MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Permatang Pasir (Dato’ Haji Ahmad bin Saad): Soalan saya No. 2. 2. Dalam menghadapi masalah kegawatan ekonomi sekarang, apakah tindakan yang telah dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah ini?
Dun -
Exco KETUA MENTERI
Perkara Ekonomi

Jawapan


Ketua Menteri:

Saya memohon izin untuk menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan No. 4 daripada YB. Ahli Kawasan Datok Keramat, soalan No. 47 daripada Ahli Kawasan Batu Lancang dan soalan No. 70 daripada Ahli Kawasan Sungai Dua.





Dalam ucapan belanjawan saya dalam Dewan Yang Mulia ini pada bulan Disember yang lalu, saya telah mengumumkan beberapa langkah utama sebagai strategi pemulihan ekonomi bagi negara kita ini. Dalam ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dalam Dewan ini pada pagi kelmarin, strategi pemulihan ekonomi negeri ini yang mengandungi lapan langkah utama telah dirumuskan seperti berikut:-

(1) menarik lebih banyak pelaburan asing dan tempatan yang berorientasikan eksport;

(2) meningkatkan penggunaan produk, bahan dan komponen pembuatan tempatan seberapa banyak yang boleh.

(3) meningkatkan usaha menjalin rangkaian perdagangan antarabangsa dan serantau;

(4) mempromosikan sektor pelancongan secara lebih gigih dan agresif.

(5) meningkatkan hasil pertanian tempatan dan pemerosesan makanan sebagai gantian import.

(6) meneruskan program-program pendidikan tinggi dan pembangunan sumber tenaga manusia.

(7) menyelaraskan pembekalan dan penempatan semula pekerja tempatan dan asing, dan

(8) mengadakan kempen kesedaran berjimat-cermat dan mengurangkan pembaziran.

Ucapan Tuan Yang Terutama di-Pertua Negeri Pulau Pinang telah juga menghuraikan langkah-langkah tersebut secara ringkas dan jelas. Di sini saya cuma ingin memberi penjelasan tambahan yang lebih terperinci terhadap beberapa perkara yang penting.

Dato’ Speaker, sebenarnya langkah-langkah ini yang terkandung di dalam Strategi Pemulihan Ekonomi merupakan kesinambungan kepada Pelan Strategik Pembangunan Negeri Pulau Pinang yang telah dilaksanakan sejak tahun 1992, sebelum ekonomi negara kita dilanda oleh
kegawatan. Yang baru dan berbeza ialah penekanan yang lebih yang diberi terhadap pengeluaran dan pengeksportan barang-barangan dan komponen-komponen buatan tempatan, mengurangkan pengimportan barang-barangan dan makanan serta mempromosikan pelancongan secara lebih gigih lagi. Ini bertujuan untuk membantu ekonomi negara kita mengatasi defisit akaun semasa dan menstabilkan nilai matawang ringgit.

Oleh itu, strategi pembangunan ekonomi Negeri Pulau Pinang selama ini sememangnya adalah selaras dengan kehendak-kehendak strategi pemulihan ekonomi yang diperlukan sekarang. Ini adalah kerana selama ini, strategi-strategi utama kita ialah mengutamakan sektor pembuatan yang berorientasikan eksport, sektor pelancongan yang menarik pelancong asing dan pelancong tempatan serta usaha memajukan sektor perdagangan khasnya perdagangan antarabangsa dan antara-wilayah termasuk menggalakkan konsep Segitiga Pertumbuhan IMT. Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Kerajaan Negeri telah juga menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara Pulau Pinang (MTEN-PP) yang telah bermesyuarat sebanyak dua kali yang dihadiri oleh Pengarah Eksekutif MTEN Y.A. Bhg. Tun Daim Zainuddin. Hasil rumusan mesyuarat MTEN-PP ini telah disalurkan untuk pertimbangan MTEN negara dan Kerajaan Persekutuan. Sebenarnya sebalum MTEN negara dan MTEN-PP ditubuhkan dan mulai berfungsi, beberapa Majlis Perundingan antara sektor awam dan sektor swasta di Negeri Pulau Pinang bagi sektor-sektor ekonomi, pendidikan dan pembangunan sumber tenaga manusia telah giat bermesyuarat untuk membincangkan cabaran-cabaran yang dihadapi dan merangka strategi-strategi pemulihan bagi bidang yang berkenaan.

Untuk sektor perindustrian, Majlis Perundingan Industrian Negeri Pulau Pinang atau (PIC) telah bermesyuarat sebanyak lima kali sejak bulan Julai 1997. Di samping itu, 12 pasukan petugas khas ataupun task forces telah ditubuhkan oleh PIC sejak bulan Januari ini untuk 12 sektor kecil dalam sektor pembuatan supaya dapat tertumpu kepada sektor-sektor kecil yang berkenaan dan mengadakan perbincangan dan perundingan secara mendalam. Pasukan-pasukan petugas ini telah mengadakan banyak mesyuarat perundingan. Hasil daripada perundingan ini, langkah-langkah dan cadangan-cadangan secara spesifik telah dapat dirumuskan dan dibincangkan dalam Majlis Perundingan Perindustrian Negeri iaitu PIC dan selanjutnya dibentangkan di MTEN-PP dan dikemukakan ke MTEN negara.

