibuat bagi setiap isu yang dibangkitkan.Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri senantiasa memberi penekanan terhadap integriti dan keutuhan sesebuah jabatan dan agensi Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan. Mesyuarat berkala seperti Mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus Negeri yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri senantiasa memantau secara sistematik isu dan masalah yang dibangkitkan.Laporan dari jabatan dan agensi terlibat adalah seperti berikut;
1) Pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang telah mengambil langkah-langkah berikut bagi meningkatkan prestasi pengurusan perumahan awam MPPP seperti berikut:
I. Membeli sistem berkomputer yang dikenali sebagai e-penilaian/e-sewaan dimana semua urusan pendaftaran permohonan penyewaan, pengemaskinian maklumat penyewaan, pemantauan tunggakan sewa, aduan kerosakan dan sebagainya akan diuruskan oleh sistem ini;
ii. Melantik konsultan dan melalui proses ‘change management’ telah menyediakan proses kerja baru bagi memendekkan tempoh masa untuk menangani aduan kerosakan;
iii. Menghantar senarai penyewa berdaftar untuk semakan Jabatan Pendaftaran Negara setiap tahun bagi mengesahkan samada penyewa-penyewa masih hidup atau meninggal dunia;
iv. Kajian juga sedang dibuat samada boleh menghubungkan sistem maklumat Jabatan Pendaftaran Negara supaya semakan tersebut boleh dibuat secara ‘real time'
v. Menyediakan jadual pemeriksaan dan bancian bagi setiap skim
perumahan awam bagi memastikan tiada sewa kecil, tukarguna, halangan koridor dan sebagainya.
2) Majlis Perbandaran Seberang Perai pula telah mengambil langkah-langkah seperti berikut:
i. Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Penilaian Harga tidak ditubuhkan bagi perolehan kenderaan secara tender.
ii. Pemantauan penggunaan kenderaan tidak dapat disempurnakan oleh Pegawai Pengangkutan.
iii. Kos penyenggaraan bagi 5 kes kenderaan berusia melebihi 10 tahun melebihi kos asal pembelian kenderaan antara 109% dan 232%.
iv. Tempat penyimpanan kenderaan didapati kurang sesuai.
Tindakan yang telah diambil bagi mengatasi kelemahan-kelemahan di atas adalah seperti berikut :
Teguran 1:
i. MPSP telah mengambil tindakan menubuhkan Jawatankuasa Penilaian (Teknikal dan Harga) dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal dan Jawatankuasa Harga akan ditubuhkan secara berasingan bagi tender bekalan, perkhidmatan dan kerja berasaskan ‘Turnkey’ atau ‘Design and Build’ seperti yang diperuntukkan di dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil 5/2007 perkara 39.2.
Teguran 2:
i. Perlantikan Pegawai Pengangkutan MPSP telah dibuat dengan menjelaskan senarai tugas Pegawai Pengangkutan. Senarai tugas Pegawai Pengangkutan juga telah dimasukkan ke dalam fail meja pegawai tersebut supaya pemantauan penggunaan kenderaan dapat disempurnakan oleh beliau dengan berkesan.
ii. Kursus berkaitan penggunaan dan penyelenggaraan kenderaan yang merangkumi pengemaskinian buku log, pengiraan cerakinan dan penggunaan bahan api telah dirancang untuk diberi kepada semua yang terlibat dengan pengurusan kenderaan seperti Pegawai Pengangkutan, Penyelia Kenderaan Jabatan dan Pemandu supaya pengurusan kenderaan Majlis lebih berkesan.
Teguran 3:
i. MPSP telah mewujudkan polisi bagi pelupusan kenderaan supaya MPSP dapat membuat perancangan untuk pelupusan dan penggantian kenderaan baru.
ii. Polisi ini dikawal dan dipantau oleh Penolong Pengarah (Bahagian Perolehan) dan Pegawai Pengangkutan MPSP. Perbincangan akan dilakukan oleh mereka sekiranya pelupusan kenderaan perlu dilakukan sebelum diputuskan oleh Pengurusan Atasan.
Teguran 4:
Bagi mengatasi masalah-masalah tempat penyimpanan kenderaan yang kurang sesuai, tindakan-tindakan berikut telah diambil:
i. Depo-depo kenderaan yang dikenalpasti kurang sesuai telah dinaik taraf secara berperingkat mulai tahun 2012 sehingga 2015.
ii. Penaiktarafan itu meliputi ciri-ciri keselamatan dan kemudahan yang sesuai seperti memasang pagar, menyediakan kemudahan paip air tekanan tinggi (water jet pump) untuk mencuci kenderaan dan menyediakan lantai bersimen serta longkang untuk tempat mencuci kenderaan.
3) Laporan Ketua Audit Negara 2012 ke atas PDTSPU adalah berkaitan Kutipan Hasil Cukai Tanah dan PDTSPU dikehendaki mengambil tindakan ke atas teguran audit dan memberikan maklumbalas terkini kepada Jabatan Kewangan Negeri dari semasa ke semasa. Maklumbalas terkini dikemukakan pada 14 November 2013.
