Jawapan
Ahli Kawasan Sungai Acheh (Dato’ Haji Abdul Rashid bin Abdullah):
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, selamat pagi. Dato’ Speaker, jawapan kepada soalan ini adalah sama seperti jawapan kepada soalan lisan nombor 17 Ahli dari Kawasan Permatang Pasir. Sehubungan dengan itu, izinkan saya menjawab secara serentak untuk kedua-dua soalan tersebut.
Dato’ Speaker, pada peringkat awal berlakunya masalah kemarau iaitu lebihkurang pada bulan Mac tahun 1998 dianggarkan lebihkurang 3,946 hektar tanah sawah di Seberang Perai Utara dan 1,828 hektar di Seberang Perai Tengah akan terjejas dengan tanaman padi. Jumlah kawasan yang dijangkakan terjejas ini ialah 5,774 hektar ianya meliputi lebihkurang 50% kawasan jelapang padi yang diiktiraf yang luasnya lebihkurang 11,000 hektar. Walau bagaimanapun, menerusi langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak kerajaan di samping bantuan hujan yang turun pada awal bulan mei, kawasan yang terjejas dapat dikurangkan pada tahap yang minima. Berdasarkan laporan Jabatan Pertanian sehingga 21 Mei 1998 hanya seluas 120 hektar melibatkan 80 orang petani di Seberang Perai Utara dan lebihkurang 100 hektar melibatkan 65 orang petani di Seberang Perai Tengah yang masih mengalami masalah kekurangan bekalan air.
Usaha-usaha secara bersepadu telah diambil oleh pihak kerajaan menerusi pasukan kerja yang dianggotai oleh Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran IADP untuk membantu petani-petani di kawasan yang terlibat seperti:-
(a) melalui kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Kementerian Pertanian, bekalan air tambahan dari Empangan Muda dan Pedu telah dibekalkan untuk mempastikan padi dapat ditanam terutama bagi kawasan pengairan Sungai Muda dan Pinang Tunggal di Seberang Perai Utara. Kerajaan Negeri menerusi khususnya Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Pengiaran dan Saliran serta IADP Pulau Pinang telah berusaha mengambil tindakan penjimatan penggunaan air seperti pembahagian air secara giliran water rotation yang pertama kali dijalankan, pengitaran semula penggunaan air water recycling dengan membekal pam-pam bergerak kepada kelumpuk-kelumpuk pertanian yang memerlukan. Seterusnya pintu-pintu air di parit-parit dan sungai-sungai dibaiki dan ditutup untuk memastikan air tidak dibazirkan begitu sahaja;
(b) meningkatkan tahap kesedaran dan semangat kerjasama diantara para petani ke atas usaha-usaha penjimatan penggunaan air serta mengelak pembaziran air. Ini dilaksanakan menerusi siri-siri perjumpaan diantara kelumpuk-kelumpuk pertanian dengan pegawai-pegawai pengembangan Jabatan Pertanian;
(c) mengeluarkan kontrak untuk kerja-kerja membersih taliair dan parit-parit terlibat bagi memudahkan bekalan air sampai ke petak-petak sawah petani;
(d) IADP telah membina stesen pam Bumbung Lima yang baru dengan mempunyai 8 buah pam dengan kos sebanyak RM9 juta untuk memastikan keberkesanan bekalan air kepada khususnya semua kawasan Skim Sungai Muda seluar lebihkurang 7000 hektar. Kerja-kerja mengepam air berlebihan dapat dilakukan semasa paras air Sungai Muda didapati di paras yang tinggi; dan
(e) langkah-langkah yang dilaksanakan telah dapat menjimatkan penggunaan air dan ini membolehkan keluasan kawasan padi yang dapat diairi diperluaskan. Ini juga secara langsung dapat menyelamatkan perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh para petani yang telah lama membuat persediaan untuk menanam padi seperti kerja-kerja penyediaan tanah dan pembelian benih.
Dato’ Speaker, dalam kesempatan di dalam Dewan Yang Mulia ini saya bagi pihak Kerajaan Negeri juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada yang pertama kepada Kerajaan Negeri Kedah, khususnya MADA dan juga Kerajaan Persekutuan yang telah membekalkan air dari Empangan Muda dan terima kasih juga hendak kita rakamkan kepada para-para petani di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang telah memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjimatkan penggunaan air dan mengelakkan pembaziran air dan seterusnya yang ketiga ucapan terima kasih kepada semua pegawai-pegawai terutamanya Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dan IADP Pulau Pinang yang telah bertungkus lumus kira-kira 2 bulan untuk mengatasi usaha-usaha bagi menyelamatkan penggunaan air dan mengelak daripada pembaziran air. Usaha-usaha dan kerjasama mereka telah dapat menyelamatkan tanaman padi seluas kira-kira 5,554 hektar, terima kasih.
Tuan Speaker:
Ahli Kawasan Sungai Dua. Soalan tambahan.
Ahli Kawasan Sungai Dua (Encik Jasmin bin Mohamed):
Dato’ Speaker, soalan tambahan. Terdapat 120 hektar tanah pertanian di SPU dan 100 hektar tanah di SPT yang tidak dapat diusahakan pada musim ini, apakah langkah-langkah ataupun rancangan sampingan yang lain ataupun alternatif yang lain yang telah diambil oleh pihak kerajaan ke arah bagi membantu petani yang tidak dapat mengusahakan tanah pertanian mereka dan yang kedua apakah langkah-langkah yang telah diambil sebagai persediaan kita sekiranya kira menghadpi masalah yang sama dimasa-masa yang akan datang.
Ahli Kawasan Sungai Acheh (Dato’ Haji Abdul Rashid bin Abdullah):
Dato’ Speaker, kawasan seluas 220 hektar yang tidak dapat di tanam pada 21 Mei 1998 dan sebenarnya kita sendiri tidak menasihatkan untuk ditanam padi selepas daripada 21 Mei ataupun pada kira-kira masa itu supaya mengelakkan daripada tanaman padi kalau diteruskan mungkin dapat di tanam tetapi akan menghadapi masalah penuaian yang berlapis dengan penanaman semula pada musim yang akan datang. Usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Pertanian dan agensi pertanian yang lain ialah untuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran menasihatkan para petani tanaman yang sesuai ditanam sebagai alternatif kepada tanaman padi yang menggunakan lebihkurang air dan mereka-mereka yang mengusahakan tanaman alternatif ini akan dibantu dengan bekalan jentera-jentera kerja tanah yang disediakan oleh pihak Jabatan Pertanian dan juga LPPP bagi menjalankan kerja-kerja tanah dan yang kedua membekalkan benih-benih dan juga baja-baja yang bersesuaian terima kasih.
Yang kedua langkah-langkah persediaan masa depan Kerajaan Negeri telahpun berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bersama dengan Kerajaan Negeri Kedah untuk mengadakan yang baru di Sungai Beris seterusnya pihak JPS juga diminta untuk mencari alternatif ataupun sumber air yang baru seperti penggunaan air di Sungai Kerian di Seberang Perai Selatan yang belum digunakan dengan sepenuhnya. Usaha-usaha ini dijalankan oleh pihak JPS dan juga PBA.