Sebenarnya perundingan dan kerjasama erat di antara sektor swasta dan sektor awam selama ini telah menjadi suatu tradisi dan amalan yang baik yang menyumbangkan kepada bagi kejayaan pembangunan ekonomi bagi negeri ini. Tradisi dan amalan ini sekarang sudah menjadi asas untuk usaha bersama menghadapi dan mengatasi cabaran kegawatan ekonomi. Antara perundingan ini tidaklah terhad kepada mesyuarat majlis-majlis perundingan yang berkenaan secara formal sahaja tetapi ianya merupakan proses berterusan diantara pihak kerajaan dengan para pekilang secara berasingan dan perseorangan. Saya sendiri, beberapa Ahli EXCO dan Pegawai Kanan PDC sering bertemu dengan para pekilang dan membuat lawatan ke kilang-kilang untuk memahami keadaan sebenar serta membantu mengatasi kesulitan-kesulitan yang dihadapi oleh mereka.

Berdasarkan daya-daya penarik Negeri Pulau Pinang sebagai satu pusat pembuatan yang terkenal seperti yang disebut dalam ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan hasil daripada tradisi perundingan dan usaha bekerjasama ini, Negeri Pulau Pinang telah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM905 juta bagi 30 projek baru yang diluluskan oleh MIDA bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini. Ini merupakan satu angka yang menyakinkan kalau dibandingkan dengan jumlah pelaburan RM1,450 juta bagi 90 projek yang diluluskan oleh MIDA bagi seluruh tahun 1997. Di samping itu seperti yang disebut oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang sejak bulan September 1997, 3 buah syarikat Multinational yang utama iaitu INTEL, Hewlet Packard dan TORAY telah mengumumkan komitmen mereka untuk menambah pelaburan mereka sebanyak RM2.8 billion, RM1 billion dan RM1 billion masing-masing. Ini membayangkan keyakinan mereka terhadap Negeri Pulau Pinang.Sepanjang tempoh 12 bulan yang lalu, iaitu diantara Mei 1997 hingga April 1998 terdapat sebanyak 33 buah syarikat, iaitu 29 pelabur tempatan dan 4 pelabur asing, telah membeli seluas 47.44 hektar tanah perindustrian PDC untuk pembinaan kilang-kilang yang melibatkan pelaburan sebanyak RM406.85 juta. Pelaburan tersebut akan mewujudkan sebanyak 3,363 peluang pekerjaan.

Walau bagaimanapun usaha menarik lebih banyak pelaburan telah dan akan terus ditingkatkan. Ini adalah kerana negara-negara jiran kita seperti Thailand dan Filipina telah juga mengalamai penurunan nilai matawang mereka dan sudah menjadi lebih berdaya saing juga. Oleh itu, tiga misi promosi pelaburan telah diadakan iaitu ke Germany dan Ireland pada bulan Oktober 1997, ke Taiwan pada bulan April dan Singapura pada bulan Mei tahun ini. Penekanan misi-misi promosi ini adalah untuk menggalakkan bukan sahaja pelaburan asing tetapi usaha sama di antara syarikat-syarikat teknologi asing dengan syarikat-syarikat tempatan supaya dapat meningkatkan keupayaan teknologi dan menerokai pasaran asing dan serantau. Semasa misi ini, IKS tempatan diberi peluang mengadakan mesyuarat-mesyuarat one for one dengan para usahawan IKS asing yang berteknologi tinggi.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa sektor perindustrian negeri kita ini juga, telah dan sedang menghadapi kesulitan, terutamanya bagi industri kecil dan sederhana (IKS) kerana sekatan kredit dari institusi-institusi kewangan. Akibatnya, terdapat pelabur-pelabur tempatan yang telah menangguhkan pelaksanaan projek-projek baru mereka dan penjualan tanah perindustrian PDC adalah agak lembab sejak bulan Disember yang lalu.

Oleh itu, pihak Kerajaan Negeri dan PDC dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan perindustrian yang berkenaan telah mengambil langkah seperti meyakinkan Kerajaan Pusat untuk melonggarkan syarat-syarat pinjaman kredit, termasuk dari tabung IKS, menggalakkan penjalinan pakatan bistari ataupun smart partnership di antara IKS temptation dan syarikat teknologi asing untuk membekalkan kepada syarikat-syarikat multinasional dan pasaran dunia, mengadakan misi-misi promosi, ke luar negeri serta mengadakan seminar-seminar untuk membantu usahawan tempatan meningkatkan pengeksportan barang-barang pembuatan, kepada pasaran Eropah dan Amerika Syarikat khasnya.

Di samping itu beberapa seminar mengenai masalah IKS telah juga diadakan untuk mendapatkan maklumbalas dan membincangkan isu-isu semasa yang ada kaitan dengan usaha pemulihan ekonomi. Akibat dari kegawatan ekonomi, telah berlakunya pemberhentian kerja kerana pengurangan pengeluaran atau pemberhentian operasi sama sekali oleh kilang-kilang yang tertentu. Di sebaliknya, terdapat juga banyak kilang yang lain yang memerlukan pekerja tambahan, seperti yang berlaku dalam sektor elektronik dan tekstil. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan Negeri telah mewujudkan program Job-link yang bertujuan menyelaraskan pembekalan dan permintaan pekerja, dengan izin the demand of supply of workers iaitu membantu para pekerja yang diberhentikan kerja untuk mendapatkan kerja dan membantu para majikan yang memerlukan pekerja untuk mendapatkan pekerja.
Program ini amatlah berkesan dan setakat ini semua pekerja yang diberhentikan kerja telahpun berjaya mendapat pekerjaan yang baru. Oleh itu sehingga sekarang masalah pengangguran belum lagi timbul di negeri kita ini secara nyata, walaupun ekonomi kita telah dilanda oleh kegawatan selama sembilan bulan. Saya percaya terdapat satu soalan mengenai isu ini secara spesifik dan ianya akan dijawab secara terperinci oleh Yang Berhormat Ahli dari Sungai Pinang.