Kelemahan kutipan Tunggakan Hasil Tanah telah dapat diatasi iaitu pada 31 Disember 2012, tunggakan cukai tanah adalah sebanyak RM 10,385,780.50 iaitu penurunan tunggakan sebanyak 5.0% berbanding tahun 2011.
Selain itu bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 tersebut, penubuhan Pasukan Taskforce Tunggakan Hasil telah dilaksanakan dan antara tindakan yang dilaksanakan adalah seperti berikut:
i. Pengeluaran surat peringatan kepada semua pemilik yang tidak menjelaskan cukai tanah sebelum 31 Mei 2013.
ii. Semakan ke atas 1381 hakmilik yang tiada rekod alamat dalam bil cukai dan mempunyai tunggakan cukai tanah
iii. Semakan ke atas hakmilik berkadar RM 1 dan RM 0
iv. Semakan ke atas perbezaan bilangan hakmilik di Modul Hasil dan Modul Pendaftaran
v. Tindakan penguatkuasaan ke atas hakmilik yang mempunyai tunggakan melebihi 3 tahun ke atas.
4) Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut pula Pentadbiran ini mengambil maklum mengenai penemuan-penemuan audit bagi Kajian Audit Terhadap Pengurusan Hasil Cukai Tanah Di Pejabat Daerah Dan Tanah Daerah Timur Laut seperti yang telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.
Pentadbiran ini sentiasa berusaha dan mengambil tindakan sewajarnya bagi meningkatkan prestasi kutipan cukai tanah. Manakala tindakan-tindakan yang di ambil bagi mengurangkan tunggakan cukai tanah di Daerah Timur Laut adalah:-
i) Pentadbiran ini sentiasa membuat pembersihan data dalam Sistem e-Tanah bagi Modul Hasil dan Modul Pendaftaran. Tindakan pembersihan data dapat mengurangkan tunggakan cukai tanah dengan membuat pembatalan akaun cukai tanah yang tidak aktif. Selain itu, pengemaskinian perbezaan data di antara kedua-dua modul tersebut akan menjadikan data di dalam Sistem e-Tanah lebih tepat.
ii) Pentadbiran ini juga dari semasa ke semasa menerima dan memproses permohonan bagi pembayaran cukai tanah secara ansuran daripada tuanpunya tanah yang berkaitan dan pertimbangan untuk kelulusan bagi permohonan tersebut telah diberi kuasa pada peringkat Pentadbir Tanah sahaja melalui Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri Bil. 17/2009 bertarikh 12 Mei 2009 (Perkara 3.2.3)
iii) Pentadbiran ini juga akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan melalui pengeluaran Notis Tuntutan Tunggakan Sewa ( Borang 6A) selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 97 Kanun Tanah Negara 1965 bagi hakmilik-hakmilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah.
5) Jabatan Kebajikan Masyarakat telah mengambil beberapa tindakan untuk mengatasi kelemahan teguran audit tahun 2012 seperti berikut :
Bagi bayaran kepada penerima meninggal dunia, semakan JKM mendapati 41 kes penerima bantuan diambil oleh waris / penjaga. JKM mengambil tindakan segera menuntut balik bayaran telah dikeluarkan keatas waris melalui lawatan rumah ke rumah dan kemukakan surat tuntutan bayaran balik bantuan kepada waris/penjaga.
Sehingga kini sebanyak 3 kes telah memulangkan dan 38 lagi masih belum mengembalikan. JKM akan terus mengeluarkan surat peringatan sehingga pihak waris memulangkan wang bantuan .
Garis Panduan Bantuan Am 2012 telah dikemaskini dengan meletakkan tanggungjawab kepada penerima bantuan iaitu :
i. Kelulusan bantuan untuk tempoh satu tahun dan pemohon perlu membuat permohonan semula jika masih memerlukan bantuan.
ii. Bayaran bantuan bulanan dalam tempoh 1-10 haribulan pada setiap bulan dan jika tidak dituntut akan di ‘refund’ oleh pihak bank dalam tempoh 21 hari.
iii. Penggunaan Sistem ‘ALIS’ (Agency Link-up System) dengan Jabatan Pendaftaran Negara telah membantu mengesan kes penerima bantuan yang meninggal dunia untuk ditamatkan bantuan.
6) Tindakan yang diambil oleh PDC bagi memantau syarikat miliknya adalah memastikan syarikat:-
I. Mengambil tindakan pembetulan ke atas segala teguran audit dengan segera.
ii. Menyemak semua aktiviti dan mengambil tindakan pembetulan sewajarnya.
iii. Mempertingkatkan pemantauan dan tindakan susulan terhadap pelaksanaan setiap projek.
iv. Mematuhi semua prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.
v. Mematuhi Kod Malaysia untuk Tadbir Urus Korporat.
vi. Mematuhi prosedur perolehan dan pengurusan aset mengikut Amalan terbaik Syarikat.
vii. Memberi latihan kepada pegawai terlibat.