Jawapan
Ketua Menteri:
29. Dato’ Speaker, Penyakit Japanese Encephalitis adalah endemik di negara-negara Asia dan kejadian adalah antara 10 –100 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Penyakit berlaku secara sporadik sepanjang tahun di seluruh negara. Di Negeri Pulau Pinang dalam tempoh 5 tahun yang lalu penyakit Japanese Encephalitis dilaporkan pada kadar yang rendah iaitu 4 kes dalam tahun 1994 dan 1995, satu kes dalam tahun 1996, 2 kes dalam tahun 1997 dan 1 kes dalam tahun 1998.
Secara klinikal virus JE tidak menyebabkan penyakit yang serius pada haiwan khinzir tetapi khinzir itu akan bertindak sebagai multiplier host kepada virus ini. Penyakit berjangkit kepada manusia melalui jangkitan virus yang dibawa oleh nyamuk Culex yang menggigit manusia selepas menggigit khinzir yang dijangkiti oleh virus.
Virus Nipah pula merupakan sejenis virus yang baru dikenalpasti yang mempunyai ciri-ciri serupa Hendra-like. Penyakit berjangkit kepada manusia melalui kontek langsung (direct contact) dengan haiwan khinzir yang berjangkit dan cairan tubuh haiwan khinzir. Tidak seperti Virus JE, virus Nipah membawa penyakit yang serius kepada haiwan dan manusia. Akibat daripada jangkitan 2 jenis virus ini, sejumlah 100 orang dari Negeri Perak dan Negeri Sembilan telah meninggal.
Bilangan kes JE yang dilaporkan di Pulau Pinang pada tahun ini setakat ini adalah 4 iaitu satu kes masing-masing di Daerah Timur Laut (DTL), Daerah Barat Daya (DBD), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS). Kecuali bagi seorang budak yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang, tiga pesakit yang lain telah sembuh dan keluar daripada hospital. Tiada kes jangkitan virus Nipah yang dilaporkan di Negeri Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri telah menubuh Jawatankuasa Penyelarasan Kawalan Penyakit JE yang dipengerusikan oleh saya sejak 16 Januari 1999. Seterusnya apabila penyakit mulai merebak di beberapa kawasan di Negeri Sembilan dan Perak, satu Pasukan Petugas Khas Pencegahan dan Kawalan Penyakit JE telah ditubuhkan pada 22 Mac 1999 yang dipengerusikan sendiri oleh Y.A.B. Tan Sri Ketua Menteri dan dianggotai oleh tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, kedua-dua Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan Jabatan-Jabatan berkenaan. Jawatankuasa telah bermesyuarat 8 kali sejak penubuhannya. Semua daerah telah juga menubuhkan Jawatankuasa Khas di peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah masing-masing. Bilik Operasi JE Negeri telah dibuka dan beroperasi mulai 23 Mac 1999.
Pasukan Petugas Khas ini telah menggariskan strategi multi-prong bagi mencegah dan membendung penyakit ini walaupun wabak JE tidak berlaku di Pulau Pinang. Antara langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut:
(i) Merancang dan membuat persiapan bagi singkiran dan pelupusan khinzir secara sistematik (systematic culling), jika perlu. Bagi tujuan ini Jawatankuasa Petugas Khas Singkiran dan Pelupusan Khinzir Peringkat Negeri dan Daerah telah ditubuhkan. Tidak ada khinzir yang telah dimusnahkan akibat jangkitan penyakit JE. Walau bagaimanapun sebanyak 50 ekor khinzir telah dilupuskan secara pembakaran di Kampung Selamat, SPU dalam satu latihan pelupusan khinzir pada 3 April 1999 oleh Pasukan Petugas Khas.
(ii) Kerajaan Negeri telah mewartakan Perintah Haiwan (Kawalan Penyakit Viral Encephalitis) 1999 bagi tujuan melarang pemindahan keluar masuk binatang-binatang dari dan ke Pulau Pinang. Sekatan jalan (road blocks) telah dipertingkatkan di sempadan negeri. Pergerakan khinzir di dalam negeri hanya dibenarkan untuk tujuan disembelih sahaja sementara pergerakan di antara ladang adalah dilarang. Penyembelihan khinzir hanya dibenarkan di rumah sembelih berlesen.