Dato’ Speaker, penurunan nilai matawang telah mendatangkan kesan-kesan positif dan negatif terhadap sektor pelancongan. Walaupun Malaysia pada amnya menjadi suatu destinasi yang lebih murah terutamanya bagi pelancong-pelancong dari Amerika Syarikat dan Britain, kedatangan pelancong dari wilayah ASEAN, Hong Kong dan Taiwan telah menurun kerana mereka juga dilanda oleh kegawatan ekonomi. Di samping itu penurunan nilai matawang Thailand telah menjadikan Thailand lebih berdaya saing more comparative dari segi harry kalau dibandingkan dengan Pulau Pinang. Tambahan pula, para pelancong asing khususnya dari negara-negara barat cenderung menganggap kesemuanya Asia Tenggara sebagai satu wilayah yang sama.

Oleh itu, masalah ketidakstabilan di Indonesia telah juga menjejaskan kedatangan pelancong ke negara kita pada amnya. Di sebaliknya ketidakstabilan di Indonesia telah mengakibatkan ramai warganegara Indonesia dan orang asing yang bekerja di Indonesia datang ke Pulau Pinang.

Atas sebab-sebab tersebut usaha hendaklah diteruskan dan dipertingkatkan untuk menarik para pelancong asing dan pelancong tempatan ke Pulau Pinang. Di antara misi promosi pelancongan yang telah disertai, oleh rombongan Pulau Pinang termasuklah Eksposisi International Tourism Exchange (ITE) di Berlin, European Incentive and Business Travel Meeting Exhibition (EIBTME) di Geneva, National Association of Travel Agents Singapore (NATAS) di Singapore dan Misi Pelancongan di London.

Dato’ Speaker, saya percaya bahawa terdapat juga soalan mengenai pelancongan yang akan dijawab secara lebih terperinci oleh Ahli dari Batu Uban. Selain daripada itu, salah satu fokus Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kegawatan ekonomi ialah menggerakkan semula sektor pertanian. Sektor ini akan dapat membantu menjimatkan tukaran wang asing daripada pengimportan makanan dan mengurangkan tekanan inflasi akibat kejatuhan nilai ringgit. Di antara usaha-usaha yang dilaksanakan termasuklah program Laman Hijau, serta usaha membaikpulih tanah terbiar untuk projek-projek pertanian. Langkah-langkah ini akan diberi penjelasan yang lebih terperinci oleh Y.B. Ahli Sungai Acheh kerana ada juga soalan mengenai perkara ini.

Dato’ Speaker, sektor hartanah telah mengalami kesan yang buruk akibat kegawatan ekonomi. Bagi membantu sektor ini, usaha telah dibuat untuk mengenalpasti beberapa bidang tanah kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk dimajukan sebagai rumah kos rendah dan sederhana rendah. Langkah ini mempunyai serampang dua mata, iaitu membantu menyediakan perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah di samping menyediakan peluang pekerjaan untuk sektor pembinaan.

Di samping itu, untuk memulihkan sektor ini, Kerajaan Negeri juga telah melonggarkan syarat-syarat pembelian oleh warganegara asing supaya boleh membeli semua jenis hartanah yang berharga RM250,000 ke atas tertakluk kepada syarat tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah unit bagi sesuatu projek. Ini adalah berbanding dengan syarat dahulu di mana warganegara asing hanya dibenarkan membeli landed property iaitu banglo dan semi-detached yang berharga RM750,000 ke atas atau kondominium berharga RM250,000 ke atas, tertakluk kepada syarat tidak melebihi 30peratus daripada jumlah unit bagi sesuatu projek itu. Mengenai projek-projek perumahan khasnya kos rendah Timbalan Ketua Menteri juga akan memberi jawapan secara lebih terperinci apabila sampai ke soalan yang berkenaan yang juga termasuk soalan yang bertulis.

Dato’ Speaker, selain daripada itu, diantara tindakan segera yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri untuk membantu pemulihan ekonomi ialah mengawal perbelanjaan. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri telah membuat pemotongan menyeluruh terhadap perbelanjaan pembangunan tahun 1998 sebanyak 18 peratus. Dengan pemotongan ini peruntukan pembangunan telah dikurangkan daripada RM397,000,000 kepada RM323,000,000. Arahan juga telah dikeluarkan kepada semua jabatan dan agensi negeri supaya meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab khususnya di dalam melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-7. Dalam hubungan ini, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan projek-projek kecil, kemudahan awam seperti projek-projek tebatan banjir, membaiki jalan kampung dan projek-projek kemasyarakatan.

Dato’ Speaker, satu aspek penting yang perlu dilakukan dalam usaha memulihkan kegawatan ekonomi ialah memulihkan keyakinan orang ramai terhadap negara kita sendiri dan mengekalkan keamanan. Di antara usaha Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat ini ialah mengadakan taklimat dan dialog mengenai usaha menangani kegawatan ekonomi dengan golongan-golongan sasar dan rakyat jelata untuk menerangkan keadaan ekonomi semasa dan menerangkan peranan yang boleh dan dapat di mainkan oleh mereka untuk membantu kerajaan pemulihan ekonomi.

Sebagai kesimpulan, tidak dapat dinafikan dan dielakkan bahawa ekonomi Negeri Pulau Pinang adalah amat bergantung kepada perubahan dalam ekonomi dunia, ekonomi wilayah dan ekonomi negara kerana ekonomi negeri kita merupakan sebahagian daripada ekonomi negara, ekonomi wilayah dan ekonomi dunia. Oleh itu terdapat banyak faktor yang berada di luar kawalan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri masih terus berusaha bekerjasama erat dengan sektor swasta untuk mengambil langkah-langkah seberapa banyak yang boleh untuk mengurangkan dan meredakan impak kegawatan ekonomi sekarang, serta terus menyediakan landasan bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. Ini termasuklah pembangunan sumber tenaga manusia dan pembangunan kemudahan infrastruktur yang penting dan perlu.

