MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Batu Lancang (Puan Chong Eng) bertanya kepada Ketua Menteri: 34. Apakah usaha yang telah dilaksanakan untuk menjayakan “visit Penang year 1999”?
Dun -
Exco DATO' KEE PHAIK CHEEN
Perkara Pelancongan

Jawapan


DATO' KEE PHAIK CHEEN

34. Untuk menjayakan Tahun Melawat Pulau Pinang 1999 (TMPP ‘99) Jawatankuasa Pelancongan Negeri telah mengadakan kempen kesedaran serta publisiti yang meluas. Ia bermula dengan Perasmian Program Publisiti TMPP ‘99 yang telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Sabaruddin Chik, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Seterusnya, satu majlis pelancaran akan diadakan di dalam bulan Julai 1998 untuk mempromosikan program terperinci bagi TMPP ‘99.

Selain daripada program publisiti, Jawatankuasa Pelancongan Negeri serta pihak swasta seperti Persatuan Hotel Antarabangsa Pulau Pinang (PIHA) telah menyebarkan maklumat mengenai TMPP ‘99 diekspo dan konvensyen antarabangsa yang telah disertai sepanjang tahun 1998 seperti acara ITB (International Tourism Exchange) di Berlin, EIBTME (European Incentive and Business Travel and Meeting Exhibition) di Geneva dan Misi Pelancongan di London.

Selain itu program promosi yang telah dijadualkan untuk melaksanakan “Visit Penang Year 1999” ialah:-

(a) Promosi Makanan dan Kesenian Pulau Pinang sempena `Singapore International Food Festival’ bulan Julai 1998. Promosi ini melibatkan juga Seminar Galakkan Pelancongan Pulau Pinang.

(b) Promosi Makanan dan Kesenian Pulau Pinang sempena Pesta Malaysia 1998. Tempat promosi ialah di Mines Shopping Wonderland & Mines Beach Resort, Kuala Lumpur pada bulan September 1998.

(c) Promosi “Visit Penang Year 1999” sempena program `Incentive Travel & Conference Meeting Association’ (IT & CMA) di PWTC, Kuala Lumpur pada Oktober 1998.

(d) Promosi Makanan dan Kesenian Pulau Pinang di Bangkok, Thailand melibatkan juga Seminar Galakkan Pelancongan Pulau Pinang.

(e) Promosi melalui internet dengan pengujudan satu Laman Web ‘Website’ “Visit Penang Year 1999”. Laman Web ini akan diwujudkan dengan kerjasama pihak kerajaan dan swasta seperti MTPB, MAS dan hotel-hotel di Pulau Pinang. Ia bertujuan untuk memaparkan satu kombinasi maklumat yang interaktif yang menggunakan berbagai teknik audio visual seperti video, animasi dan lain-lain.

Ia akan mengandungi informasi terkini mengenai promosi-promosi menarik, acara-acara, insentif dan kemudahan untuk menempah pakej pelancongan ke Pulau Pinang.

Jawatankuasa Pelancongan Negeri bekerjasama erat dengan pihak Persatuan Agensi-agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) untuk menyediakan beberapa pakej pelancongan yang tertentu seperti:

(a) Pakej pelancongan yang mengetengahkan keunikan Negeri Pulau Pinang seperti pakej percutian yang bertemakan warisan, makanan, membeli-belah dan sebagainya.

(b) Pakej pelancongan yang bertemakan acara-acara pelancongan seperti Karnival Membeli-belah, Pesta Makanan dan lain-lain.

(c) Pakej Pelancongan yang dianjurkan oleh beberapa syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di Pulau Pinang seperti Malaysia Airlines, Singapore Airlines dan lain-lain.

(d) Pakej `Homestay’ (di Kampong Mengkuang Titi dan Pulau Aman).

(e) Pakej `Golf’

(f) Pakej `Berbulan Madu/Perkahwinan’

(g) Pakej `Durian’ (Mengikut Musim)

(h) Pakej `Alam Semulajadi ‘Nature’ - Kawasan Teluk Bahang/Pantai Aceh/Kebun Bunga.

(i) Pakej `Reunion Keluarga’

(j) Pakej `Acara/Sambutan’ - Thaipusam/Penang International Dragon Boat Festival/Penang International Bridge Run/Muhibbah.

Sebanyak 8 ahli Persatuan agensi Pelancongan Pulau Pinang akan mempromosikan dan memasarkan pakej-pakej tersebut di atas untuk pelancongan dalam dan luar negeri.

Jawatankuasa Pelancongan Negeri dengan kerjasama Agensi-agensi Kerajaan juga berusaha untuk mempertingkatkan lagi kemudahan-kemudahan pelancongan yang terdapat di negeri ini seperti memperbaiki dan menyediakan papan-papan tanda yang mengandungi maklumat penting, papan penunjuk arah, dan memperbaiki keadaan tandas awam, tempat letak kereta dan lain-lain lagi.


Kembali