MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Soalan Lisan oleh Y.B. Encik Lim Gim Soon : 90. Apakah syarat yang ditetapkan kepada pemilik-pemilik amphitheatre dan pusat makanan di negeri ini? Apakah tindakan akan diambil sekiranya peniaga-peniaga tersebut melanggar peraturan? Adakah pihak Kerajaan sedar bahawa beberapa buah kedai perniagaan tersebut di KADUN Kampong Kolam telah menggangu ketenteraman penduduk dan kawasan berkenaan? Apakah tindakan yang akan diambil untuk mengatasi masalah ini?
Dun -
Exco YAB. KETUA MENTERI
Perkara Kerajaan Tempatan

Jawapan

Jawapan oleh YAB. Ketua Menteri:

90. Operasi amphitheatre dan pusat makanan di mana nyanyian/hiburan disediakan adalah tertakluk kepada Enakmen Panggung-panggung Wayang dan Tempat Hiburan Awam 1958. Operator perlu mendapatkan lesen hiburan daripada Pejabat Daerah. Di samping itu premis adalah tertakluk kepada Undang-undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan. Lesen akan hanya dikeluarkan selepas semua syarat Jabatan-jabatan Teknikal dipatuhi. Secara umum, pengeluaran lesen hiburan mensyaratkan antara lain masa operasi, sekatan umur, keselamatan dan kebersihan tempat, pameran lesen, operasi hendaklah tidak mengganggu keamanan dan ketenteraman kawasan sekitar, mengelakkan kekacauan awam dan tidak mengadakan pertunjukan yang merbahaya, tidak bermoral atau lucah. Sekiranya pelesen melanggar syarat-syarat lesen, tindakan saman akan diambil oleh pihak polis di bawah Seksyen 10 Enakmen Panggung-panggung Wayang dan Tempat-tempat Hiburan Awam.

Kerajaan sedar bahawa aduan telah dibuat melalui Yang Berhormat Ahli Kampung Kolam terhadap pusat hiburan VOR dan Amazonz yang dikatakan bising dan mengganggu penduduk-penduduk setempat. Untuk makluman, sepanjang tahun ini 3 saman telah dikeluarkan terhadap VOR kerana melebihi masa operasi yang ditetapkan dan 9 saman dikeluarkan terhadap Amazonz kerana tidak mempunyai lesen hiburan awam yang sah. Pegawai Daerah, Daerah Timur Laut, telah juga berjumpa dengan pihak pengurusan VOR dan 3 surat amaran di keluarkan. Jika surat amaran tidak diendahkan, Pegawai Daerah boleh membatalkan lesen hiburan awamnya di bawah Seksyen 5 Enakmen Panggung-panggung Wayang dan Tempat Hiburan Awam 1958. Dalam perjumpaan khas yang diadakan baru-baru ini pihak pengurusan VOR dan Amazonz telah bersetuju melaksanakan langkah-langkah berikut:-

a) Langkah jangka pendek - mengurangkan paras bunyi muzik terutamanya bunyi bass.

b) Langkah jangka panjang - mengalisbunyikan (soundproof) premis terutamanya bahagian siling dan bumbung untuk mengurangkan gangguan bunyi muzik.

Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini. Kaedah-kaedah pentadbiran berkenaan sedang dimuktamadkan dan apabila Enakmen baru dikuatkuasakan kelak, pusat-pusat hiburan akan dapat diawasi dengan lebih berkesan kerana melibatkan denda sebanyak RM20,000.00.

Kembali