Oleh kerana sektor swasta merupakan penggerak utama ekonomi kita, sektor swasta hendaklah memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan teknologi, produktiviti dan daya saing mereka dalam pasaran dunia. Kerajaan Negeri hanya dapat membantu sektor swasta dalam usaha untuk mereka menerokai dan meningkatkan pembangunan mereka dalam pasaran negara dan pasaran dunia.

Akhirnya, seperti yang ditegaskan dalam ucapan T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri pada kelmarin, faktor penentu utama untuk mengatasi kegawatan ekonomi dan meneruskan pertumbuhan ekonomi ialah kestabilan, keamanan dan keharmonian yang berterusan di negara dan negeri kita itu. Oleh itu, semua pihak mestilah bersikap positif, berdisiplin, bekerja kuat, bekerjasama, bertolak ansur dan bersatu padu untuk bersama-sama menjamin kestabilan, keamanan dan keharmonian supaya ekonomi kita dapat pulih dengan secepat mungkin.

Tuan Speaker:

Ya, Ahli Kawasan Datok Keramat
Ahli Kawasan Datok Keramat (Encik Lim Boo Chang):

Yang Berhormat Dato’ Speaker, dalam suasana ekonomi yang meleset kita semuapun menghadapi cabaran dan kesulitan dan saya nampak seperti diterangkan oleh T.Y.T. pada pagi kelmarin kadar pertumbuhan ekonomi akan turun ke 2.5 sampai 3 peratus dan saya pun nampak kadar pertumbuhan ekonomi negara hanya 2 sampai 2.5 setahun seperti diumumkan dahulu tetapi baru-baru ini Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi negara untuk suku tahun pertama tahun ini ialah hanya negatif 1.8 sahaja. Oleh ini anggaran Kerajaan Negeri seperti yang diumumkan adalah optimistickah atau pessimistickah dan adakah perlu untuk mengubah kadar ekonomi anggaran ini. Ini hanya soalah saya.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, anggaran ataupun unjuran kadar pertumbuhan ekonomi bagi Negeri Pulau Pinang adalah berdasarkan kepada beberapa faktor utama, yang penting sekali ialah unjuran kadar pertumbuhan negara pada amnya sebagai satu landasan ataupun basic untuk kita membuat unjuran bagi pertumbuhan di Negeri Pulau Pinang. Selain daripada itu berdasarkan kepada kajian dan maklumbalas yang diperolehi dari PDC melalui syarikat pakarunding yang merupakan anak syarikat kepada PDC iaitu DCT Consultant yang menjalankan kajian dan bancian terhadap peningkatan produktiviti, peningkatan value added di kalangan kilang-kilang yang beroperasi di dalam taman-taman PDC. Oleh itu unjuran kadar pertumbuhan bagi Negeri Pulau Pinang di lingkungan 2.5 hingga 3 peratus, seperti yang telah di umumkan oleh saya sendiri dan disebut oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri adalah berdasarkan kepada faktor-faktor ini terutamanya ialah kadar pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu walaupun pengumuman baru sahaja dibuat bahawa kadar pertumbuhan sudah menjadi negatif untuk suku tahun pertama tahun ini bagi peringkat negara iaitu minus 1.8 peratus dengan izin tetapi nampaknya Kerajaan Pusat masih mengatakan bahawa unjuran yang dahulu iaitu untuk keseluruhanya untuk tahun ini masih kekal. Kebetulannya Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Kewangan mengatakan telah melaporkan dalam surat khabar pagi ini bahawa kadar pertumbuhan KDNK iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 1998 yang diunjurkan tumbuh pada 2.5 peratus tidak perlu dikaji semula buat sementara kerana pihak Kerajaan Pusat percaya pada keseluruhannya untuk tahun ini kita masih akan terus mencapai 2.5 peratus. Oleh itu Kerajaan Negeripun mengambil pendirian yang sama buat sementara waktu, tetapi seperti yang dikatakan oleh T.Y.T. dalam ucapannya kadar ini memang akan disemak dan dikaji dari masa kesemasa berdasarkan kepada perubahan yang telah sedang dan akan berlaku dalam ekonomi negara dan ekonomi negeri mengenai samada unjuran ini adalah terlalu optimestik ataupun pessimistic jawapan saya ialah sedemikian iaitu unjuran ini memangnya berdasarkan kepada faktor-faktor dan juga kepada data-data yang diperolehi secara objektif tetapi ianya juga berdasarkan kepada ramalan ataupun redaction dan projection yang dibuat yang juga berdasarkan kepada tanggapan ataupun presence ahli-ahli ekonomi serta juga ahli-ahli perniagaan, perindustrian oleh itu memang terdapat komponen subjectif di dalam unjuran kadar pertumbuhan di mana kita memang dalam proses membuat unjuran ini kita mengadakan satu scenario optimistic dan dan scenario pessimistic dimana kita akhirnya mencapai satu scenario yang dikenali sebagai scenario realistic tetapi apabila kita membuat unjuran kalau terlalu pessimisticpun ini mungkin akan menjadi satu ramalan yang self full feeling dengan izin self full feeling prophesy kalau kita mengumumkan satu unjuran yang amat pessimistic maka ianya akan juga menjejas keyakinan dan selanjutnya akan menjadi keadaan lebih terus tetapi disebaliknya unjuran itu kurang realistik terlalu obtimestik maka ini akan menjejaskan kredibiliti pihak kerajaan oleh itu kita memang sememangnya kita cubalah untuk mengunjur secara realistik dan sering kali kita berada di tahap tengah diantara yang optimistik dengan yang pessimistic supaya kita realistik sedikit.

