MESYUARAT KEDUA PENGGAL KEEMPAT DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG KESEMBILAN
Soalan Soalan Bertulis Oleh Y.B. Encik Lye Siew Weng : 9. Kerja mengorek dan menampal jalan raya adalah salah satu kerja yang kurang profesional dan secara tidak langsung kerja-kerja ini mendatangkan pelbagai masalah kepada pengguna jalan raya. Adakalanya mengakibatkan kemalangan jiwa dan juga kesesakan lalu lintas. Pembaziran wang Kerajaan Negeri nampak nyata di sini akibat kurangnya perancangan dan penyelarasan yang teliti daripada pihak-pihak yang terbabit. (a) Apakah pandangan dan tindakan Kerajaan Negeri terhadap kerja-kerja ini? (b) Adakah perlu dikaji semula cara-cara pelaksanaan sesuatu projek?
Dun -
Exco YB. DATO' DR. HILMI BIN YAHAYA
Perkara Kemudahan Awam

Jawapan

YB. Dato' Dr. Hilmi bin Yahaya menjawab bagi pihak YAB. Ketua Menteri :

9. Kerja-kerja pengorekan jalan tidak dapat dielakkan oleh agensi-agensi utiliti memandangkan rezab jalan yang sediada tidak cukup lebar bagi membolehkan kabel-kabel dan paip ditanam di bawah bahu jalan. Tidak dinafikan juga ada sesetengah rezab jalan yang lebar tetapi di kawasan bahu jalan telahpun terdapat kabel dan paip. Sehubungan dengan itu, pihak terlibat tidak mempunyai pilihan selain daripada mengorek kawasan jalan yang sediada.

Kerja-kerja pengorekan pada dasarnya perlu mendapatkan kelulusan JKR kalau jalan yang terlibat adalah di bawah penyelenggaraan JKR. Memang terdapat syarat-syarat tertentu untuk dipatuhi oleh semua agensi yang melibatkan pengorekan jalan dan kerja mengorek dan menampal jalan mestilah dijalankan dengan teratur.

Satu garispanduan mengenai penggalian (pengorekan) jalan dan rezab oleh agensi-agensi utiliti di Negeri Pulau Pinang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya seperti di Lampiran `A’.

MPPP sering memandang serius atas kerosakan-kerosakan jalan yang sering berlaku akibat kerja korekan jalan di sekitar bandaraya Georgetown. Tindakan-tindakan yang dijalankan oleh MPPP untuk mengawal dengan sempurna kerja korekan di kawasan Majlis adalah seperti berikut:-

a) Dari Segi Pengawalan

(i) mensyaratkan supaya pelan utiliti di sepanjang jalan yang akan dikorek perlu dikemukakan sebelum permit mengorek jalan dikeluarkan. Ini adalah untuk tujuan mengelakkan kerosakan kepada utiliti sediada di bawah jalan semasa kerja korekan dijalankan;

(ii) mensyaratkan bahawa semua syarikat/jabatan utiliti dikehendaki memberi wang cagaran sebanyak RM50,000.00 setiap syarikat kepada Majlis untuk tujuan pembaikan jalan yang akan dijalankan oleh Majlis dalam masa kecemasan, dan

(iii) bagi jalan yang baru ditar semula dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun, pengorekan terbuka (open trenching) tidak dibenarkan. Jika pengorekan terbuka tidak dapat dielakkan, pihak syarikat utiliti dikehendaki menyumbangkan kos menurap semula sepenuh jalan kepada Majlis supaya jalan yang dikorek akan ditar semula dengan sepenuhnya.

(b) Dari Segi Penguatkuasa

(i) memberhenti semua kerja yang tidak dijalankan mengikut speskfikasi Majlis. Kontraktor dikehendaki memperbaiki semua kerosakan jalan mengikut piawaian Majlis sebelum kerja korekan seterusnya dibenarkan;

(ii) mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas semua kerja pengorekan haram atau kerja-kerja yang tidak mematuhi syarat-syarat permit;

(iii) menjalankan kerja pembaikan peparit yang merbahaya dengan serta merta dan semua kos terlibat dibilkan kepada pihak yang bertanggugjawab;

(iv) membuat laporan polis, dan

(v) mengambil tindakan mahkamah


Pada pandangan MPSP kerja-kerja pengorekan jalan dilaksanakan oleh pihak utiliti perlu diberi perhatian yang lebih serius dan satu sistem dan kaedah pengorekan yang lebih sistematik dan pengurusan kerja-kerja pengorekan perlu dipatuhi oleh agensi-agensi utiliti dalam memastikan masalah lalulintas dan kemalangan dapat dielakkan.

