MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Soalan Bertulis Oleh Y.B. Encik Lye Siew Weng : 7. Mengenai fenomena La Nina sekiranya berlaku di kawasan Air Itam: (a) Apakah persediaan yang telah diperuntukkan bagi menangani bencana ini? (b) Berapakah jumlah petugas yang ditugaskan bagi mengatasi bencana ini sekiranya berlaku? (c) Di manakah lokasi penempatan sementara bagi penduduk kawasan ini, sekiranya berlaku ancaman tersebut?
Dun -
Exco YB. TIMBALAN KETUA MENTERI
Perkara Bencana Alam

Jawapan

YB. Timbalan Ketua Menteri menjawab bagi pihak YAB. Ketua Menteri:

7. (a) Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua mekanisma yang ada untuk mengambil langkah-langkah perlu dalam membuat persediaan menghadapi La Nina mungkin berlaku. Semua agensi seperti Pejabat Daerah DTL, JPS, JKR, MPPP, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Keselamatan Negeri dan Jabatan Polis bersiap sedia memberi bantuan sepenuhnya dan segala perkhidmatan yang perlu di bawah tanggungjawab masing-masing bagi kawasan Air Itam.

Tiada satu peruntukan khas yang diperuntukan bagi menghadapi dan menangani sebarang kemungkinan bencana di Daerah Timur Laut. Walau bagaimanapun, Pejabat DTL diminta oleh Pihak Berkuasa Negeri menggunakan peruntukan yang sediada dan juga peruntukan dari Tabung Akaun Projek Kecil Banjir DTL bagi tujuan perbelanjaan menghadapi bencana. Di samping itu pihak Kerajaan dan Majlis Perbandaran PulauPinang telah memberikan peruntukan sebanyak RM300,000.00 bagi setiap KADUN yang mana peruntukan ini juga boleh dicadangkan oleh Yang Berhormat untuk projek-projek yang boleh menangani bersama-sama kemungkinan bencana yang berlaku akibat La Nina.

Tindakan-tindakan persediaan lain yang diambil adalah seperti berikut:-

(i) Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah

Penubuhan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Timur Laut antara lain yang berperanan dan bertanggungjawab menyelaras keperluan pengurusan dan bantuan bencana seperti menentukan bantuan logistik dan mengambilalih (requisition) peralatan/jentera yang diperlukan secara sementara kepunyaan agensi-agensi Kerajaan atau swasta, menggerakkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah dan menentukan pembahagian tugas-tugas agensi terlibat. Keahlian Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah Timur Laut adalah seperti berikut:-

1. Pegawai Daerah - Pengerusi

2. Setiausaha, MPPP - Ahli

3. Ketua Polis Daerah, DTL - Ahli

4. Pegawai Memerintah, 2 RAMD - Ahli

5. Jurutera Daerah, JKR, DTL - Ahli

6. Jurutera Daerah, JPS, DTL - Ahli

7. Pegawai Penerangan, DTL - Ahli

8. Pegawai Penjaga,
Jabatan Perkhidmatan
Bomba dan Penyelamat,
Jalan Perak - Ahli

9. Pegawai Kebajikan Masyarakat,
DTL - Ahli

10. Pegawai Tadbir Agama DTL - Ahli

11. Pegawai Pendidikan Daerah
(Pulau) - Ahli

12. Penolong Pegawai Perpaduan DTL - Ahli

13. Pegawai RELA Daerah, DTL - Ahli

14. Pengarah Pertahanan Awam - Ahli

15. Pengurus Syarikat Telekom - Ahli
Malaysia

16. Pengurus Tenaga Nasional - Ahli
Berhad

17. Pengurus IWK - Ahli

18. Penolong Pegawai Daerah
Pembangunan) DTL - Ahli

19. Penolong Pegawai Daerah (Tanah) - Ahli

20. Semua Penghulu DTL - Ahli

21. Setiausaha Keselamatan Daerah, - Ahli
(SKD)

(ii) Sistem Ramalan Banjir

Disebabkan bencana banjir di Daerah Timur Laut berlaku secara `banjir kilat’ sistem ramalan banjir bergantung banyak kepada keadaan cuaca dan air pasang surut laut. Sebuah Sistem Telemetrik untuk mendapat bacaan paras air Sungai Pinang terletak berdekatan Jambatan Sungai Pinang di Jalan Perak, Pulau Pinang.

Sistem amaran berdasarkan kepada bacaan paras di Sungai Pinang seperti berikut:-

(a) Paras Amaran - 2.1 meter

(b) Paras Berjaga-jaga - 2.4 meter

(c) Paras Bahaya - 2.7 meter


(iii) Kawasan-kawasan Banjir

Bagi memastikan kelicinan persiapan dan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana terutamanya banjir, kawasan-kawasan rendah dan mudah dinaiki air telah dikenalpasti. Antara kawasan-kawasan banjir/bencana yang melibatkan kawasan Air Itam ialah:-

1. Sungai Air Itam

(i) Rifle Range (Kampung Baru)

(ii) Pekan Air Itam


(iv) Kawasan-kawasan Berisiko Tinggi dan Berpotensi Banjir/Bencana Alam


Selain daripada kawasan-kawasan yang dikenalpasti sebagai kawasan banjir, terdapat juga beberapa kawasan yang dikenalpasti berkemungkinan akan mengalami bencana alam berdasarkan kedudukannya dan akibat dari pelaksanaan projek-projek tertentu terutama sekali kerja-kerja tanah. Kawasan-kawasan yang melibatkan Air Itam di antaranya ialah:-

(i) Pembangunan di Lot 201, 287, 707 Seksyen 1 Bandar Air Itam - oleh Sincere Concept Sdn. Bhd.

