MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Ahli Kawasan Batu Lanchang (Y.B. Puan Chong Eng) bertanya kepada Ketua Menteri: 10. Apakah kedudukan terkini projek Jelutong Expressway? Adakah EIAnya telah diluluskan?
Dun -
Exco YAB KETUA MENTERI
Perkara Pembangunan

Jawapan

Ketua Menteri:

10. Kerja-kerja fizikal Projek Lebuhraya Jelutong (JEWay) sebenarnya telah dimulakan sejak penghujung tahun 1977. Setakat ini pembinaan 140 unit rumah peralihan untuk penempatan sementara para penghuni dan pekedai yang terlibat siap pada bulan September tahun 1998. Kerja tanah permulaan preliminary earth work telah juga dilaksanakan. Sebanyak RM9 juta telah dibelanjakan oleh syarikat konsesi yang berkenaan iaitu Jelutong Development Sdn. Bhd. (JDSB) untuk kerja-kerja fizikal tersebut. Kerja pewmbinaan lebuhraya dijangka akan bermula pada bulan depan.

Oleh kerana kegawatan ekonomi, JDSB telah mengemukakan satu cadangan penjadualan semula program pelaksanaan projek JEWay. Cadangannya ialah untuk melaksanakan dahulu Fasa Pertama iaitu pembinaan lebuhraya menyambung persimpangan Udini ke persimpangan Jalan Sungai Pinang di paras tanah at grade sepanjang 3.163 kilometer.

Fasa ini memerlukan belanjawan sebanyak RM100 juta dan dijangka siap pada penghujung tahun 2001. Dengan perlaksanan Fasa 1 ini, kesesakan lalulintas di Jalan Jelutong dan Jalan Masjid Negeri dijangka akan dapat dikurangkan.

Fasa kedua pula melibatkan pembinaan segmen lebuhraya yang baki sepanjang 1.6 kilometer dari persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Pengkalan Weld, dengan anggaran belanjawan RM70 juta. Ianya dijangka siap pada tahun 2004.

Fasa ketiga melibatkan kerja-kerja yang baki bagi sepanjang lebuhraya itu untuk melebarkannya kepada 6 laluan serta membina beberapa jejambat atau fly-over secara lengkap. Fasa ini akan dilaksanakan selepas tahun 2004, selaras dengan jadual pelaksanaan persimpangan di antara jalan lingkaran luar Pulau Pinang dan Lebuhraya Jelutong.

Oleh kerna penjadualan semula program pelaksanaan, satu perjanjian tambahan supplementary agreement diantara Kerajaan Negeri dan JDSB perlu ditandatangani.

Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri secaa prinsipnya tidak ada halangan terhadap cadangan penjadualan semula ini. Jawatankuasa Pemandu Projek Lebuhraya Jelutong sedang mengadakan perbincangan dengan JDSB berkaitan cadangan penjadualan semula tersebut. Perkara ini dijangka selesai tidak lama lagi. EIA telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 13 April, 1998.





Kembali