Banyak usaha telah dijalankan oleh Pihak Berkuasa jalan untuk memastikan kerja-kerja korekan jalan dijalankan dengan sempurna dan secara profesional. Adalah dicadangkan syarikat utiliti mengkaji semula pengawalan yang sediada dan juga memastikan bahawa hanya kontraktor-kontraktor yang sesuai dan layak dibenarkan menjalankan kerja korekan jalan dan membaikpulih peparit-peparit yang dikorek. Untuk mengurangkan kesesakan ke tahap minima dan mewujudkan keadaan jalan dengan mutu yang lebih baik, cara-cara pelaksanaan sesuatu projek yang melibatkan agensi utiliti perlu dikaji semula dan penyelarasan secara menyeluruh perlu diwujudkan.


LAMPIRAN ‘A’

GARISPANDUAN MENGENAI PENGGALIAN (PENGOREKAN) JALAN DAN REZAB JALAN OLEH AGENSI-AGENSI UTILITI DI NEGERI PULAU PINANG.


1. TUJUAN

1.1 Tujuan garispanduan ini adalah untuk menjelaskan ketetapan peraturan dan tatacara penggalian (pengorekan) jalan dan rezab jalan oleh agensi-agensi utiliti di Pulau Pinang.

1.2 Garispanduan ini adalah untuk digunapakai dalam permohonan oleh agensi-agensi utiliti dan menimbang kelulusan oleh Pihak Berkuasa Jalan.

1.3 Garispanduan ini juga adalah untuk menyeragamkan tatacara pelaksanaan kerja dan bayaran.

2. PERMOHONAN

2.1. Agensi-agensi utiliti hendaklah terlebih dahulu mengemukakan permohonan bertulis kepada Pihak Berkuasa Jalan menyatakan hasratnya untuk menggali jalan bertar atau rezab jalan untuk kelulusan.

2.2. Permohonan hendaklah disertakan dengan pelan laluan kabel dan paip bawah tanah (route planning atau route mapping) bagi kawasan yang akan dikorek.

3. AKAUN DEPOSIT

3.1 Agensi-agensi utiliti yang terlibat dengan penggalian (pengorekan) jalan bertar atau rezab jalan dikehendaki membuka akaun deposit dengan Pihak Berkuasa jalan.

3.2 Amaun deposit yang ditetapkan perlu dibayar oleh Agensi-agensi terlibat kepada Pihak Berkuasa Jalan adalah seperti jadual di bawah:

Jabatan JKR Daerah(Setiap Daerah) MPPP MPSP
(RM) (RM) (RM)

TNB 50,000 50,000 50,000
PBA 50,000 50,000 50,000
TELEKOM 50,000 50,000 50,000
IWK 50,000 50,000 50,000
TSSB 50,000 50,000 50,000
LAIN-LAIN 50,000 50,000 50,000


3.3. Pada setiap masa akaun deposit hendaklah mempunyai amaun deposit tidak kurang dariapda jumlah yang ditetapkan dalam jadual di atas.

3.4. Wang deposit atau baki dalam akaun deposit akan dikembalikan oleh Pihak Berkuasa Jalan jika pendeposit tidak lagi terlibat dengan penggalian (pengorekan) jalan atau rezab jalan.

4. KERJA PENGGALIAN (PENGOREKAN)

4.1. Kerja pengorekan terbuka di atas jalan bertar hendaklah dimulakan secara “clean-cut with diamond cutter”, penggunaan jentera pengorek secara terus tidak dibenarkan.

4.2. Panjang laluan yang dikorek (dibuka) di atas jalan bertar hendaklah tidak melebihi 100 meter pada satu-satu masa dan hendaklah ditampung (timbus) dengan “asphaltic concreta” sebelum pengorekan 100 meter berikutnya diteruskan.

4.3. Kerja-kerja hendaklah dibuat segera dan ditampal semula dalam masa 24 jam.

4.4. Kerja-kerja pengorekan yang melintasi jalan hendaklah dibuat secara penerowongan.

4.5. Dalam pelaksanaan kerja-kerja, jalan tidak boleh ditutup sepenuhnya kepada lalulintas.

4.6. Timbusan semula (backfill) hendaklah dariapda bahan-bahan yang dibenarkan dan pastikan lubang trench berkeadaan kering daripada air, lumpur dan bahan-bahan lain yang tidak sesuai untuk kerja-kerja jalan mengikut “standard for reistatement of trenches”.

4.7. Kawasan tapak kerja/rezab jalan hendaklah dibersihkan daripada sisa-sisa bahan pengorekan dengan segera dalam tempoh tidak melebihi 3 hari dari tarikh kerja-kerja dijalankan.