(iii) Para penternak dan golongan berisiko telah diberi pendidikan kesihatan melalui ceramah, dailog, perbincangan dan edaran risalah. Sehingga 4 Mei 1999, 35402 risalah/poster mengenai JE dan 11492 mengenai Virus Hendra-like telah diedarkan. 2531 sesi ceramah/ dialog/perbincangan telah diadakan melibatkan penternak, pekerja ladang, pemandu dan atendan lori, pekerja rumah sembelih, penduduk di sekitar kawasan berisiko dan lain-lain.Mereka dinasihatkan supaya menjauhkan diri dari gigitan nyamuk seperti menggunakan ubat nyamuk, tidur di dalam kelambu, memakai pakaian yang berlengan panjang semasa bekerja di ladang dan mengambil tindakan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan jentik-jentik nyamuk.
(iv) Bagi mempergiatkan aktiviti kawalan populasi nyamuk, Kerajaan Negeri telah membeli dan meminjamkan sebanyak 20 unit mesin kabus kepada Persatuan Penternak Khinzir untuk kegunaan di semua daerah, selain mesin kabus yang sedia ada di Jabatan Kesihatan dan Majlis
Perbandaran. Aktiviti pengasapan telah ditingkatkan dan diarahkan dibuat sekali seminggu di ladang-ladang dan persekitarannya. Pasukan semburan telahpun ditubuhkan di beberapa ladang khinzir. Sehingga 4 Mei 1999 sejumlah 42645 rumah dan 1573 ladang telah disembur kabus.
(v) Para penternak dan penduduk yang berisiko telah juga diingatkan supaya menjaga kebersihan kandang dan kawasan persekitaran untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Culex dan dinasihatkan mendapat suntikan vaksin pencegahan JE. Sehingga 4 Mei 1999, sejumlah 14961 penduduk telah diberi suntikan vaksin JE.
(vi) Semua hospital juga diminta meningkatkan kewaspadaan terhadap kejadian penyakit JE dan jangkitan virus Hendra/virus Nipah dan melaporkan sebarang kes dalam masa 24 jam.
(vii) Rumah-rumah sembelih tanpa lesen telah diarah ditutup dan tindakan kompaun telah diambil terhadap yang masih beroperasi.
Jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan setakat 5 Mei 1999 bagi mengatasi wabak JE ini adalah dalam lingkungan RM 1,409,182.
Dengan adanya ancaman virus Nipah, satu Program Kawalan Penyakit Virus Nipah di kalangan khinzir telah berjalan mulai 26 April 1999 di mana sampel-sampel darah dari semua ladang khinzir telah dan akan diambil untuk ujian serologi. Setakat 4 Mei 1999 sebanyak 1248 sampel darah dari 85 buah ladang telah diambil. Keputusan belum diterima.
Sampel-sampel darah yang diambil dari kuda-kuda di Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang, Kelab Polo Pulau Pinang dan tuan-tuan punya kuda tunggangan telah didapati negatif. Kuda-kuda tunggangan juga adalah sihat dan tidak dijangkiti virus Nipah. Kuda-kuda dari negeri lain juga telah diuji dan hanya kuda-kuda yang negatif terhadap virus Nipah sahaja yang dibenarkan berlumba. Semua kuda tersebut telah disuntik vaksin pencegahan penyakit JE.
Setakat ini belum ada tanda-tanda jangkitan wabak penyakit JE atau virus Nipah di kalangan binatang-binatang seperti kelawar, kambing, lembu, kucing dan anjing di Pulau Pinang. Sungguhpun demikian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah meneruskan kerja-kerja memantau kematian luar biasa di kalangan semua jenis binatang dan jika perlu membuat pemeriksaan secara lebih lengkap.