Tuan Speaker:

Y.B. Permatang Pasir

Ahli Kawasan Permatang Pasir (Dato’ Haji Ahmad bin Saad):

Y.A.B. Tan Sri Ketua Menteri soalah ini memang luas banyak soalan yang harus ditanya tetapi saya memang banyak perkara daripada apa yang diterang oleh Y.A.B. Ketua Menteri. Satu apakah tindakan kerajaan apabila kegawatan ekonomi ini banyak syarikat-syarikat besar dan kecil IKS syarikat-syarikat besar lagi bermasalah dan mereka masih menunggu bilakah kegawatan ini akan berakhir everybody waiting. Soalan saya apakah insentif dalam keadaan kegawatan ini diberi kepada sektor-sektor tertentu seperti di terangkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri, terutama hartanah, industri ataupun pihak kerajaan hendak mengurangkan cukai yang dikenakan oleh MPPP, MPSP dan kerajaan negeri, adakah rancangan kerajaan untuk tidak menaikkan cukai tafsiran semasa dalam kegawatan ini. Bagaimana kalau pihak MPPP, MPSP bercadang untuk menaikkan cukai tafsiran dalam keadaan kegawatan ini adakah cukai tidak dinaikkan sebagai janji kerajaan Pulau Pinang kepada rakyat Pulau Pinang. Adakah ini satu rancangan kerajaan ataupun tidak ada ideal lagi ataupun masih dalam perbincangan kerajaan, ini satu perkara yang harus di ketahui oleh rakyat Pulau Pinang. Tadi Y.A.B. juga ada bercakap mengenai IMT-GT dan setiap kali dewan perkara ini dibangkitkan, apakah hasil perbincangan itu dan berapakah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan seperti berapa syarikat yang telah mengadakan usahasama di syarikat IMT-GT, berapa syarikat yang terlibat bagi pihak Negeri Pulau Pinang, bagi pihak Thailand dan bagi pihak Indonesia. Adakah selama jawatankuasa di tubuh tidak ada satu apa hasil yang dikeluarkan ataupun yang dihasikan oleh perbincangan ini. Indonesia pun tidak beli tanah di sini, Indonesia pun tidak labor di sini kita juga tidak ada pelaboran di Indonesia, begitu juga syarikat pelaboran tidak ada pelaboran di Thailand. Bermakna perbincangan ini tidak ada hanya di meja perundingan tidak menghasilkan apa-apa, jadi kita tidak tahu apa yang dicapai di dalam perbincangan itu.

Yang ke tiga saya hendak tanya, kegawatan ekonomi juga, kerajaan telah membuat dasar iaitu hanya buruh-buruh asing juga kepada kilang-kilang yang berorentasi eksport apakah pekerja-pekerja asing di Pulau Pinang apabila kerajaan buat dasar ini akan dihantar balik pekerja-pekerja Bangladesh, Indonesia, kecuali kilang yang berorentasi eksport maknaya yang lain tidak di beri kebenaran untuk bekerja di Pulau Pinang jadi adakah kesan kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang. Itu sahajalah saya hendak bagi peluang kepada orang lain.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, sebenarnya 3 soalan ini sebenarnya semua soalan yang besar-besar seperti Ahli Yang Berhormat Permatang Pasir sendiri besar dan berat. Dato’ Speaker, memang Kerajaan Negeri penuh sedar dan peka bahawa banyak syarikat samada besar ataupun kecil sedang menghadapi masalah dalam kegawatan ekonomi ini apa yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri ialah setakat membantu mereka mengatasi kesulitan-kesulitan misalnya kalau mereka menghadapi kesulitan berkaitan dengan pembekalan pekerja ataupun dari segi kredit dan pinjaman daripada bank kita membuat rayuan bagi pihak untuk menyokong mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan khasnya kerajaan pusat ini adalah kerana insentif-insentif yang dapat diberi kepada Kerajaan Negeri

mempunyai impak yang besar iaitu dari segi cukai kerajaan negeri cuma mengutip cukai tanah, dan kerajaan tempatan mengutip cukai pintu dan kedua-dua ini memang merupakan cukai yang dikutip oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan yang di bawah kawalan Kerajaan Negeri. Dari segi ini kita telahpun mengumumkan bahawa kita tidak akan menaikkan cukai tanah dan cukai pintu sebagai satu langkah untuk tidak meningkatkan menambahkan beban kepada syarikat-syarikat dan juga orang perseorangan, walau bagaimanapun kita masih tidak bercadang untuk mengurang ataupun menurun cukai tanah dan cukai pintu buat sementara waktu ini kerana ini merupakan punca utama bagi hasil Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dan sememangnya dalam keadaan ini sudah mengumumkan bahawa kita tidak akan menaikan cukai tanah dan cukai-cukai pintu sebagai satu langkah untuk tidak meningkatkan atau menambahkan beban kepada syarikat-syarikat dan juga orang perseorangan. Oleh itu kalau kita menurunkan cukai pada masa ini maka ianya akan menjejas hasil Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dan akibatnya kita tidak dapat melaksanakan projek-projek yang telah kita rancang terutamanya projek-projek infrastruktur dan projek-projek kemasyarakatan yang penting bagi rakyat.

Apa yang saya ingin tegaskan disini ialah kita membantu menggalakkan dari segi promosi dari segi membantu menjalinkan usahasama kita membantukan dari segi kita menarik pelabur asing dengan lebih banyak supaya mereka ini nanti akan mengwujudkan peluang untuk industri kecil dan sederhana dan seperti yang saya telah huraikan tadi langkah-langkah itu memang dapat diusahakan oleh Kerajaan Negeri. Di samping itu kita juga dapat menyalurkan dan menyampaikan cadangan-cadangan dari pihak swasta kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan terus kepada Kerajaan Pusat dimana misalnya sejak bulan Disember yang lalu kita sudah merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya melonggarkan syarat-syarat pinjaman untuk tabung IKS dan juga meningkatkan amount yang diperlukan khasnya untuk operating expenses dengan izin dan kita memang bersyukur bahawa cadangan kita ini yang disalurkan memang diterima oleh Kerajaan Pusat dan pengumuman telah dibuat di mana tabong IKS telah dilonggarkan dan telah ditambah ini ialah cara-cara yang kita dapat membantu IKS kita.

