Jawapan
YB. Dato' Koay Kar Huah menjawab bagi pihak YAB. Ketua Menteri:
6. (a) PISA merupakan sebuah stadium tertutup yang bertaraf antarabangsa kerana keupayaannya digunakan untuk pertandingan sukan bertaraf antarabangsa. PISA direkabentuk sebagai sebuah stadium tertutup pelbagai kegunaan atau multi - purpose yang boleh digunakan untuk tujuan sukan, jamuan, hiburan dan sebagainya. Bagi menganjurkan sesuatu sukan bertaraf antarabangsa, kemudahan dan kelengkapannya perlu memenuhi syarat dan kehendak badan antarabangsa berkenaan. Oleh itu, PISA tidak boleh dibina sedemikian rupa bagi satu-satu pertandingan sukan saja kerana kehendak yang berlainan oleh badan-badan sukan yang berlainan. Oleh itu, setiap pertandingan sukan antarabangsa yang hendak dianjurkan di PISA, pemasangan lantai dan alat-alatan perlu dibuat bagi membolehkan ianya digunakan sebagai memenuhi syarat dan kehendak badan sukan berkenaan. Konsep ini membolehkan PISA digunakan untuk banyak acara sukan dan tidak terhad kepada satu-satu sukan seperti Stadium Badminton Cheras, Pusat Squash Nasional dan sebagainya.
(b) Jumlah Kos pembinaan PISA ialah RM100,230,607.03, termasuk stadium tertutup, kompleks berenang dan kompleks meletak kereta. Majlis Perbandaran Pulau Pinang melantik perunding-perunding untuk mereka bentuk dan melaksanakan projek ini. Jumlah bayaran yang telah dibuat kepada perunding setakat 20 November, 1998 ialah RM9,430,037.71.
(c) Bagi penganjuran sesuatu sukan, badan penganjur sukan berkenaan dikehendaki menanggung kos kelengkapan tambahan. MPPP bagaimanapun akan melengkapkan PISA bagi kegunaan SUKMA 2000 bagi pertandingan bola keranjang dan renang.
(d) PISA telah disiapkan mengikut reka bentuk. Bagaimanapun, untuk projek sebesar ini, masih terdapat beberapa kerosakan dan masalah mutu hasil kerja yang kini sedang dibaiki oleh kontraktor di dalam tempoh kecacatan. PISA dirancang dan dibina oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang bagi menyediakan kemudahan sukan yang bertaraf antarabangsa di Pulau Pinang dan kehendak ini telah dicapai. Ianya digunakan dengan baiknya oleh orang ramai.
Setakat 19 November, 1998, 29 acara telah diadakan di PISA yang mana 2 acara adalah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Selain daripada itu, Pusat Akuatik dibuka setiap hari kepada orang ramai dan digunakan dengan baiknya untuk aktiviti renang. Lebih daripada 19,498 dewasa dan 36,325 kanak-kanak telah menggunakan kolam renang di sana di antara Januari hingga 19 November, 1998. Bayaran masuk ke kolam renang adalah RM5.00 untuk dewasa, RM3.00 untuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun dan potongan 50% diberi kepada pelajar pada hari kerja.
Terdapat 10 gelanggang badminton, 1 gelanggang sepak takraw serta 1 gelanggang bola tampar di arena Stadium Tertutup dan kesemua ini ditempah sepenuhnya di sebelah petang. Kadar sewa untuk gelanggang badminton dan sepak takraw pada hari kerja adalah RM8.00 sejam segelanggang di antara pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang dan RM10.00 sejam segelanggang di antara 6.00 petang hingga 11.00 malam dan RM10.00 sejam segelanggang pada hujung minggu dan hari kelepasan am. Kadar sewa untuk gelanggang bola tampar adalah RM18.00 sejam segelanggan. Orang ramai boleh juga menggunakan dengan percuma halaman di sekitar PISA untuk berjogging, bermain kasut roda dan senaman tai chi.