Jawapan
Ketua Menteri:
6. Tarikh yang dicadangkan untuk pengambilalihan pengurusan perkhidmatan sisa pepejal secara interim oleh Northern Waste Industries (NWI) ialah pada 1 Ogos 1999. Dalam tempoh interim bayaran perkhidmatan akan dijelaskan oleh Majlis Perbandaran dan caj akan hanya dikenakan terus kepada pengguna apabila penswastaan dilaksanakan sepenuhnya. Sepertimana dengan penswastaan lain, pekerja-pekerja MPPP/MPSP diberi opsyen sama ada untuk menyertai syarikat atau untuk bersara atau menamatkan perkhidmatan. Mereka yang memasuki syarikat pula diberi opsyen memilih sama ada Skim A di mana pekerja akan menikmati syarat-syarat perkhidmatan, gaji dan kemudahan serta peluang kenaikan pangkat sama seperti yang terpakai dalam sektor awam (Kerajaan) atau Skim B di mana pekerja ditawarkan gaji dan syarat perkhidmatan syarikat. Prinsip penyerapan ialah prinsip `tidak kurang baik’ (no less favourable) yang bermaksud bahawa terma-terma yang ditawarkan secara keseluruhan tidak kurang baik berbanding dengan apa yang pernah diterima oleh anggota semasa dalam sektor awam. Sebagai contoh formula pemindahan gaji ialah (Gaji Pokok + Imbuhan Tetap) x 1.175 + satu pergerakan gaji mendatar yang kemudiannya akan diselaraskan kepada matagaji yang sama atau lebih tinggi berhampiran di atas tanggagaji syarikat. Faedah-faedah lain termasuk faedah perubatan, polisi insuran kemalangan kumpulan, pakaian seragam, pelbagai jenis cuti (cuti tahunan, cuti bersalin, cuti isteri bersalin, cuti sakit, cuti haji, cuti masuk peperiksaan, cuti kahwin dan lain-lain) pinjaman kenderaan/perumahan/ komputer/pelajaran, bonus (atas budibicara syarikat dan berdasarkan prestasi syarikat dan individu) dan lain-lain.