MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Datok Keramat (Y.B. Encik Lim Boo Chang) bertanya kepada Ketua Menteri: 2. Berapakah jumlah liabiliti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan siapakah pemiutangnya sehingga Disember 1998? Sila beri butir-butir.
Dun -
Exco Y.A.B. KETUA MENTERI
Perkara -

Jawapan

Ketua Menteri:

2. Jumlah liabiliti PDC sehingga 31 Disember 1998 adalah sebanyak RM94.55 juta. Sebahagian besar liabiliti ini terdiri dari pinjaman-pinjaman dan overdraf bank serta pembayaran tertangguh kepada kontraktor-kontraktor bagi projek-projek pembangunan PDC yang sedang dijalankan. Butir-butir adalah seperti yang dilampirkan.

Jumlah liabiliti ini merupakan jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan jumlah harta PDC yang dinilai pada kadar kos (value at cost) yang berjumlah melebihi RM1,170 juta. Peratusan ini hanyalah sebanyak 8.08% sahaja.

PDC tidak ada apa-apa masalah langsung bagi melangsaikan liabiliti-liabiliti tersebut. Institusi-institusi kewangan kini masih berlumba-lumba untuk menjadikan PDC di dalam poftfolio pinjaman mereka. Semua institusi kewangan berpendapat PDC sebagai salah sebuah organisasi yang terunggul dan berkeyakinan penuh terhadap perlaksanaan projek-projek pembangunan Negeri Pulau Pinang selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Oleh kerana keyakinan penuh institusi-institusi kewangan ini terhadap PDC, syarat-syarat pinjamannya lebih menguntungkan PDC jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan kepada organisasi atau syarikat swasta lain. Kadar faedah adalah kecil iaitu 0.5% melebihi kos dana. Jika dibandingkan kos dana yang diberikan kepada PDC dan kadar pinjaman asas (base lending rate), kos dana adalah lebih murah. Di samping itu, PDC tidak perlu mengadaikan hartanya kepada institusi kewangan sebagai cagaran.

Dalam masa kegawatan ekonomi ini, PDC memang tidak dapat mengelakkan tekanan aliran tunai, seperti syarikat-syarikat hartanah yang lain. Pasaran dingin ini telah mengakibatkan penjualan perumahan dan ruang komersial serta tanah industri menurun secara mendadaknya. Akan tetapi, sebagai agensi yang bertanggungjawab, PDC terus melaksanakan projek-projek pembangunan yang

telah dirancangkan dan dilancarkan sebelum tercetusnya kegawatan ini dan tidak membiarkannya terbengkalai. Dengan berbuat demikian PDC tetap menanggung kos pembangunan dan oleh itu beban aliran tunai yang ketat ini telah juga menyumbang kepada liabiliti tersebut.

Sebagai menurut kehendak Piawaian Perakaunan Antarabangsa (International Accounting Standards) PDC juga membuat peruntukan sebanyak RM93.5 juta bagi pembiayaan untuk projek-projek yang akan dibayar pada tahun yang akan datang (iaitu tahun 1999 ini) di dalam akaun bagi tahun 1998.

Oleh itu, bolehlah dirumuskan bahawa masalah yang dihadapi oleh PDC mulai tahun 1998 merupakan masalah aliran tunai (cash flow problem) kerana hasil yang dijangka dari projek-projek pembangunan tidak dapat diperolehi akibat kegawatan ekonomi.

Tahun 1998 juga merupakan tahun pertamanya dalam tahun 90-an dimana PDC mengalami kerugian sebanyak RM10 juta (mengikut akaun yang sedang diaudit), pada hal PDC telah mencatat keuntungan bagi tiap-tiap tahun dalam tempoh 1990 hingga 1997.

Dalam konteks ini, selain daripada meneruskan amalan jimat-cermat, PDC telah mengambil berbagai langkah untuk memperkukuhkan keadaan kewangan seperti:-

(i) mengurangkan harga rumah, ruang komersial, dan kilang IKS.

(ii) melonggarkan syarat-syarat pembayaran bagi pembeli dan membantu pembeli mendapatkan pinjaman bank.

(iii) mempergiatkan promosi penjualan hartanah yang telah dibangunkan.

(iv) menangguhkan projek-projek baru yang telah dirancang tetapi belum dilancarkan.

Walau bagaimanapun, dengan langkah-langkah pemulihan yang sedang diambil oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, adalah dijangka keadaan pasaran akan dapat kian pulih mulai tahun ini dan selama dua atau tiga tahun akan datang. Dengan demikian, keadaan kewangan PDC juga dijangka akan pulih.

Kembali