Jawapan
Dato' Hj. Abdul Rashid bin Abdullah:
1. Kerajaan Negeri telah dan sedang melaksanakan langkah-langkah rancangan jangka panjang bertujuan untuk menambahkan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan ternakan di negeri ini. Langkah-langkah yang telah dan sedang dilaksanakan ialah:-
(a) Menggiatkan lagi aktiviti Program Laman Hijau yang telah dilancarkan pada 22 Februari lalu untuk menggalakkan orang ramai menanam sayur-sayuran di keliling rumah dan seterusnya meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran. Program ini menekankan kepada usaha menanam sayur-sayuran di atas tanah bagi penduduk luar bandar dan menanam di dalam pasu dan secara hidroponik bagi penduduk bandar.
(b) Meningkatkan pengeluaran sayur-sayuran secara komersial di kawasan-kawasan sediada seperti di Tasek Junjong, Seberang Perai Selatan, Kampong Pelet, Kepala Bukit dan Kampong Berangan Sembilan di Seberang Perai Tengah serta Kampung Tok Bedu, Pokok Tampang dan Kampong Pongsu Seribu di Seberang Perai Utara. Usaha juga dijalankan dengan menggalakkan 38 kelompok petani yang terlibat mengusahakan kawasan-kawasan tersebut untuk meluaskan kawasan tanaman serta meningkatkan pengeluaran hasil menerusi pengurusan ladang yang lebih sempurna dan penggunaan teknologi yang lebih efisien.
(c) Pembukaan kawasan baru untuk tanaman sayur-sayuran diusahakan oleh para petani, di mana sehingga ini seluas 195.2 hektar tanah kerajaan telah diagihkan menerusi jabatan-jabatan dan agensi seperti PERDA, Kementerian Pertanian, Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pengairan dan Saliran. Tanah-tanah tersebut diusahakan untuk pengeluaran hasil pertanian termasuk tanaman kontan, sayur-sayuran dan ternakan.
(d) Menambah keluasan pengeluaran sayur-sayuran terutamanya di kawasan-kawasan padi yang sukar mendapat air pada musim kemarau atau kawasan-kawasan yang marginal. Dengan cara ini, kawasan tersebut akan dapat digunakan dengan cara yang lebih optima.
(e) Menggunakan tanah-tanah terbiar rezab kerajaan seperti tanah rezab sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran untuk tujuan pengeluaran sayur-sayuran yang boleh diusahakan oleh pertubuhan-pertubuhan, individu dan pihak swasta yang berkenaan.
(f) Memberi fokus kepada pemasaran hasil sayur-sayuran melalui jualan terus dari pengeluar kepada pengguna. Langkah ini dapat memberikan harga yang lebih tinggi kepada petani (dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka) berbanding jika hasil dijual kepada orang tengah, di samping menawarkan harga jualan yang lebih rendah kepada pengguna (dan seterusnya membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian) berbanding dengan harga jualan di pasaran.
(g) Memandangkan masalah kekurangan tanah kerana tekanan perindustrian, perusahaan ternakan yang memaksimumkan kegunaan tanah, berdayasaing, komersial, berteknologi tinggi dan mesra alam digalakkan. Penternakan seperti puyuh pedaging, lembu secara fidlot dan lembu tenusu boleh diusahakan secara intensif dan tidak memerlukan kawasan tanah yang luas. Penternakan ayam dan khinzir yang sediada boleh bertahan dengan mematuhi piawaian kawalan pencemaran alam.
(h) Membangunkan ternakan ikan di laut lepas dengan mengguna kaedah ternakan dalam sangkar. Beberapa kajian tertentu serta percubaan ternakan ikan dalam sangkar di laut lepas sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perikanan. Kejayaan kajian ini akan memberi peluang untuk pelaburan serta pengeluaran ikan secara skala yang lebih besar. Menggalakkan ternakan ikan di kawasan perparitan di ladang-ladang kelapa dan kelapa sawit, saluran perairan umum dan di dalam sawah padi.
(i) Menggalakkan penggunaan kaedah sangkar terapong dan ternakan dalam kandang di perairan umum seperti di tasik-tasik serta menggiatkan pelepasan ikan dan udang di kawasan-kawasan pantai yang mempunyai ekosistem yang sesuai seperti di kawasan paya bakau serta di empangan-empangan dan sungai-sungai.
(j) Perlindungan sumber perairan marin juga dipergiatkan agar sumber-sumber ikan dapat dibaikpulih dan dipelihara melalui penguatkuasaan yang lebih ketat.