Jawapan
20. (i) Arena sukan Antarabangsa Pulau Pinang atau PISA ‘Penang International Sports Arena’ yang terletak atas tapak keluasan 25 ekar dan dibina oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mempunyai kemudahan untuk berbagai kegunaan praktikal. Yang pertama ialah sebuah stadium tertutup yang boleh digunakan untuk untuk acara-acara sukan, majlis-majlis jamuan, pameran-pameran, persidangan dan persembahan. Muatan tempat duduk di stadium tertutup ini ialah sebanyak 11,541. Yang kedua ialah sebuah pusat akuatik yang mempunyai sebuah kolam renang bersaiz olimpik untuk sukan air dan sebuah kolam renang rekreasi untuk kegunaan keluarga. Muatan tempat duduk di pusat akuatik ini ialah 2,448. Yang ketiga ialah kemudahan letak kereta dengan jumlah petak letak kereta sebanyak 1,976, iaitu 988 petak kereta terdapat di sebuah bangunan letak kereta bertingkat, 284 petak kereta lagi ditempatkan di stadium tertutup dan bakinya sebanyak
704 petak kereta berada di kawasan terbuka. Juga terdapat sebuah kompleks gerai yang mengandungi 22 buah gerai dan 2 buah restoran di tingkat 5 atas bangunan tempat letak kerata tersebut. Keseluruhan kawasan PISA mempunyai keluasan kira-kira 25 ekar.
(ii) Kos pembinaan PISA berjumlah RM102,570,767 yang dibiayai oleh MPPP dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dari Kerajaan Persekutuan. Keseluruhan projek berkenaan telah siap pada 20 November, 1997. Pengurusan, pengendalian serta penyenggaraan PISA telah diswastakan dan kos penyenggaraannya adalah ditangung sepenuhnya oleh pengendalian berkenaan.
(iii) Sejak ianya siap 6 bulan yang lalu, PISA telah digunakan untuk 18 acara sosial dan perdagangan serta satu acara sukan antarabangsa iaitu XI FINA Junior Diving World Championship dari 12 hingga 16.11.97. Dua acara sukan lagi telah ditetapkan untuk diadakan di PISA, iaitu Pertandingan Badminton Terbuka Malaysia yang bertaraf antarabangsa dari 1 hingga 5.7.98 dan Sony National Sports Meet dari 6 hingga 7.6.98.
(iv) PISA dibina untuk menyediakan kemudahan-kemudahan sukan, rekreasi dan sosial untuk faedah penduduk Pulau Pinang. Pihak MPPP dan pengendali berkenaan akan bersama-sama memastikan keperluan-keperluan bagi pertandingan-pertandingan bertaraf antarabangsa disediakan.
(v) Tidak benar, kolam renang di PISA tidak retak dan bocor. Kebocoran air didapati berlaku di paip bekalan ke kolam renang pertandingan dan ianya telahpun diperbaiki pada 14 Mei, 1998.