4.8. Semua kecacatan atau kerosakan yang berlaku terhadap papan tanda, garisan jalan, kerb, Landskap dan lain-lain hartabenda Kerajaan dan Awam disebabkan oleh kerja pengorekan hendaklah dibaiki oleh kontraktor terlibat dengan segera dan sempurna mengikut syarat-syarat dan persetujuan Pihak Berkuasa Jalan.

5. WAKTU MENJALANKAN KERJA

5.1. Pihak Berkuasa Jalan hendaklah dimaklumkan tarikh dan masa kerja menggali dan jangkaan siap.

5.2. Penjadualan kerja di jalan-jalan dan persimpangan yang penting dan sibuk hendaklah pada waktu diluar waktu puncak off peak period atau lewat malam.

5.2. Pihak Berkuasa Jalan boleh memberi pengecualian mengenai penjadualan kerja mengikut budibicaranya.


6. LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN.


6.1. Kontraktor yang melaksanakan kerja-kerja pengorekan jalan atau rezab jalan hendaklah mengambil langkah-langkah keselamatan seperti berikut:-


6.1.1. Memasang papan-papan tanda amaran/ keselamatan lalu lintas yang mencukupi mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa jalan.

6.1.2. Memasang lampu “blinkers” di tempat-tempat strategik yang boleh dilihat pada waktu malam dan ketika cuaca buruk demi untuk keselamatan pengguna jalanraya.

6.1.3. Papan tanda dengan nama dan nombor telefon agensi pelaksana hendaklah dipamerkan di tapak bagi kemudahan orang awam membuat aduan.

6.1.4. Kontraktor adalah bertanggungjawab sepenuhnya di atas sebarang kemalangan atau tuntutan ganti rugi dari segi undang-undang yang disabitkan dari pengorekan jalan atau rezab jalan.

6.1.5. Pada setiap masa dalam tempoh kerja-kerja dijalankan pihak kontraktor hendaklah mempunyai perlindungan insuran bagi pampasan awam.


7. KAEDAH PELAKSAAN


7.1. Agensi-agensi utiliti hendaklah melantik kontraktor yang berpengalaman dalam melaksanakan kerja-kerja pembinaa n jalan bagi menimbus ackfill mengikut standard for reinstatement of trenches sebagaimana yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Jalan.

7.2. Bagi jalan yang baru dilapismuka (resurface) dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun jika pengorekan terbuka open trenching terpaksa dilakukan, Pihak Berkuasa Jalan akan mengenakan kadar RM20.00 per metre square kepada agensi yang terlibat bagi membolehkan Pihak Berkuasa Jalan menjalankan kerja lapisanmuka resurface bagi menutupi kecacatan laluan trenches. Luas jalan yang akan dilapismuka hendaklah 3 meter. Kerja lapisanmuka ini akan dikendalikan sendiri oleh Pihak Berkuasa Jalan dan kos yang terlibat mengikut kadar RM20.00 per metre squatre dikenakan kepada akaun deposit agensi terlibat.


8. BAYARAN IMBUHAN BALIK

8.1. Kerja baikpulih dalam tempoh liabiliti (6 bulan).

8.1.1. Dalam tempoh liabiliti pembaikan, Pihak Berkuasa Jalan boleh mengambil tindakan menjalankan atau melantik kontraktor lain membuat kerja baikpulih dengan sempurna mengikut standard for reinstatement of trenches sekiranya kontraktor agensi utiliti gagal berbuat demikian.

8.1.2. Tuntutan perbelanjaan sebenar kerja pembaikan dengan bayaran tambahan sebanyak 25% daripda kos sebenar sebagai bayaran overhead kepada agensi-agensi terlibat dan akan dikenakan kepada akaun deposit agensi berkenaan.

8.1.3. Pihak Berkuasa Jalan akan membuat tuntutan imbuhan balik daripada agensi-agensi berkenaan bagi menyelaraskan bayaran yang telah dibuat daripada akaun deposit agensi.

8.1.4. Jika perbelanjaan yang terlibat melebihi deposit yang ada, agensi yang terlibat hendaklah dengan segera mengeluarkan cek bayaran bagi jumlah yang dituntut oleh Pihak Berkuasa Jalan Untuk menyelesaikan keperluan tersebut.


9. SYARAT-SYARAT TAMBAHAN

9.1. Garispanduan pengorekan dan pemasangan semula kemudahan awam dalam rezab jalan yang ikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 22 Januari 1996 hendaklah juga digunapakai.

9.2. Pihak Berkuasa Jalan berhak menarik balik kebenaran yang diberi sekiranya pihak agensi tidak/gagal mematuhi garispanduan dan syarat-syarat di atas.

9.3. Pihak Berkuasa Jalan juga berhak menambah lain-lain syarat/arahan/penentuan teknikal yang perlu asalkan tidak bercanggah dengan peraturan garis panduan ini.

Kembali