Sebagai langkah berjaga-jaga para penternak dan pengendali khinzir, sama ada di ladang atau di rumah sembelih dinasihati menghindari kontek langsung dengan haiwan khinzir dan cairan tubuh haiwan khinzir dengan menggunakan peralatan dan pakaian perlindungan seperti sarung tangan, kasut getah, goggles, penutup hidung dan apron bagi mencegah jangkitan virus Nipah.
Walaupun tiada wabak JE atau Virus Nipah di Pulau Pinang namun kebimbangan di kalangan rakyat telah menjejaskan permintaan daging khinzir dan penjajaan kecil yang berkaitan. Y.A.B. Ketua Menteri sendiri telah mengadakan beberapa perbincangan dengan para penternak dan antara strategi-strategi yang diambil untuk membantu mereka ialah Program Simpanan Beku (deep freezing), penerangan awam tentang kebersihan daging dan sokongan promosi untuk meningkatkan penggunaan dan pemasaran daging khinzir. Pihak Berkuasa Tempatan juga telah memberi kebenaran bersyarat kepada penternak-penternak untuk menjual daging terus/secara lelong kepada orang ramai. Kebenaran ini dipercayai dapat membantu penternak mengurangkan bilangan khinzir di ladang dan memberi punca pendapatan untuk meringankan keadaan kewangan para penternak terutamanya yang terlibat 100% dengan eksport.
Mengenai dasar ternakan khinzir yang disoalkan oleh Y.B. ADUN Datok Keramat, secara ringkas boleh saya katakan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Negeri akan mengkaji pembangunan Kawasan Penternakan Khinzir (Pig Farming Areas) yang baru atau secara insitu di beberapa kawasan tumpuan penternakan khinzir sedia ada. Strategi dan garis panduan untuk membuat demikian akan digubal berdasarkan kepada pengalaman insiden JE baru-baru ini.
Untuk makluman Dewan ini, dalam kawasan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), terdapat 76 ladang khinzir yang berlesen dan 12 tidak mempunyai lesen. Bilangan ladang yang berlesen di Seberang Perai adalah 248 dan yang tidak berlesen 8. Mengikut statistik terkini bilangan ladang sebenarnya telah menurun dengan sendirinya dalam 8 tahun kebelakangan ini, daripada hampir-hampir 1187 ladang pada tahun 1990 kepada 324 sekarang. Antara sebab-sebab ialah:
(a) Hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat harga tanah telah banyak meningkat dan menjadikan aktiviti penternakan tidak begitu lumayan berbanding dengan pembangunan hartanah atau aktiviti ekonomi lain.
(b) Generasi muda lebih mirip kepada pekerjaan di sektor moden seperti kilang dan syarikat dan tidak begitu berminat dengan aktiviti penternakan.
(c) Penguatkuasaan syarat-syarat yang lebih ketat terhadap kawalan pencemaran telah meningkatkan kos penternakan dan menggalakkan para penternak di ladang-ladang kecil mengalih kepada pekerjaan lain.
Oleh itu strategi yang mungkin dilaksanakan di Negeri ini ialah untuk terus menggalakkan para penternak ladang-ladang kecil yang bertaburan untuk menukar pekerjaan mereka dan menukar penggunaan tanah kepada aktiviti ekonomi yang lebih lumayan dan menarik. Bagi ladang-ladang besar yang berlesen pula, usaha kawalan dan pencegahan pencemaran akan diteruskan. Sebenarnya pada masa sekarang, 2 projek perintis telah dijalankan di bawah anjuran Kerajaan Denmark secara kerjasama dengan Kerajaan Malaysia untuk mengurangkan dan memproses sisa cecair dalam ladang ternakan khinzir.
Sasaran muktamad adalah untuk mencapai tahap yang amat rendah, dan kalau boleh zero discharge iaitu sasaran tidak ada pengeluaran sisa langsung ke dalam sistem pengairan. Sekiranya percubaan didapati berkesan ianya akan diperkenalkan dan dilaksana di kawasan-kawasan penternakan khinzir. Dengan kaedah tersebut industri khinzir di Pulau Pinang akan lebih tersusun dan lebih berkesan menangani masalah pencemaran alam sekitar.