Yang kedua mengenai segi tiga pertumbuhan IMT atau IMT grove triangle memang kita telah dijawab di dalam Dewan ini secara bertulis senarai persetujuan dan juga memorumdum persefahaman yang telah ditandatangani selama ini. Di antara projek-projek ini ada yang sudah bermula tetapi ada juga yang belum berhasil dan tidak dapat dinafikan bahawa kegawatan ekonomi dan masalah yang dihadapi oleh Indonesia telah juga menjejaskan perlaksanaan projek-projek ini. Walau bagaimanapun satu bidang amat berhasil dan berjaya sekali sehingga kegawatan melanda wilayah ini ialah dalam bidang pelancongan, kerjasama dalam bidang pelancongan melalui satu pertumbuhan yang dikenali sebagai MITA iaitu Malaysia, Indonesian, Thailand Tourist Association yang berusaha untuk buat promosi bersama untuk segi tiga pertumbuhan. Mengenai isu pekerja-pekerja asing saya percayalah nanti ada satu soalan lisan juga yang akan dijawab secara lebih terperinci oleh Ahli Yang Berhormat dari Sungai Pinang. Terima kasih.

Tuan Speaker:

Saya bagi peluang yang bawa soalan dulu. Tolong ringkaskan soalan, straight to the point.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng):

Dato’ Speaker, masalah yang pertama dalam kegawatan ekonomi yang telah ditahu atau diumumkan ialah krisis keyakinan the confidence crisis saya faham bahawa sebagai sebuah Kerajaan Negeri memang ada terhadnya dalam mengubahkan apa-apa tindakan untuk overcome the confidence crisis tetapi sebagai satu Negeri dalam Malaysia sekiranya Malaysia is home masalah ini tidak di tangani adakah mungkin Negeri Pulau Pinang akan dikecualikan dalam semua usahanya ataupun adakah Negeri Pulau Pinang mampu mengeluarkan sendiri get out from this economic crisis with our own effort dengan izin. YAB. tidak menyentuh langsung tentang masalah keyakinan ini walaupun YAB. telah memberi jawapan yang panjang lebar dengan mengulangi sebahagian besar ucapan T.Y.T. pada pendapat saya sekiranya masalah keyakinan ini tidak ditangani......(gangguan)

Tuan Speaker:

Soalannya Yang Berhormat.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng):

Soalan pertama telah diberi. Bagaimanakah 8 langkah yang dikatakan dalam ucapan T.Y.T. dan diulangi lagi pada pagi ini oleh YAB. Adakah ini akan efektif, 8 langkah-langkah ini bukankah untuk hanya masa biasa apabila ekonomi dalam keadaan yang baik kerana yang pertama menarik lebih banyak pelabur asing pada masa sekarang kalau kita tidak menangani masalah .......(gangguan).

Tuan Speaker:

Y.B. tidak payah ulaslah.

Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng):

....bagaimana kita boleh ......(gangguan).

Tuan Speaker:

... tanya soalan saja......(gangguan).

Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng):

Bagaimana kita boleh menarik lebih banyak pelaburan. Tadi YAB. mengatakan dengan panjang lebar menjawab soalan tambahan YB. Datok Keramat, tetapi tidak memberi satu gambaran apakah pertumbuhan KDNK dalam negeri yang sempurna dalam 3 bulan yang pertama sekiranya negara national lavel boleh dapatkan satu kadar mengapa Pulau Pinang tidak boleh memberi satu kadar. Apakah pertumbuhan KDNK negeri pada suku pertama tahun ini kerana YAB dapat memberi berapa jumlah tanah dijual dan berapa banyak projek telah diluluskan tetapi apakah kadar pertumbuhan ekonomi dalam 3 bulan yang pertama tahun ini dan saya kuatiri kalau negeri Pulau Pinang tidak dapat menghadapi cabaran dengan bekerjasama atau meyakinkan Kerajaan Persekutuan untuk menangani masalah keyakinan ini dengan menjalankan mungkin reformasi yang perlu seperti yang telah dijalankan.....(gangguan).

Tuan Speaker:

Adakah soalan lain YB. ini cuma ulasan-ulasan. Terus kepada soalan.
Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng):

Soalannya ialah adakah Kerajaan Negeri berpendapat kita tidak perlu menjalankan reformasi seperti yang telah dijalankan di Negeri Thailand di Negeri Korea dan apa yang diberi oleh YAB kita dapat mengatasi masalah ekonomi di negeri ini. Terima kasih.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, saya berasa hairan sama ada Ahli Batu Lancang benar-benar mendengar betul-betul jawapan saya tadi sebab saya tidak pernah mengatakan bahawa Negeri Pulau Pinang dapat diasingkan daripada negara dan daripada dunia. Saya menegaskan bahawa ekonomi negeri adalah bergantung kepada perubahan dalam ekonomi dunia, ekonomi wilayah dan ekonomi negara itu memang satu kenyataan satu hakikat yang kita tidak dapat nafikan, walau bagaimanapun saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Ahli Kawasan Batu Lancang sebagai krisis keyakinan sebab di dalam jawapan saya, saya pun menunjukkan angka-angka yang menunjukkan bahawa para pelabur masih mempunyai keyakinan terhadap negeri Pulau Pinang dimana ada pelabur-pelabur asing yang telah lama berada di negeri Pulau Pinang menambahkan pelaburan mereka sebegitu banyak, kalau ini bukanlah mencerminkan keyakinan saya tidak tahulah apa yang mencerminkan keyakinan dan apakah krisis yang dimaksudkan oleh Ahli Batu Lancang itu yang sering dikatakan oleh yang dibangkit-bangkitkan oleh pihak pembangkang sahaja. Tetapi mengikut kenyataan yang dibuat oleh IMF, World Bank, Ahli-ahli ekonomi, dan pembesar-pembesar negara asing mereka semua lebih yakin kepada negara Malaysia daripada pihak pembangkang dan itulah mungkin krisis keyakinan tetapi krisis keyakinan pihak pembangkang kerana mereka sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap negara ini. Itulah yang saya boleh takrifkan sebagai pendirian pihak pembangkang.

