MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Soalan Lisan oleh Y.B. Encik Lim Gim Soon : 68. Y.A.B. Ketua Menteri mengatakan dalam akhbar-akhbar tempatan tentang fenomena La Nina yang akan mengakibatkan banjir dan menasihatkan supaya menyimpan barang-barang keperluan. Adakah Y.A.B. Ketua Menteri sedar bahawa kenyataan ini telah menyebabkan kehabisan barang-barang keperluan harian dan kenaikan harga? Adakah benar fenomena La Nina ini akan mengakibatkan banjir buruk di Negeri Pulau Pinang? Bilakah dijangka fenomena ini akan berlaku? Apakah nasihat yang perlu diberi kepada rakyat Pulau Pinang? Apakah langkah yang telah diambil untuk memastikan barang-barang keperluan harian tidak berkurangan? Apakah tindakan pihak MPPP untuk membantu mengatasi masalah banjir di kawasan Georgetown? Sila beri penjelasan lanjut?
Dun -
Exco YB. TIMBALAN KETUA MENTERI
Perkara Bencana Alam

Jawapan

YB. Timbalan Ketua Menteri menjawab bagi pihak YAB. Ketua Menteri :

68. Rantau Asia Tenggara sedang mengalami kesan keadaan La Nina lemah. Impak fenomena ini telah mengakibatkan hujan lebih purata di beberapa tempat di Asia Tenggara sejak penghujung Oktober ini. Peristiwa hujan lebat berlaku di Pulau Pinang dan Kedah pada 15-16 November 1998 ini ada kaitan dengannya. Jabatan Perkhidmatan Kajicuaca Malaysia sedang memantau keadaan cuaca secara berterusan di seluruh negara kita dan akan mengeluarkan sebarang nasihat atau amaran bila ada tanda-tanda menunjukkan hujan lebat akan berlaku. Fenomena ini sedang memberi kesan ke atas cuaca negara kita dan dijangka berterusan sehingga Mac 1999. Rakyat Pulau Pinang hendaklah dinasihati agar tidak panik dan bertindak secara keterlaluan dengan membeli bahan makanan secara berlebihan. Kerajaan Negeri juga telah menggerakkan semua mekanisma yang ada terutama Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri dan Daerah bagi mengambil langkah-langkah perlu dan lebih serius dalam membuat persediaan menghadapi bencana. Semua agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, MPPP dan MPSP telah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan kesan La Nina. Rakyat juga perlu dinasihatkan untuk meneruskan usaha-usaha murni melalui gotong royong dan sebagainya bagi membersihkan kawasan, parit dan lain-lain saliran.

Semasa bencana, rakyat adalah diminta untuk senantiasa mengikuti siaran radio dan TV atau lain-lain sebaran am mengenai amaran bencana. Mereka hendaklah mematuhi setiap arahan termasuk arahan berpindah dari pihak berkuasa. Orang ramai adalah juga diminta untuk menghubungi Balai Polis/Pondok Polis yang berhampiran untuk melaporkan sebarang kejadian bencana bagi mendapat bantuan. Pihak Polis seterusnya akan menghubungi agensi yang berkenaan untuk memberi bantuan.

Dalam menghadapi musim tengkujuh dan Fenomena La Nina Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telahpun menyediakan satu pelan kontinjensi bagi menentukan bekalan barang-barang perlu mencukupi, mudah diperolehi dengan harga yang munasabah. Di antara tindakan-tindakan yang telah, sedang dan akan dilakukan berdasarkan pelan kontinjensi ini ialah :

(a) mengenalpasti kawasan-kawasan yang dijangka akan dilanda banjir;

(b) mendapatkan dan menyelenggara maklumat-maklumat mengenai jumlah penduduk dan anggaran keperluan harian barang-barang perlu;

(c) mengumpul dan mengemaskinikan daftar pembekal/pemborong barang-barang perlu mengikut kawasan bagi negeri Pulau Pinang ;

(d) mengenalpasti pembekal/pemborong untuk dilantik sebagai pemegang stok mini barang-barang perlu bagi menentukan bekalan ke kawasan yang dijangka terlibat mencukupi ;

(e) mengarahkan pemegang stok mini menyimpan stok bekalan barang-barang perlu melebihi daripada had biasa yang dibenarkan ;

(f) menjalankan dan mempergiatkan lagi pemeriksaan fizikal ke atas premis-premis perniagaan untuk menentukan bekalan barang-barang perlu adalah mencukupi dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan mencari keuntungan berlebihan;

(g) melengkapkan Bilik Gerakan bagi memantau kedudukan bekalan dan bersiap sedia untuk digerakkan apabila diarahkan ; dan

(h) bekerjasama dan menentukan Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapat bekalan barang-barang perlu bagi keperluan di pusat-pusat pemindahan mangsa banjir.

Dari pemantauan dan pemeriksaan fizikal yang dijalankan didapati bekalan barang-barang perlu adalah mencukupi dan harganya adalah berpatutan. Walau bagaimanapun Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Negeri Pulau Pinang akan terus menjalankan pemeriksaan untuk menentukan tidak ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengekploitasi keadaan bagi keuntungan yang berlebihan seperti menaikkan harga barang, sorok dan sebagainya.

Dalam hubungan ini, Bahagian Penguatkuasa mengalu-alukan aduan daripada semua pihak jika mempunyai maklumat atau mengesyaki mana-mana pihak menyorok barang-barang perlu atau melakukan apa-apa penyelewengan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan. Aduan-aduan bolehlah dibuat melalui telefon nombor 04-2616167/2616168 dalam waktu pejabat atau faks nombor 04-2638877.

MPPP telah mengambil beberapa tindakan untuk membantu mengatasi masalah banjir di Georgetown seperti berikut :

(i) menjalankan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang dengan lebih giat lagi supaya tidak berlaku kesumbatan dan memastikan pengaliran air di semua parit dan longkang berjalan dengan lancar;

(ii) mengerapkan pemeriksaan ke atas semua parit dan longkang;

(iii) mengawal dan memastikan Rumah Pam Prangin berjalan dengan baik;

(iv) membuang semua sampah sarap yang dikumpulkan dari Rumah Pam Prangin dan juga yang dikeluarkan dari parit dan longkang dengan secepat mungkin;

(v) menasihatkan orang awam supaya tidak membuang sampah ke dalam longkang-longkang dan mempertingkatkan lagi tindakan penguatkuasaan, dan

(vi) akibat dari semua ini, sebahagian Georgetown terutamanya yang diberi perkhidmatan oleh Parit Prangin, tidak lagi banjir walaupun hujan lebat baru-baru ini.

Parit dan sungai sedia ada telah direkabentuk bagi menampung air hujan yang turun dalam keadaan biasa. Jika fenomena La Nina membawa hujan dengan kelebatan yang luarbiasa, ini akan mengakibatkan parit dan sungai tidak dapat menampung lebihan air tersebut dan akan mengakibatkan banjir. Samada mengakibatkan banjir buruk atau tidak adalah bergantung kepada banyaknya hujan yang akan turun.

Kembali