Jawapan
Ketua Menteri:
25. Sejak kegawatan ekonomi, pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, agensi Kerajaan Negeri dan pihak swasta telah terlibat dengan kempen beli barangan buatan Malaysia. Kerajaan memang menggalakkan dan menyokong usaha pihak-pihak yang menjalankan dan menjayakan kempen beli barangan buatan Malaysia.
Di antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan bagi menjayakan kempen tersebut ialah:-
(i) mengadakan pameran, promosi dan jualan barangan buatan Malaysia melalui aktiviti Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri/Daerah, pihak swasta termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO);
(ii) mengarahkan pasaraya-pasaraya supaya mengasingkan dan menandakan dengan label “Buatan Malaysia†di rak-rak yang mempamerkan barangan buatan Malaysia. Tindakan ini adalah untuk memudahkan pengguna mengenalpasti dan memilih barangan buatan Malaysia;
(iii) di masa yang sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyediakan senarai barang-barang buatan Malaysia untuk menyedarkan dan memberi maklumat kepada pengguna mengenai barang-barang buatan Malaysia;
(iv) menganjurkan siri seminar dan pameran berkenaan barangan buatan Malaysia bagi meningkatkan kesedaran pengguna berkenaan barangan tersebut; dan
(v) memperkenalkan logo khas bagi barangan buatan Malaysia yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Bagi makluman Dewan Yang Mulia ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang mengkaji untuk meminda Perintah Kawalan Harga (Pelebalan Oleh Pekilang, Pengeluar, Pengimport atau Penjualborong) 1980 bagi mewajibkan harga runcit yang disyorkan Recommended Retail Price dicetak pada barangan tersediabungkus agar pengguna dapat membeli barangan buatan Malaysia pada harga yang berpatutan dan tidak dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang mencari keuntungan berlebihan.
Semua usaha kerajaan ini adalah untuk menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia. Walau bagaimanapun, adalah terlalu awal untuk menilai keberkesanan dan tahap pencapaian kempen beli barangan buatan Malaysia. Sungguhpun begitu sambutan bagi pameran dan jualan barangan buatan Malaysia oleh pekilang/pengeluar barangan buatan Malaysia dan penguna adalah sangat menggalakkan.