Yang ketiga 8 langkah yang saya sebutkan tadi saya pun telah memberi penjelasan yang agak nyata bahawa 8 langkah ini memang adalah kesinambungan atau continuity kepada strategi pembangunan yang sedia ada kerana pada kebetulannya di negeri Pulau Pinang dan saya ingat bukanlah pada kebetulannya kerana hasil daripada perancangan Kerajaan Negeri selama ini sejak tahun 70an hasil daripada usaha rakyat Negeri Pulau Pinang dan juga kerjasama dari Kerajaan Pusat kita telah dapat mengwujudkan sebuah ekonomi di negeri Pulau Pinang dimana 52 peratus
ialah sektor pembuatan dan daripada sektor ini 80 peratus hasil pengeluarannya ialah berorentasikan Export Oriented oleh itu kita memang mempunyai satu landasan dan asas walaupun ada banyak masalah dan cabaran tetapi asas dan landasan yang kukuh ini dapat memberi satu cushion seolah-olah untuk meringankan atau mengurangkan atau meredakan kesan dan impek nagetif daripada kegawatan ekonomi dengan mengatakan demikian tidak bermakna bahawa kita tiada masalah langsung memang ada masalah tetapi tidak seteruk di tempat-tempat lain oleh itu 8 langkah ini memang merupakan kesinambungan tetapi ianya diberi penegasan yang tepat dan wajar untuk menangani keadaan ekonomi yang gawat sekarang ini. Oleh itu saya memang merasa hairan bahawa pihak pembangkang sentiasa tidak faham atau tidak mahu faham, tentang strategi dan juga langkah-langkah yang telah dan akan terus diambil oleh Kerajaan Negeri.

Dan akhirnya mengenai unjuran kadar pertumbuhan untuk suku tahun yang pertama, saya mesti menyatakan di sini bahawa kita masih belum dapat satu unjuran kerana unjuran kadar pertumbuhan diperingkat negeri adalah berbeza dari unjuran kadar pertumbuhan di pihak negara kerana statistik yang tidak begitu sama kerana untuk negara pada keseluruhannya kita dapat angka-angka mengenai impot ekspot mengenai pengeluaran dan juga berdasarkan kepada banci oleh Jabatan Statistik yang berdasarkan kepada seluruh negara ianya lebih lengkap tetapi diperingkat negeri angka ini kadang-kala kita tidak dapat memisahkan daripada apa yang dibuat di negeri ini dan dibuat di negeri-negeri jiran, sebab itu kita tidak membuat mengadakan satu unjuran yang tepat secara cepat berdasarkan kepada suku tahun ataupun quarter. Ini sebagai penjelasan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat.

Tuan Speaker:

Y.B. Bayan Lepas. Tolong rengkaskan soalan.

Ahli Kawasan Bayan Lepas (Encik Lim Chien Aun):

Dato’ Speaker, saya hendak tanya bagaimanakah Kerajaan Negeri dan agensi-agensi kerajaan lain mengagihkan projek-projek rakyat agar tidak menyusahkan mereka dengan pengurangan 18 peratus dalam pembelanjawan jabatan sepertimana yang diarahkan oleh Perbendaharaan dan pihak kerajaan dan apakah sebab-sebabnya kadar potongan 18 peratus
ini dipilih dan adakah Wakil Rakyat akan diberi peluang untuk berbincang dan menentukan projek yang perlu dilaksanakan dan yang boleh ditangguh dan yang boleh dibatalkan dengan Jabatan-jabatan kerajaan yang melaksanakannya, itu saja.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, pemotongan 18 peratus ini ialah secara across the board sebagai satu tahap pertama selepas itu kita juga mengkaji keperluan penting dan mendesak misalnya keutamaan diberi kepada projek-projek tebatan banjir dan juga projek-projek yang ada kaitan dengan kualiti hidup, mungkin projek-projek perparitan dan sebagainya dimana kita cuba tidak mengurangkan begitu banyak atau kita menjadualkan projek itu supaya dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun dan bukan satu tahun. Ini bermakna bahawa belanjawan itu akan dapat dibahagikan dalam masa dua tahun, oleh itu mengurangkan amount yang diperuntukkan dan juga akan dibelanjakan pada setiap tahun, ini ialah recycling. Di samping itu kita juga sentiasa mendapat maklum balas daripada semua pihak termasuk Wakil Rakyat dimana rayuan pandangan mereka juga akan diambil kira tetapi seolah semua berpandu kepada Wakil Rakyat samada Wakil Rakyat Kerajaan atau pembangkang kita mendengar permintaan mereka dan diambil kira dalam usaha kita untuk menangani bersama satu belanjawan yang telah dipotong. Ini memanglah pendirian dan juga amalan kita selama ini dan saya mengalu-alukan Wakil Rakyat untuk mengemukakan pandangan mereka khasnya projek-projek yang ada kaitan dengan kualiti hidup di kawasan masing-masing. Di sini saya juga ingin mengatakan bahawa Kerajaan Negeri memang telah mengarahkan supaya MPPP dan MPSP mengeluarkan peruntukan tambahan untuk projek-projek kualiti hidup supaya dapat kita selesaikan projek-projek kecil ini walaupun kecil dari segi skilnya dan dari segi perbelanjaan tetapi ia mempunyai impact yang amat besar kepada penduduk tempatan disesuatu lokasi itu.