(ii) Kawasan Hye Keat Estate, Air Itam


(v) Pasukan Petugas Khas La Nina


Di peringkat negeri telah ditubuhkan satu Pasukan Petugas Khas La Nina yang diketuai oleh Y.A.B. Ketua Menteri dan dibantu oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Y.B. Dato’ Dr. Hilmi bin Haji Yahaya dengan dibantu oleh Y.B. Dato’ Dr. Kang Chin Seng, Y.B. Dato’ Abdul Rashid Abdullah dan Y.B. Encik Koay Kar Huah.


Pasukan ini mempunyai 3 tugas utama iaitu:-

(i) Mempercepatkan projek-projek besar tebatan banjir jangka panjang.

(ii) Melaksanakan langkah-langkah jangka pendek atau quick-fix seperti menambah kekerapan dan kekesanan membersih parit dan sungai yang tersumbat, membaiki parit dan sungai yang tersumbat, membaiki parit yang roboh, meratakan permukaan jalan dan lain-lain yang berkaitan.

(iii) Mengelakkan dan menguruskan tenaga manusia tambahan, selain daripada kakitangan-kakitangan kerajaan untuk membantu melaksanakan langkah-langkah jangka pendek.

(vi) Penerangan Persediaan Menghadapi La Nina

(i) Bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai persiapan menghadapi banjir dan juga memohon kerjasama orang ramai bagi mengurangkan kesan buruk bencana. Satu sesi penerangan telah diadakan pada 5 September 1998 jam 3.00 petang bertempat di Dewan Sri Pinang. Jemputan-jemputan terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Ahli-ahli Kariah Masjid, Ahli-ahli Rukun Tetangga, Ahli-ahli Persatuan Penduduk dan semua peminpin-peminpin masyarakat di Daerah Timur Laut.

(ii) Satu sistem maklumat dan saluran penyampaian maklumat telah diwujudkan dan dimaklumkan kepada semua Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Rukun Tetangga dan Qariah Masjid di Daerah Timur Laut, di mana sebarang kejadian bencana boleh dimaklumkan kepada Balai Polis yang berhampiran.

Persediaan daripada JPS untuk kawasan Air Itam dalam menghadapi La Nina sekiranya berlaku ialah:-

(i) menjalankan kerja penyelenggaraan sungai dengan peruntukan biasa tahunan sebanyak hampir RM140,000.00.

(ii) sebanyak hampir RM20,000.00 peruntukan tambahan dibuat untuk membersihkan sungai sebanyak dua pusingan lagi iaitu bulan Oktober dan November.

Persediaan daripada Jabatan Kerja Raya adalah dari segi tenaga kerja, peralatan dan jentera yang diperlukan. Perkara ini melibatkan:-

(i) pegawai yang bertugas semasa berlaku bencana alam;

(ii) kenderaan/jenteraan yang ada sebagai standby;

(iii) peralatan yang biasa digunakan semasa berlaku bencana alam.

Manakala pihak MPPP telah bersedia untuk menugaskan pekerja-pekerja yang terlibat dengan pembekalan perkhidmatan, pengangkutan termasuk jentera berat, pembersihan jalan, parit dan longkang dan pemotongan pokok-pokok bagi kawasan Air Itam sekiranya bencana ini berlaku.

7. (b) Apabila berlaku sesuatu bencana, kesemua ahli Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Peringkat Daerah akan digerakkan dan Pusat Kawalan Operasi (PKOB) Daerah Timur Laut yang bertempat di Pejabat Daerah Timur Laut, Tingkat 11, KOMTAR, Pulau Pinang akan dibuka bagi menyelaras gerakan bantuan kepada mangsa-mangsa. Dasar dan mekanisma pengurusan bantuan bencana adalah berpandukan kepada arahan No. 20 Majlis Keselamatan Negara. Anggaran seramai 100 orang petugas akan ditugaskan pada satu-satu masa apabila berlaku sesuatu bencana.

Penugasan pekerja-pekerja daripada MPPP bagi mengatasi bencana ini sekiranya berlaku bergantung kepada arahan dari Bilik Operasi Negeri dan mengikut keperluan semasa.

Jumlah petugas daripada JPS bergantung kepada keperluan dan keadaan banjir yang akan terjadi. Ini memandangkan kakitangan JPS adalah terhad dan pengagihan tugas akan bergantung kepada keperluan sesuatu tempat.

JKR telah bersiap sedia dengan menugaskan seramai 40 orang daripada bahagian Jurutera Daerah, DTL.

Jumlah petugas yang akan ditugaskan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat DTL ialah 7 orang.

7. (c) Bagi kawasan Air Itam beberapa buah pusat pemindahan telah dikenalpasti seperti berikut:-

1. SRJK (C) Kong Min Cawangan 2
Jalan Paya Terubong,
Air Itam,
Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 300 orang

2. SRJK (C) Chioa Nan
279, Jalan Thean Teik,
Air Itam,
Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 80 orang

3. Dewan FRU
Jalan Boundary,
Air Itam,
Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 200 orang

Pusat Pemindahan Tambahan

1. SJK (C) Sin Kang
Jalan Thean Teik,
11500 Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 100 orang (sebuah dewan)

2. SJK (C) Kong Min Pusat,
39-A, Jalan Air Itam,
11000 Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 800 - 1,000 orang

3. SMKA Al-Mashoor (Lelaki)
Jalan Air Itam,
10460 Pulau Pinang.

Had muatan mangsa : 75 orang

Mangsa-mangsa yang berpindah ke Pusat-pusat Pemindahan akan dibekalkan dengan makanan/minuman dan barang-barang keperluan seperti pakaian, selimut dan tikar.
Kembali