Tuan Speaker:

YB. Seberang Jaya, soalan tambahan.

Ahli Kawasan Seberang Jaya (Dato’ Abdul Latiff bin Mirasa):

Dato’ Speaker, bila kita fikirkan dari segi yang kita cakapkan tentang kegawatan ekonomi masalah yang utama sekarang ini ialah masalah modal, kita dapati syarikat besar, syarikat yang sederhana termasuk syarikat-syarikat yang kecil-kecil seperti penjaja mereka menghadapi masalah besar, sekarang pertama cost of dengan izin pinjaman interest atau kadar bunganya memang tinggi 16 hingga 18 peratus sekarang dan kalau ada yang rendah pun memang sukar sekali untuk mendapatkannya dan memang kita dapati apa-apa langkah yang telah dibuat oleh Kerajaan Pusat oleh kerana wang terpaksa dibagi kepada semua negeri, semua syarikat seluruh Malaysia, sudah tentu kita rasa sukar juga rakyat di Negeri Pulau Pinang, syarikat-syarikat untuk mendapat modal, jadi isunya sekarang umpamanya kita begitu prihatin kepada kualiti hidup umpamanya mengeluarkan sedikit wang untuk meningkatkan kualiti hidup, saya rasa yang penting sekarang bagaimana Kerajaan Negeri mencari jalan untuk mencari modal untuk projek-projek yang produktif. Umpamanya selama ini kita telah menggalakkan seluruhan jentera kerajaan, masyarakat untuk berjaya telah menubuhkan syarikat-syarikat baru. Kita lihat banyak produk-produk baru, kita dapati banyak idea-idea baru yang wujud tetapi semuanya akan tenggelam nanti oleh kerana masalah modal. Jadi isunya sekarang dalam konsep smart partnership yang kita rasa samada kerajaannya, pihak swasta, bagaimana pula Kerajaan Negeri, saya rasa boleh memainkan peranan untuk memasukkan satu elemen yang lebih penting iaitu modal. Terima kasih.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, Kerajaan Negeri memang penuh sedar akan masalah yang dihadapi, yang utamanya ialah masalah modal, walau bagaimanapun dalam perkara ini peranan Kerajaan Negeri termasuk agensi pembangunannya seperti PDC adalah amat terhad. Ini adalah kerana hasil dan juga reserve Kerajaan Negeri ini amatlah terhad dan ianya hanya disimpan untuk dibelanjakan. Tahun demi tahun dan kita sudah mulai draw down, keluarkan simpanan untuk menampung belanjawan krisis ini, itu yang pertama untuk PDC. PDC bergantung kepada pinjaman pasaran untuk menjalankan projek-projeknya dan ianya tidak mempunyai banyak hasil ataupun dana dalaman dan segala hasil dalaman itu juga digunakan untuk projek-projek dan sekarang ini PDC juga sedang menghadapi masalah kegawatan kerana ada rumah-rumah dalam pembinaan oleh PDC yang dianggap akan dapat dijual, sekarang pasaran perumahan pun lembab dan ini mengakibatkan bahawa sebahagian daripada dana yang diperolehi melalui hasil dalaman dan juga melalui pinjaman daripada Bank terikat pula. Oleh itu peranan Kerajaan Negeri dalam membantu syarikat-syarikat
dari segi modal memang boleh dikatakan terhad dan tidak dapat memainkan peranan itu kerana inilah peranan yang dimainkan oleh sektor perbankan bukan pembangkang, sektor perbankan betullah, pembangkang tidak main peranan banking sector dan semua ini sebenarnya adalah tanggongjawab dan di atas budibicara Kerajaan Pusat.

Tuan Speaker:

Saya bagi satu saja lagi, ringkas sahaja soalan tambahan

Ahli Kawasan Sungai Bakap (Encik Lai Chew Hock):

Terima kasih. Yang Berhormat Speaker, bagaimanakah PDC bercadang membenarkan lot tanah perindustrian dibeli oleh IKS tempatan dalam kegawatan ekonomi ini agar mereka dapat memindah aktiviti-aktiviti mereka ke zon perindustrian.

Ketua Menteri:

Dato’ Speaker, memang PDC telah membina banyak kilang-kilang IKS di beberapa tapak untuk dijual kepada IKS tetapi dalam beberapa bulan kebelakangan ini penjualan kilang-kilang IKS ini yang pada pendapat PDC memang atas harga yang berpatutan sangatlah lembab very slow dan PDC sebenarnya sedang mengkaji semula harga dan juga cara untuk membantu IKS sekiranya mereka berminat termasuk juga kemungkinan menyewa unit-unit yang tertentu memang ada disebahagiannya ialah untuk disewa khasnya kepada IKS bumiputera dan ada sebahagiannya yang ditetapkan untuk dijual oleh itu kita memang cuba mencari langkah-langkah yang lebih innovative dan di sini kita juga dapat membantu, kalau mereka sudah menempah tapak perindustrian PDC tetapi tidak mampu bayar kita melonggarkan syarat-syaratnya iaitu mengadakan satu easy payment scheme dan juga kita mengecualikan faedah ataupun bunga kalau mereka tidak mampu dan kita memang selalu berunding dengan mereka yang menghadapi masalah.

Tuan Speaker:











Kembali